29 Mei 2024, 11:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Asid sulfurik ialah bahan kimia yang memberikan banyak manfaat dalam pelbagai sektor industri di Malaysia seperti industri petroleum, industri baja, industri logam, industri tekstil, industri elektronik dan sebagainya. Industri terbesar yang menggunakan asid sulfurik di Malaysia ialah industri baja.

Penggunaan asid sulfurik dalam industri ini adalah sangat signifikan kerana asid ini merupakan komponen utama dalam penghasilan baja fosfat seperti superfosfat (CaH6O8P2+2) dan ammonium sulfat ((NH4)3PO4). Baja fosfat sangat penting dalam sektor pertanian untuk meningkatkan hasil tanaman dan memperbaik kualiti tanah.

Asid sulfurik juga digunakan secara meluas dalam industri petroleum, termasuklah dalam proses penapisan minyak mentah, pengeluaran alkilat dan penghasilan minyak pelincir. Proses ini membantu meningkatkan kualiti produk petroleum dan memastikannya memenuhi piawaian alam sekitar.

Dalam industri logam, asid sulfurik digunakan untuk menghilangkan karat pada keluli atau logam lain. Sebagai contohnya, komponen logam dalam kenderaan seperti panel badan, rangka dan bahagian enjin akan melalui proses perendaman dalam asid sulfurik untuk memastikan permukaan komponen logam dalam kenderaan bebas daripada karat sebelum proses pengecatan dilakukan.

Seiring dengan kemajuan sains dan teknologi, kehidupan harian manusia kini dikelilingi dengan pelbagai produk kimia untuk tujuan tertentu. Satu daripadanya ialah produk pembersihan harian yang sangat diperlukan dalam kehidupan sehari-hari.

Asid sulfurik juga terdapat dalam pencuci tandas, pembersih longkang dan saluran paip dengan kepekatan antara lapan peratus (v/v) hingga 98 peratus (v/v). Asid sulfurik digunakan dalam beberapa produk pembersih tandas dan pembersih saluran paip kerana keberkesanannya dalam menguraikan sisa organik, kerak air serta melarutkan bahan tersumbat seperti lemak, sisa makanan, rambut dan karat yang terdapat di dalam mangkuk tandas dan saluran paip.

Penggunaan yang meluas di Malaysia menunjukkan betapa pentingnya asid sulfurik dalam industri dan kehidupan harian, sekali gus menyokong ekonomi negara dan perkembangan industri tempatan.

Namun demikian, penggunanya perlu berhati-hati! Larutan yang jernih tidak bererti tidak berbahaya.

Asid sulfurik ialah asid kuat yang sifatnya sangat reaktif, higroskopik dan menghakis. Oleh sebab itu, asid sulfurik tidak boleh digunakan sembarangan. Langkah-langkah keselamatan yang ketat perlu diperhatikan dengan serius ketika menggunakan asid sulfurik.

Antara langkah keselamatan yang perlu diambil termasuklah menggunakan alat pelindung diri (PPE) seperti sarung tangan, kacamata pelindung dan pakaian yang bersesuaian untuk mengelakkan sentuhan langsung dengan asid sulfurik. Pengudaraan yang baik juga sangat penting ketika mengendalikan asid sulfurik kerana wap yang dihasilkan dari asid sulfurik sangat berbahaya jika terhidu tanpa sengaja.

Sebagai contohnya, sebelum menggunakan bahan pencuci tandas atau membersihkan saluran paip yang mengandungi asid sulfurik, pastikan tingkap dan pintu tandas dalam keadaan terbuka agar udara segar dapat masuk. Hal ini akan membantu mengurangkan risiko terhidu wap asid sulfurik.

Tempat penyimpanan asid sulfurik perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514). Asid sulfurik biasanya disimpan di dalam kabinet yang dilengkapi dengan sistem penapisan udara yang baik dan tidak ditempatkan bersama-sama bahan kimia yang mudah terbakar serta bahan kimia beralkali.

Suhu penyimpanan asid sulfurik juga mestilah sejuk, kering dan terlindung daripada sinaran matahari untuk mencegah penguraian kimia yang tidak diinginkan. Label amaran dan maklumat tentang bahaya serta tindakan pencegahan harus ditunjukkan dengan jelas pada tempat penyimpanan asid sulfurik. Selain itu, pemeriksaan rutin perlu dilakukan untuk memastikan tidak ada kebocoran pada kabinet atau kerosakan lainnya yang dapat mengancam keselamatan dan kesihatan.

Label amaran yang terdapat pada asid sulfurik.

Baru-baru ini, Malaysia dikejutkan dengan insiden penyimbahan asid sulfurik ke atas pemain bola speak Harimau Malaya, Faisal Halim dan kes seorang penuntut sebuah institusi pengajian awam yang mencederakan rakan baiknya dengan asid sulfurik. Kedua-dua insiden ini telah memberikan impak kepada masyarakat Malaysia. Sehubungan dengan itu, masyarakat perlu mempunyai pengetahuan mengenai kesan sampingan asid sulfurik apabila terkena pada badan.

Sebagaimana yang diketahui, asid sulfurik bersifat menghakis dan berpotensi menyebabkan kesan sampingan yang serius jika terkena percikan atau simbahan asid. Satu daripada kesan sampingan utamanya termasuklah kulit terbakar yang dapat menyebabkan kulit menjadi merah, bengkak dan melepuh.

Jika asid sulfurik terkena pada mata, hal tersebut boleh menjejaskan fungsi kornea, menyebabkan ulser dan kerosakan serius yang mungkin mengakibatkan kehilangan deria penglihatan. Menghirup udara yang tercemar oleh wap asid sulfurik juga dapat menyebabkan keradangan pada hidung, trakea dan bronkus paru-paru yang boleh mengakibatkan batuk, sesak nafas dan kerosakan pada saluran pernafasan. Selain itu, asid sulfurik berkepekatan tinggi yang terkena pada badan boleh menyebabkan kesan serius seperti kegagalan organ dalaman termasuklah hati, ginjal dan usus yang berpotensi menyebabkan kematian.

Apakah rawatan pertolongan pertama yang harus diambil bila diri sendiri atau melihat orang lain terkena asid sulfurik? Jika asid sulfurik pekat atau cair terkena pada anggota badan, segera tanggalkan pakaian yang terkena asid dan segera bilas kawasan anggota badan dengan air yang banyak selama 15 minit hingga 20 minit.

Jika terdapat kesan terbakar pada anggota badan, teruskan membilas kawasan tersebut dengan air selama 30 minit. Jangan menggosok atau mengelap anggota badan yang terkena asid kerana tindakan itu memburukan lagi keadaan kulit terbakar.

Bilas kawasan yang terkena asid sulfurik dengan air selama 15 minit hingga 20 minit.

Sekiranya asid sulfurik terkena pada mata, bersihkan mata dengan membuka kedua-dua kelopak mata dan bilas dengan air paip yang mengalir selama 15 minit hingga 20 minit. Hindari menggosok mata dan jangan menggunakan ubat penitis mata.

Kemudian, segera dapatkan rawatan perubatan. Begitu juga jika terhidu udara yang tercemar dengan wap asid sulfurik, segera pergi ke kawasan yang berudara segar.

Jika mengalami gejala pernafasan yang tidak normal, segera dapatkan rawatan perubatan. Jangan sesekali menggunakan bahan beralkali seperti larutan bikarbonat dengan tujuan untuk meneutralkan asid sulfurik. Tindakan ini dapat menyebabkan pembebasan haba atau lebih dikenali sebagai reaksi eksotermik yang akan memburukkan lagi keadaan.

Sebagai kesimpulannya, individu yang terlibat dalam industri yang menggunakan asid sulfurik, langkah pencegahan dan keselamatan harus diambil dengan serius dan diamalkan bersesuaian dengan piawaian yang ditetapkan oleh Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Masyarakat juga perlu lebih peduli dan peka terhadap isu ini, terutamanya mengenai langkah pertolongan pertama yang dapat diambil jika diri sendiri atau orang lain terkena asid sulfurik. Hal ini penting kerana tindakan pertolongan pertama yang segera dapat membantu mencegah kerosakan dan komplikasi yang lebih serius sebelum rawatan perubatan diberikan.

 

ChM. Dr. Nor Nadiah Mohamad Yusof,
Universiti Kuala Lumpur – MICET.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.