Diterbitkan pada 25 Oktober 2023, 18:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Tujuh bangunan agensi kerajaan dan syarikat swasta telah diiktiraf cekap tenaga berstatus lima bintang bagi tahun 2022 dalam Majlis Penyerahan Label Intensiti Tenaga Bangunan (BEI), hari ini.

Tujuh bangunan tersebut ialah Suruhanjaya Tenaga (ST), Tabung Haji, Lembaga Pelabuhan Johor, Ambank Tropicana, Lembaga Hasil Dalam Negeri Cawangan Kuala Lumpur, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

“Penarafan label lima bintang BEI ini diberikan kepada pemilik bangunan yang telah berjaya mendapat indeks BEI di bawah skala 100 (kategori penggunaan sangat cekap) berbanding dengan 222 buah bangunan yang telah dilabelkan pada tahun 2022,” kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yang Berhormat Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pencapaian tersebut diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dan menimbulkan minat yang lebih mendalam kepada pemilik bangunan di Malaysia untuk mendapatkan penarafan BEI.

Terdahulu, sasaran NRECC dalam mencapai inisiatif berkenaan adalah sebanyak 300 buah bangunan pejabat dilabelkan dari tahun 2018 hingga tahun 2023.

Susulan itu, NRECC menyasarkan sebanyak 600 buah bangunan termasuklah bangunan pejabat, hospital dan universiti untuk dilabelkan pada tahun ini hingga tahun 2028, manakala lebih daripada 1000 buah bangunan disasarkan akan dilabelkan bagi tahun 2028 dan seterusnya sebagai sokongan pelaksanaan pengurangan penggunaan tenaga elektrik dalam sektor bangunan di Malaysia.

Berdasarkan data daripada National Energy Balance 2020, sektor bangunan merangkumi hampir 26.6 peratus penggunaan tenaga elektrik yang bersamaan dengan pelepasan karbon dioksida sebanyak 31.6 MtCO2, penggunaan kedua tertinggi selepas sektor industri, iaitu pada 48.9 peratus dan penjimatan penggunaan tenaga elektrik oleh sektor ini akan menyumbang kepada pencapaian aspirasi pelepasan gas rumah kaca sifar bersih seawal tahun 2050.

Pelabelan BEI merupakan instrumen yang mudah dan boleh diguna pakai dengan segera untuk menilai prestasi kecekapan penggunaan tenaga dalam sesebuah bangunan oleh pihak ST dan telah bermula secara berperingkat pada tahun 2018 yang fasa pertamanya melibatkan bangunan kerajaan persekutuan.

Jelas beliau, pelabelan tersebut diperluas kepada bangunan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, hospital dan klinik kerajaan.

Sebanyak 441 buah bangunan kerajaan persekutuan, agensi, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan telah dilabelkan setakat September 2023 dan pada masa ini kesemua bangunan komersial milik syarikat swasta turut diberikan penarafan BEI.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi