27 September 2023, 01:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berjaya merangkul dua Hadiah Sanjungan dalam kategori Buku Karya Asli dan Rencana Popular dalam Majlis Anugerah Persatuan Sains dan Matematik Malaysia (PERSAMA) 2023 yang telah berlangsung dengan penuh meriah di Hotel Raia dan Pusat Konvensyen, Alor Setar, malam tadi.

Kemenangan pertama DBP berjaya diraih melalui buku Amos Graphic: Permodelan Persamaan Struktur yang ditulis oleh YBrs. Dr. Haji Alias Hussain dan YBrs. Dr. Hajah Hartini Husain yang telah memenangi Hadiah Sanjungan dalam kategori buku karya asli.

Presiden PERSAMA, YBrs. Profesor Dr. Maslina Darus (tengah) menyampaikan Anugerah Hadiah Sanjungan bagi Kategori Buku Karya Asli kepada penulis buku Amos Graphic: Permodelan Persamaan Struktur, YBrs. Dr. Haji Alias Hussain (kiri) dan YBrs. Dr. Hajah Hartini (kanan) dalam Anugerah PERSAMA 2023.

 

Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Armin Azhari Saleh (tengah) dan editor buku Amos Graphic: Permodelan Persamaan Struktur, Puan Nik Azianna Haji Khairudin (kanan) menerima sijil penghargaan daripada Presiden PERSAMA, YBrs. Profesor Dr. Maslina Darus (kiri).

Kemenangan kedua pula dirangkul melalui hasil penulisan rencana yang bertajuk “Kriptologi Primitif Menjamin Keselamatan Data” oleh YBrs. Dr. Malathi Letchumanan yang telah terpilih memenangi Hadiah Sanjungan dalam kategori Rencana Popular.

Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Armin Azhari Saleh (tengah) bersama-sama Editor Dewan Kosmik, Puan Norfaranieza Muhd Ariffin dan Penolong Editor Dewan Kosmik, Puan Nurul Syafika Kasim menerima sijil penghargaan daripada Naib Presiden PERSAMA, Profesor Dr. Norihan Md. Arifin.

Menurut Presiden PERSAMA, YBrs. Profesor Dr. Maslina Darus, penganugerahan ini menjadi wadah kepada PERSAMA untuk menghargai dan memberikan penghormatan kepada ahli akademik dan penyelidik yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai aspek bidang sains dan matematik.

Sesungguhnya, kecemerlangan ini tidak datang dengan begitu mudah. Usaha ini memerlukan kesungguhan dan pengorbanan. Kami juga mengharapkan agar anugerah yang diterima pada hari ini menjadi galakan kepada semua tetamu dalam majlis ini untuk lebih mendalami bidang sains matematik serta menyebarkan ilmu tersebut kepada masyarakat awam.

Presiden PERSAMA, YBrs. Profesor Dr. Maslina Darus ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Majlis Anugerah PERSAMA 2023 di Hotel Raia dan Pusat Konvensyen, Alor Setar, malam tadi.

Dalam majlis yang sama, Anugerah Felo PERSAMA 2023 turut disampaikan kepada YBrs. Profesor Emeritus Dr. Abdul Aziz Jemain yang merupakan profesor dalam bidang statistik yang pertama di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Malaysia yang menjadi mentor dan malim kepada banyak ahli akademik dalam bidang statistik di negara ini.

YBrs. Profesor Emeritus Dr. Abdul Aziz Jemain menerima sijil penghargaan Anugerah Felo PERSAMA 2023 dan cenderamata yang disampaikan oleh Presiden PERSAMA, YBrs. Profesor Dr. Maslina Darus.

Anugerah PERSAMA 2023 menerima sebanyak 128 pencalonan dalam lima kategori yang dipertandingkan, iaitu Buku Karya Asli (16 pencalonan); Rencana Popular (23 pencalonan); Tesis Sarjana (5 pencalonan) dan Tesis Doktor Falsafah (14 pencalonan); Makalah Ilmiah (57 pencalonan); dan Reka Cipta Matematik (13 pencalonan).

Pada tahun ini, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) terpilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran Majlis Anugerah PERSAMA 2023 yang diadakan bersama-sama Majlis Hadiah Olimpiad Matematik Kebangsaan (OMK) 2022 dan 2023.

Pertandingan OMK merupakan pertandingan matematik berprestij pada peringkat kebangsaan anjuran PERSAMA sejak tahun 1971 yang melibatkan penyertaan pelajar dari seluruh negara untuk menyelesaikan permasalahan matematik yang mencabar.

Selain itu, Majlis Makan Malam bersempena Simposium Kebangsaan Sains Matematik 2023 (SKSM 2023) Ke-30 yang bertemakan “Sains Matematik Pemangkin Kemajuan Teknologi Sejagat” turut berlangsung dalam majlis yang sama.

SKSM merupakan program tahunan anjuran PERSAMA dengan kerjasama universiti awam di Malaysia yang menghimpunkan cendekiawan dalam disiplin sains dan matematik dalam negara dan luar negara bagi membentangkan hasil penyelidikan terkini.

Dalam ucapan Pengerusi SKSM 2023, YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Ahmad Kadri Junoh, beliau mengharapkan agar pertemuan antara para intelektual dalam bidang sains dan matematik dengan kepelbagaian latar belakang dan kepakaran daripada berbagai-bagai institusi pada malam ini akan membina jaringan kerjasama yang lebih mantap antara satu sama lain.

Besarlah harapan saya agar kita dapat mengembangkan potensi dan memanfaatkan perkongsian ilmu dalam membangunkan bidang sains dan matematik. Usaha bersepadu ini boleh menjadi pemangkin dalam kemajuan teknologi serta ekonomi negara.

Pengerusi SKSM 2023, YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Ahmad Kadri Junoh mengharapkan agar peserta SKSM 2023 dapat menjalinkan kerjasama dalam memartabatkan ilmu sains dan matematik kebangsaan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Institut Matematik Kejuruteraan UNIMAP, YBrs. Dr. Maz Jamilah Maznan, selain pemenang Anugerah PERSAMA 2023 dan Hadiah OMK serta para peserta SKSM 2023 Ke-30.

Senarai Penerima Anugerah PERSAMA 2023

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.