2 Mei 2023, 15:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Berdasarkan amaran yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa sirap ubat batuk Guaifenesin Syrup Tg Syrup yang dikilangkan oleh QP Pharmachem Ltd. (Punjab, India) telah tercemar dan tidak selamat digunakan berikutan mengandungi dietilena glikol dan etilena glikol melebihi had yang dibenarkan.

Sirap ubat batuk Guaifenesin Syrup Tg Syrup yang dikilangkan oleh QP Pharmachem Ltd. (Punjab, India).

Walau bagaimanapun, KKM mendapati bahawa produk berkenaan tidak berdaftar di Malaysia berdasarkan semakan yang dilakukan terhadap pangkalan data produk berdaftar Bahagian Regulatori Farmasi Negara.

“Meskipun produk ini tidak berdaftar di Malaysia, KKM menasihatkan agar orang awam yang berkemungkinan menggunakan atau mengetahui sesiapa yang sedang menggunakan produk ini untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan, terutamanya jika mengalami sebarang kesan sampingan atau kesan advers,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan.

Sakit pada bahagian abdomen, muntah, cirit-birit, kesukaran untuk membuang air kecil, sakit kepala, perubahan terhadap kesihatan mental dan kecederaan yang teruk pada buah pinggang adalah antara kesan daripada pengambilan produk sirap ubat batuk yang tercemar dengan dietilena glikol dan etilena glikol tersebut.

Selain itu, produk yang tercemar ini juga adalah tidak selamat untuk digunakan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak kerana boleh menyebabkan kesan yang serius ataupun kematian.

Susulan itu, KKM sentiasa komited dalam menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan terjamin serta perkembangan tentang hal ini akan dimaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

Orang awam digalakkan untuk membuat aduan sekiranya terdapat keraguan tentang kualiti dan keselamatan produk yang digunakan atau mempunyai sebarang maklumat berhubung dengan penjualan produk tidak berdaftar dalam pasaran melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SiSPAA) atau melaporkan aduan tersebut di Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau menghubungi talian 03-78413200 bagi membolehkan tindakan yang sewajarnya dilakukan oleh KKM.

Kredit gambar: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.