Oleh Nordalila Sabuan
13 Mac 2023, 12:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Umum mengetahui bahawa wanita berhadapan dengan pelbagai komplikasi selepas bersalin. Antara komplikasi tersebut termasuklah perdarahan postpartum dan masalah pembekuan darah.

Pembekuan darah boleh mengakibatkan kematian jika rawatan tidak diberikan. Menurut portal rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia, embolisme obstetrik, iaitu masalah pembekuan darah semasa hamil dan selepas bersalin dicatatkan sebagai penyebab utama kematian ibu bersalin pada tahun 2020 yang melibatkan sebanyak 18.8 peratus kes. Data ini menunjukkan peningkatan kes sebanyak 6.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Penyakit tromboembolus vena (VTE) berlaku apabila darah beku terbentuk dalam salur darah vena lalu menghalang aliran darah di dalam badan. Terdapat dua jenis VTE, iaitu trombosis vena dalam (DVT) dan embolisme pulmonari (PE).

DVT berlaku apabila darah beku berada di bahagian betis dan pelvis, manakala PE terjadi apabila darah beku tersebut pecah dan dibawa ke paru-paru, lalu menjejaskan fungsi paru-paru untuk menyerap oksigen dengan berkesan.

Risiko untuk mendapat komplikasi darah beku adalah lebih tinggi bagi wanita yang bersalin secara pembedahan. Selain itu, antara faktor risiko lain termasuklah wanita yang menghidap penyakit yang menyebabkan darah menjadi pekat seperti trombofilia atau kekurangan protein S, ibu yang melalui pembedahan semasa hamil atau selepas bersalin seperti pembedahan apendisitis, ibu yang mempunyai penyakit darah tinggi semasa hamil dan berterusan selepas bersalin, muntah yang teruk semasa hamil, mengandung anak kembar, proses bersalin yang panjang (melebihi 24 jam), obesiti serta merokok.

Oleh sebab itu, wanita perlu peka dengan tanda darah beku seperti bengkak kaki atau sakit pada betis, sukar bernafas, sakit dada, batuk berdarah dan denyutan nadi menjadi sangat laju selepas bersalin. Jangan berlengah untuk mendapatkan rawatan di hospital atau klinik yang berdekatan sekiranya gejala ini dikesan awal.

Rawatan Ubat Suntikan Antipembeku Darah

Antara langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mengelakkan darah beku di dalam badan termasuklah meminum air yang banyak untuk mengelakkan dehidrasi, bergerak dengan lebih aktif dan berjalan atau memakai stoking khas seperti stoking mampatan. Namun, jika langkah pencegahan ini tidak berkesan, doktor akan mencadangkan pengambilan ubat antipembeku darah atau antikoagulan bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius.

Wanita yang berpotensi mengalami darah beku selepas bersalin akan diberikan suntikan antikoagulan seperti Enoxaparin, Heparin atau Fondaparinux. Pilihan ubat suntikan ini akan diberikan oleh doktor mengikut indikasi dan kesesuaian pesakit.

 

Ubat suntikan hendaklah diambil dengan cara dan teknik yang betul. Yang berikut merupakan beberapa langkah yang perlu dipatuhi semasa melakukan suntikan.

  1. Basuh tangan dengan sabun dan keringkan.
  2. Duduk atau baring dengan selesa dalam keadaan dapat melihat bahagian badan yang akan disuntik. Pesakit boleh menyuntik ubat sendiri di bahagian perut, paha atau lengan dengan bantuan orang lain.
  3. Sapu kawasan suntikan dengan kapas beralkohol.
  4. Ambil picagari dan buka penutupnya.
  5. Cubit kulit di tempat yang akan disuntik dengan lembut bagi memastikan kawasan berlemak timbul untuk suntikan. Pastikan jarum dengan kawasan suntikan bersudut tegak, tekan picagari hingga habis dan biarkan jarum di bawah kulit selama 10 saat. Tarik keluar jarum selepas habis suntikan.
  6. Simpan ubat suntikan seperti yang diarahkan.
  7. Ubat suntikan perlu diambil pada masa yang sama setiap hari mengikut tempoh rawatan.
  8. Jika pesakit terlupa untuk mengambil suntikan, jangan gandakan dos.
  9. Jika berlaku kesan sampingan ubat, sila beritahu ahli farmasi atau doktor dan dapatkan rawatan dengan segera.

Perlu diingatkan bahawa teknik suntikan yang betul adalah penting bagi menjamin keberkesanan ubat ini. Picagari perlu dilupuskan dengan cara yang betul bagi mengelakkan kecederaan.

Picagari yang telah digunakan perlu dikumpulkan dalam bekas yang tidak ditembusi seperti tin atau bekas plastik yang keras dan tebal seperti botol detergen. Bekas juga perlu sentiasa ditutup rapat. Buangkan ke dalam tong sampah atau serahkan bekas tesebut kepada farmasi di fasiliti kesihatan kerajaan untuk pelupusan.

Isu Kandungan Porsin dalam Ubat Suntikan Enoxaparin

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 Jun hingga 25 Jun 2009 telah memutuskan bahawa penggunaan ubat yang mengandungi Enoxaparin adalah ditegah kerana dihasilkan daripada sumber yang diharamkan Islam, iaitu porsin atau khinzir.

Pada masa ini, telah terdapat ubat alternatif yang boleh digunakan sebagai antikoagulan, iaitu Fondaparinux yang dihasilkan daripada sumber yang halal dan mempunyai fungsi yang sama dengan Enoxaparin. Walau bagaimanapun, tiada bukti kukuh tentang keberkesanan ubat Fondaparinux dalam kalangan ibu hamil dan ibu yang baru melahirkan anak.

Di samping itu, Enoxaparin didapati lebih selamat digunakan untuk ibu mengandung dan menyusukan anak, termasuklah pesakit yang mempunyai masalah buah pinggang berbanding dengan Fondaparinux. Enoxaparin juga didapati lebih berkesan berbanding dengan heparin.

Pemberian Enoxaparin kepada pesakit Muslim akan dilakukan setelah mendapat kebenaran secara bertulis daripada pesakit sebelum memulakan rawatan. Hal ini adalah selaras dengan Panduan Penggunaan Ubat-ubatan yang Mengandungi Unsur Tidak Halal kepada Pesakit Muslim di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pesakit harus berbincang dengan doktor sekiranya pesakit perlu mengambil ubat suntikan Enoxaparin yang memberikan lebih banyak manfaat daripada kesan mudarat mengikut keadaan klinikal pesakit, lebih-lebih lagi ketika darurat bagi tujuan menyelamatkan nyawa. Kefahaman pesakit tentang perkara ini juga sangat penting untuk mengelakkan sebarang keraguan serta menjamin kepatuhan pesakit dalam meneruskan rawatan.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).

 

Nordalila Sabuan, Pegawai Farmasi UF52, Hospital Kajang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.