Oleh Firdaus Mul
10 Mac 2023, 19:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kegagalan fungsi tiub Eustachio menyebabkan kekurangan pengudaraan pada bahagian telinga tengah seseorang. Kesannya pada jangka masa panjang akan mengakibatkan bahagian telinga mengumpul air, sekali gus seseorang yang menghadapi masalah ini akan mengalami gangguan pendengaran.

Menyentuh perihal ini, rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menampilkan Pakar Perunding Otorinolaringologi, UiTM Private Specialist Centre, YBrs. Dr. Ahmad Kusyairi Khalid bagi mengupas topik perbincangan yang bertajuk “Pembedahan Robotik untuk Leher dan Kegagalan Tiub Eustachio”.

Pakar Perunding Otorinolaringologi, UiTM Private Specialist Centre, YBrs. Dr. Ahmad Kusyairi Khalid.

Menurut YBrs. Dr. Ahmad Kusyairi Khalid, tiub Eustachio ialah tiub yang menghubungkan bahagian belakang hidung ke bahagian telinga tengah manusia. Tiub ini memberikan pengudaraan kepada telinga tengah.

Tambah beliau, dalam beberapa situasi, misalnya seseorang itu mengalami keadaan seperti telinga berasa “penuh” walaupun telah menelan air liur, menguap atau cuba menghembus nafas semasa menutup hidung, tindakan tersebut masih menyebabkan ketidakselesaan. Hal ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya termasuklah kegagalan tiub Eustachio berfungsi kerana otot tiub tersebut kurang baik atau hidung mengalami masalah yang menyebabkan pengudaraan tidak sampai ke tiub itu seperti hidung tersumbat, resdung ataupun masalah rinitis.

Kesedaran tentang kegagalan tiub Eustachio dalam kalangan masyarakat masih berada pada tahap yang rendah. Orang ramai masih tidak cakna ataupun tidak mengetahui tentang kepentingan tiub ini. Tanda seperti telinga “penuh” yang berisi udara atau tidak boleh mendengar adalah antara simptom yang disebabkan oleh kegagalan tiub ini.

Jelas beliau lagi, situasi kegagalan tiub Eustachio ini lebih kerap berlaku kepada golongan kanak-kanak. Hal ini dikatakan demikian kerana tiub Eustachio telinga kanak-kanak adalah lebih pendek berbanding dengan orang dewasa. Kedudukan tiub tersebut juga lebih mendatar. Apabila kedudukannya mendatar, fungsi tiub Eustachio ini berkurangan berbanding dengan kedudukan tiub Eustachio orang dewasa yang sedikit menegak.

Sesi temu bual yang mengupas topik “Pembedahan Robotik untuk Leher dan Kegagalan Tiub Eustachio” yang berlangsung menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Pada masa yang sama, sesetengah kanak-kanak yang mengalami sindrom Down juga mempunyai tiub Eustachio yang lebih pendek berbanding dengan individu yang normal serta risiko mengalami kegagalan tiub berkenaan lebih tinggi.

Beliau melanjutkan lagi ruang bicaranya dengan mengupas kaedah untuk mengatasi kegagalan tiub Eustachio. Beliau menegaskan bahawa tiub ini bukan sahaja boleh dirawat melalui pembedahan robotik, malah terdapat teknik yang boleh digunakan untuk memberikan pengudaraan kepada telinga tengah. Caranya adalah dengan meletakkan tiub ventilasi (ventilation tube) di gegendang ataupun memasukkan belon melalui hidung ke tiub ini bagi menghubungkan telinga tengah ke belakang hidung. Teknik ini dikenali sebagai balloon tuboplasty atau balloon eustachian tuboplasty.

Pakar untuk melakukan pembedahan robotik tidak banyak, terutamanya pembedahan yang melibatkan bahagian kepala dan leher. Oleh itu, kaedah robotik dalam pembedahan kepala dan leher diutamakan kepada pesakit kanser atau pesakit yang mengalami ketumbuhan di dalam rongga pernafasan, pita suara dan bahagian farinks.

Pada akhir sesi temu bual, beliau berkongsikan beberapa kaedah untuk menjaga tiub Eustachio, misalnya memastikan diri tidak terdedah kepada alahan seperti hidung tersumbat dan melakukan maneuver Valsalva (pergerakan Valsalva) yang akan meningkatkan fungsi tiub ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.