26 Januari 2023, 14:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kanser serviks atau dikenali juga sebagai kanser pangkal rahim ialah kanser wanita yang pernah menjadi kanser kedua kekerapannya selepas kanser payudara di Malaysia pada tahun 2016. Terkini, mengikut perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanser serviks ialah kanser keempat di dunia dan yang ketiga di Malaysia bagi wanita pada tahun 2020.

Namun demikian, selepas kempen secara global dilakukan serta penemuan dan pengenalan vaksin bagi mencegah kanser serviks, kesnya telah berkurang. Oleh hal yang demikian, tidak mustahil dengan perancangan untuk pencegahan dan pengesanan awal bagi kanser serviks, kita mampu menjadikan Malaysia sebagai negara yang bebas daripada kanser serviks.

Kanser serviks berpunca daripada proses mutasi yang berlaku pada lapisan pangkal rahim akibat kekerapan kerosakan sel. Antara punca utama kerosakan sel tersebut termasuklah jangkitan papilomavirus manusia (HPV).

HPV boleh dijangkiti melalui hubungan kelamin. Antara kumpulan yang berisiko mendapat kanser serviks termasuklah:

  1. Kerap bertukar pasangan kelamin.
  2. Memulakan hubungan kelamin pada usia yang muda (bawah 18 tahun).
  3. Mempunyai pasangan kelamin yang berisiko (mempunyai banyak pasangan yang lain).
  4. Perokok (mempunyai dua kali ganda risiko dari yang tidak merokok).
  5. Mempunyai sistem imun pertahanan yang lemah seperti individu yang dijangkiti virus kurang daya tahan manusia (HIV).
  6. Jangkitan pada alat kelamin seperti jangkitan virus Chlamydia.
  7. Penggunaan pil perancang kehamilan untuk tempoh yang lama.
  8. Mempunyai bilangan kehamilan yang banyak dan umur yang muda semasa kehamilan yang pertama.
  9. Latar belakang keluarga dengan sosioekonomi yang rendah (berkait rapat dengan kesedaran serta kemampuan melakukan ujian smer Papanicolaou (Pap).
  10. Diet permakanan yang tidak seimbang, terutamanya kurang pengambilan buah-buahan serta sayur-sayuran.

Gejala utama seseorang wanita itu disyaki menghidap kanser serviks ialah pendarahan yang keluar dari faraj tanpa disangka-sangka. Hal ini termasuklah pendarahan antara (dan bukan pada) kitaran haid, pendarahan selepas menopaus, pendarahan selepas melakukan hubungan kelamin dan pendarahan haid yang lama daripada biasa.

Selain tanda pendarahan, satu lagi tanda bahawa seseorang itu berkemungkinan menghidap kanser serviks ialah rasa kesakitan apabila melakukan hubungan kelamin pada bahagian ari-ari atau bawah pusat. Pengeluaran cecair luar jangka melalui faraj seperti keluarnya antara kitaran haid atau selepas menopaus juga adalah antara tanda seseorang itu menghidap kanser serviks.

Sekiranya seseorang itu mempunyai tanda seperti yang dinyatakan, maka mereka perlulah mendapat nasihat doktor yang berkaitan untuk tindakan selanjutnya. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan tidak mengendahkannya, keadaan tersebut akan menyebabkan risiko kanser tersebut terus berkembang dan merebak.

Antara tanda kanser serviks mungkin berada pada peringkat tinggi atau telah berkembang dan merebak, terutamanya apabila simptom yang dijelaskan sebelum ini dibiarkan adalah kaki mula membengkak, terdapat gangguan pada pundi kencing dan usus serta berlakunya pendarahan apabila membuang air kecil.

Sekiranya seseorang wanita mempunyai tanda seperti di atas, maka dinasihatkan untuk segera membuat janji temu untuk berjumpa dengan doktor perubatan yang mempunyai latihan dalam bidang sakit puan. Semasa pemeriksaan.  pesakit akan dinilai dengan soalan yang berkaitan, terutamanya risiko kebarangkalian mendapat kanser serviks.

Pesakit juga akan diperiksa untuk memastikan punca utama permasalahan dan hal ini termasuklah melakukan pemeriksaan faraj atau alat sulit. Semasa pemeriksaan ini juga, satu calitan akan dibuat untuk mendapatkan sampel bagi memastikan sel yang diambil berisiko mempunyai sel kanser serviks ataupun tidak.

Sekiranya pesakit dalam keadaan sakit pada kemaluannya untuk diperiksa dengan teliti, maka satu pemeriksaan lengkap berserta bius akan dilaksanakan dan biopsi akan dilakukan pada ketumbuhan sekiranya ada. Hal ini amat penting bagi pakar perubatan mendapat diagnosis yang tepat dan menawarkan rawatan yang berkesan.

Rawatan yang sesuai dan terkini untuk kanser serviks bergantung kepada peringkat atau tahap kanser tersebut apabila pertama sekali dikesan. Pada kebiasaannya, peringkat kanser serviks terbahagi kepada empat yang diperkenalkan oleh International Federation of Gynecology and Obstetrics (FIGO).

Penetapan tahap kanser serviks antara satu (I) hingga empat (IV) ini bergantung kepada pemeriksaan pelvik yang lengkap dibantu dengan imbasan ultrabunyi serta imbasan tomografi berkomputer (CT) atau tomografi pancaran positron (PET). Doktor di klinik pakar sakit puan juga akan menerangkan akan makna bagi setiap peringkat kanser serta cadangan rawatan yang sesuai.

Rawatan kanser serviks ini pada dasarnya bergantung kepada peringkat FIGO kanser tersebut. Peringkat paling awal, iaitu FIGO IA – IB2 boleh dirawat melalui pembedahan. Peringkat FIGO IB2 – IIIC pula perlu dirawat dengan radioterapi dan kemoterapi, manakala peringkat FIGO IV memerlukan rawatan kemoterapi.

Namun begitu, segala rawatan yang sesuai perlu dibincangkan dengan pakar onkologi kerana terdapat keperluan untuk mengambil kira faktor umur, tahap kecergasan pesakit, penyakit lain yang ada serta kemudahan pesakit mendapat rawatan termasuklah implikasi kewangan kepada pesakit.

Setelah mengetahui dengan ringkas tentang kanser serviks seperti maklumat di atas, terutamanya berkaitan dengan risiko, tanda dan rawatan, persoalan asalnya ialah bolehkah Malaysia bebas daripada kanser serviks pada suatu hari nanti? Pada pendapat saya, hal ini boleh berlaku kerana dua faktor utama, iaitu pencegahan serta pengesanan awal.

Oleh sebab kita telah mempelajari bahawa pembawa atau risiko utama kanser serviks ialah jangkitan HPV, maka pencegahan daripada mendapat jangkitan virus HPV ini mampu mengurangkan risiko kanser serviks sehingga 70 peratus. Penemuan vaksin untuk HPV pada awal abad ini berserta program anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia yang memperkenalkan program vaksinasi terhadap anak remaja yang berumur 13 tahun mampu menurunkan kadar jangkitan HPV serta kes kanser serviks dengan amat berkesan sekali, iaitu sekitar 50 peratus hingga 70 peratus.

Selebihnya, komitmen wanita yang sudah mendirikan rumah tangga serta yang aktif melakukan hubungan kelamin untuk melakukan pemeriksaan saringan smer Pap serta saringan HPV. Saringan ini boleh dilakukan oleh semua golongan wanita yang sedang aktif melakukan hubungan kelamin, bermula pada umur 40 tahun dan ke atas atau 10 tahun lebih awal daripada ahli keluarga yang telah mengidap kanser serviks sekiranya ada, di mana-mana fasiliti kerajaan atau swasta.

Dengan gabungan elemen pencegahan melalui vaksinasi terhadap HPV serta pengesanan awal melalui saringan smer Pap Smear dan HPV, saya pasti sekiranya dilakukan dengan menyeluruh, maka impian Malaysia untuk menjadi negara yang bebas daripada kanser serviks mampu dicapai.

Sebagai kesimpulannya, kanser serviks ialah kanser yang telah berubah daripada kanser kedua yang kerap menyerang wanita selepas kanser payudara kepada kanser keempat selepas vaksin serta saringan smer Pap diperkenalkan. Risiko kanser serviks juga berkait rapat dengan jangkitan HPV.

Oleh sebab itu, sebarang aktiviti yang membolehkan jangkitan HPV, terutamanya hubungan kelamin menambahkan risiko jangkitan. Tanda seperti pendarahan serta sakit di bahagian kemaluan perlu dirujuk dengan doktor yang berkaitan dengan segera kerana rawatan yang sesuai dan berkesan mampu menyelamatkan nyawa.

Bagi mencapai matlamat Malaysia bebas kanser serviks, pencegahan serta saringan awal perlu selari dan seiringan. Pencegahan adalah melalui vaksinasi terhadap HPV dan saringan awal melalui pemeriksaan saringan smer Pap dan HPV. Kedua-dua cara tersebut boleh dilakukan di fasiliti kerajaan atau swasta.

Di samping itu juga, petugas kesihatan di setiap fasiliti bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan yang berminat perlu memainkan peranan dalam memberikan khidmat nasihat dan menjalankan kempen kesedaran kanser serviks dengan memberikan pendedahan akan keperluan serta kepentingan pencegahan serta saringan kesihatan, terutamanya smer Pap bagi memastikan negara kita bebas kanser serviks.

*Artikel ini disediakan bersempena dengan bulan kesedaran kanser serviks, iaitu pada Januari setiap tahun.

 

Dr. Wan Mohd Nazri Wan Zainon ialah Penyelaras Onkologi Klinikal di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.