10 Januari 2023, 18:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Organofosfat ialah bahan kimia yang digunakan secara meluas sebagai racun serangga perosak dalam bidang pertanian dan di rumah. Antara jenis racun organofosfat yang sering digunakan termasuklah Malathion, Diazinon dan Chlorpyrifos.

Penggunaan racun serangga ialah satu daripada usaha bagi meningkatkan hasil pertanian dan mengurangkan kerugian akibat serangan serangga perosak. Walau bagaimanapun, Pertubuhan kesihatan Sedunia menganggarkan sebanyak 200 ribu kematian dilaporkan pada setahun akibat keracunan organofosfat yang disengajakan di seluruh dunia.

Keracunan organofosfat boleh berlaku apabila seseorang terdedah kepada racun melalui tiga cara, iaitu melalui pernafasan apabila seseorang itu terhidu semburan racun perosak; melalui mulut apabila makanan atau minuman yang diambil telah dicemari dengan racun; dan melalui kulit.

Gejala keracunan organofosfat dapat dilihat dalam tempoh enam jam hingga 12 jam selepas terdedah kepada racun ini. Antara gejala awal keracunan termasuklah batuk, masalah pernafasan yang teruk, kadar degupan jantung yang perlahan, tekanan darah rendah, hidung berair, loya, muntah, sawan, penglihatan menjadi kabur serta penghasilan peluh dan air liur yang berlebihan. Keracunan organofosfat yang tidak dirawat dengan segera boleh menyebabkan kerosakan kekal fungsi ginjal, hati, paru-paru, saraf serta boleh mengakibatkan kematian.

Rawatan Keracunan Organofosfat

Apabila kulit terkena racun serangga organofosfat, cuci bahagian badan yang terlibat dengan sabun dan air yang banyak. Saeseorang itu juga perlu mandi dan menukar pakaian yang bersih.

Sekiranya racun terkena pada mata, pastikan mata dicuci dengan air yang mengalir. Bagi kes tertelan racun organofosfat pula, orang awam dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan dengan secepat mungkin di hospital yang berdekatan.

Matlamat pertama rawatan kecemasan adalah untuk memastikan pesakit dalam keadaan stabil. Petugas kesihatan akan memberikan perhatian kepada pernafasan pesakit bagi mendapatkan kembali pola pernafasan yang normal. Bekalan oksigen tambahan akan diberikan bagi menjamin paras oksigen berada pada tahap yang optimum.

Bagi kes keracunan yang serius pula, antidot diperlukan untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Terdapat tiga jenis antidot yang lazimnya digunakan untuk keracunan organofosfat, iaitu Atropine, Pralidoxime dan Diazepam.

Atropine digunakan untuk mengurangkan pengeluaran air liur yang berlebihan dan mengeringkan cecair dalam saluran pernafasan. Ubat ini juga melegakan gejala saluran penafasan sempit. Dos awal sebanyak satu milligram hingga dua milligram akan diberikan secara intravena. Sekiranya tiada kesan sampingan ubat diperhatikan, dos atropine boleh digandakan pada setiap lima minit sehingga gejala keracunan reda.

Antara kesan sampingan atropine termasuklah sakit dada dan demam dengan suhu yang tinggi. Namun demikian, manfaat penggunaannya dalam rawatan bagi pesakit yang mempunyai gejala yang memudaratkan melebihi risiko kesan sampingan tersebut.

Selain itu, Pralidoxime juga digunakan untuk merawat keracunan organofosfat. Ubat ini bertindak dengan melegakan gejala seperti lemah otot dan lumpuh. Bagi menjamin keberkesanan ubat ini, Pralidoxime perlu digunakan dalam tempoh masa 24 jam hingga 48 jam selepas keracunan berlaku. Antara kesan sampingan Pralidoxime termasuklah pening kepala, kabur penglihatan, penglihatan berganda, sakit kepala dan loya.

Diazepam pula digunakan untuk mengawal sawan akibat keracunan organofosfat. Ubat ini dapat mengurangkan kerosakan pada sistem saraf pusat pesakit. Dos diazepam diberikan secara intravena sebanyak dua milligram hingga 10 miligram dan boleh dinaikkan pada setiap tiga minit hingga sepuluh minit jika perlu. Antara kesan sampingan Diazepam termasuk rasa mengantuk, ruam, sakit kepala, loya dan cirit-birit.

Sebagai kesimpulannya, bagi golongan yang berisiko untuk mendapat keracunan organofosfat seperti pekerja dalam bidang pertanian dan individu yang tinggal berhampiran dengan ladang, beberapa langkah pencegahan perlu diambil.

Pekerja di ladang perlu memakai alat perlindungan diri seperti sarung tangan, gogal dan topeng dengan lengkap semasa mengendalikan sebarang racun atau bahan kimia. Tindakan dan rawatan awal adalah penting seandainya terdapat pendedahan kepada organofosfat, sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius dan boleh membawa maut.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang kecuali pada cuti umum.

 

Betty Tang Zhi Xin ialah Pegawai Farmasi (UF41) di Hospital Sibu, Sarawak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.