7 Januari 2023, 17:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejak dari kecil, orang ramai sering diperdengarkan bahawa orang yang pandai bergaul dan mahir berinteraksi ialah golongan yang lebih berjaya pada masa hadapan. Sementara itu, bagi mereka yang pemalu dan pendiam, mereka berada dalam golongan yang mundur dan tidak maju.

Pada kebiasaannya, orang yang pemalu atau tidak pandai bersosial sering dilabel sebagai introvert. Introvert juga sering dilihat sebagai golongan yang antisosial. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, introvert ialah orang yang suka memendam rasa, menumpukan perhatian pada dirinya sendiri dan tidak suka bergaul dalam masyarakat atau dunia luar.

Introvert juga sering disalah faham sebagai rasa malu, kemurungan, kekasaran, atau kegelisahan. Introvert sering menjadi sasaran kepada banyak tanggapan yang salah dan stereotaip yang hampir tidak mempunyai kaitan dengan konsep introvert itu sendiri.

Berdasarkan psikologi, seseorang yang mempunyai ciri introvert lebih fokus kepada diri sendiri dalam soal pemikiran dan perasaan berbanding dengan berkongsinya dengan orang lain atau dunia luar. Seseorang yang introvert lazimnya lebih cenderung berdiam diri dan hanya fokus pada diri mereka sendiri. Mereka juga sering dipersalahkan kerana mereka dianggap tidak suka berkawan dengan orang di sekitarnya.

Oleh sebab itu, individu introvert juga dianggap sombong kerana pendiam dan tidak ingin bergaul dengan orang lain. Persepsi salah ini perlu dihilangkan daripada norma masyarakat kita pada hari ini. Mereka juga mempunyai harapan, cita-cita yang tinggi dan mempunyai keinginan seperti orang di sekeliling mereka.

Mengapakah golongan introvert sering dipersalahkan? Terdapat pelbagai jawapan bagi persoalan tersebut. Sifat dan perwatakan mereka yang pendiam sebenarnya yang menimbulkan salah faham masyarakat sekeliling yang tidak mengenali golongan ini. Mereka bukan tidak mahu bergaul dan menikmati kehangatan persahabatan, namun mereka amat berhati-hati untuk menjalinkan sesuatu hubungan. Kualiti menjadi ciri penting dan pilihan bagi mereka untuk berada dalam masyarakat.

Individu yang mempunyai personaliti introvert juga sering dikatakan tidak mempunyai kemahiran dalam komunikasi. Namun begitu, di sebalik kelemahan inilah terbitnya keistimewaan yang dimiliki oleh golongan ini. Individu introvert ialah pendengar yang setia. Mereka mampu mendengar dengan baik, memahami dan seterusnya memberikan pandangan yang teliti terhadap sesuatu isu yang dikongsikan.

Sungguhpun begitu, dalam diamnya introvert, mereka juga sangat berkemahiran dalam memerhatikan sesuatu perkara. Walaupun mereka ini sering kali dianggap menyendiri, namun ketahuilah bahawa mereka sebenarnya sedang menyerap maklumat yang disampaikan oleh orang sekeliling mereka.

Sebagai pemerhati yang baik, mereka juga mempunyai daya fokus yang tinggi. Individu introvert biasanya peka terhadap persekitaran mereka. Mereka juga sangat berhati-hati dan teliti sebelum melaksanakan sesuatu tindakan.

Individu introvert  ialah orang yang amat menghargai sesuatu persahabatan atau perhubungan. Disebabkan oleh kurangnya bilangan individu dalam persekitaran sosial mereka, hal tersebut menyebabkan mereka sangat menghargai orang yang setia berada di sisi mereka.

Individu introvert juga mempunyai tahap empati yang tinggi untuk memahami perasaan orang lain. Walaupun mereka mempunyai karektor yang tertutup, individu introvert lebih kerap memberikan perhatian pada rakan berbanding individu ekstrovert yang memiliki ramai rakan tetapi hubungannya secara permukaan sahaja.

Menjadi introvert bukanlah suatu kesalahan. Hal ini dikatakan demikian kerana personaliti ini sangat menghormati ruang peribadi diri sendiri dan orang lain. Secara umumnya, introvert sangat menjaga dan menghormati persekitaran mereka. Lantaran itu, mereka sendiri mahu ruang peribadi mereka dihormati oleh orang sekeliling.

Dengan menjaga jarak dan ruang perhubungan sosial ini, golongan introvert sering kali dilihat sebagai rakan yang selamat untuk didekati kerana kita yakin dengan personalitinya yang menghormati batas. Individu dengan personaliti introvert juga akan lebih banyak berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu tindakan.

Bersendirian itu ialah biasanya menjadi pilihan bagi individu yang mempunyai personaliti introvert. Oleh sebab itu, pilihan mereka untuk bersendirian dan melakukan pelbagai tugasan seorang diri secara tidak langsung telah membina tahap berdikari mereka tanpa bantuan orang sekeliling. Hal ini adalah berbeza dengan individu esktrovert yang memilih untuk mempunyai banyak rakan dan mementingkan kerjasama antara kumpulan.

Sungguhpun begitu, hal ini tidak bermaksud introvert langsung tidak mahu berkerja atau melakukan tugasan dalam kumpulan. Sekiranya mereka mempunyai pilihan untuk melakukan sesuatu secara berseorangan, mereka lebih selesa.

Introvert juga lebih puas dan rasa diperkasakan apabila dapat menyelesaikan tugasan yang sukar dilakukan secara bersendirian dengan kemampuan diri mereka sendiri. Mereka berasa lebih selesa memfokuskan pada pemikiran dan idea dalaman mereka, berbanding dengan segala yang berlaku secara luaran.

Secara kesimpulannya, personaliti seseorang individu terbina melalui pelbagai faktor yang mempengaruhi seperti latar belakang biologi, psikologi, persekitaran sosial dan cara didikan. Individu introvert haruslah mengambil segala ciri dan keistimewaan mereka yang unik itu sebagai kekuatan peribadi mereka sendiri. Orang ramai juga perlu lebih bersifat terbuka dan menghormati golongan yang mempunyai identiti mereka yang tersendiri ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.