16 Disember 2022, 17:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan memberikan tumpuan terhadap penerokaan bidang atau sumber ekonomi baharu seperti bidang tenaga boleh baharu atau pembangunan rantaian ekonomi hijau termasuklah pembangunan bidang kenderaan elektrik (EV).

Menterinya, YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, “Usaha akan dilakukan untuk mengurangkan jejak karbon negara melalui langkah peralihan tenaga, yakni pelaksanaan inisiatif 3D, iaitu digitalisation, decentralisation dan decarbonisation akan diberikan tumpuan utama.

“Usaha peralihan tenaga adalah penting kerana sektor tenaga menyumbang kira-kira 80 peratus daripada jumlah pembebasan gas kaca di negara kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Stesen Pengecas EV Bangi Golf Resort dan Penyerahan Lesen Pengagihan Awam Sistem Pengecas EV oleh Suruhanjaya Tenaga kepada Syarikat EV Connection Sdn. Bhd..

Menurut beliau, usaha peralihan tenaga yang akan dilaksanakan ini memerlukan sokongan padu daripada pelbagai pihak, terutamanya sektor swasta. Oleh itu, usaha sama antara Syarikat Gentari Sdn. Bhd. dengan Syarikat EV Connection Sdn. Bhd. dalam membangunkan infrastruktur pengecas EV ini perlu diperluaskan lagi agar dapat mempercepatkan peralihan kepada penggunaan EV di Malaysia.

Suruhanjaya Tenaga sebagaimana peruntukan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) akan melakukan tindakan kawal selia berasaskan peruntukan perundangan dalam usaha memastikan infrastruktur pembekalan elektrik termasuklah pengecas EV yang dibangunkan adalah selamat dan mematuhi piawaian keselamatan tertinggi.

Tambahnya lagi, Suruhanjaya Tenaga juga telah menerbitkan Guide on Electric Vehicle Charging System (EVCS) sebagai dokumen rujukan kepada semua pihak yang berkepentingan mengenai keperluan teknikal dan syarat regulatori bagi pembangunan infrastruktur EV di negara ini.

Pihak Gentari Sdn. Bhd. sebagai antara pemain utama dalam pembangunan infrastruktur pengecasan EV diharapkan boleh berganding usaha dengan pihak kementerian untuk bersama-sama menerokai aspek integrasi “vehicle to grid” bagi menyokong usaha peralihan tenaga.

Pada masa yang sama, beliau turut menyeru semua pihak yang terlibat dalam membangunkan infrastruktur pengecas EV untuk mematuhi peraturan yang dikeluarkan bagi menjamin keselamatan awam termasuklah mendapatkan lesen pengagihan awam daripada Suruhanjaya Tenaga.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.