Oleh Suyuthi Yusuf
11 Ogos 2022, 16:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Serdang – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja (BKR) terus aktif dalam menerbitkan bahan bacaan bermutu dan berkualiti untuk golongan kanak-kanak.

Pada kali ini, buku terbaharu terbitan DBP, iaitu buku cerita bergambar kanak-kanak Rumah Baharu Pario nukilan Dr. Kua Beng Chu dilancarkan di MAEPS, Serdang. Beliau merupakan Timbalan Pengarah Kanan Penyelidikan FRI Batu Maung.

Tetamu kehormat bersama-sama penulis meletakkan tangan pada replika bola kristal sebagai simbolik pelancaran buku Rumah Baharu Pario.
Buku Rumah Baharu Pario.

Pelancaran buku tersebut berlangsung bersempena dengan Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Inovasi Tahun 2022, Jigsaw Puzzle Pemodenan Vesel Penangkapan Ikan dan Membina Model Tukun Tiruan, pagi tadi.

Buku tersebut dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, YBhg. Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee sambil disaksikan oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, YBhg. Tuan Haji Mohd Sufian Sulaiman serta Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.

Penulis, Dr. Kua Beng Chu (kiri) bersama-sama editor buku Rumah Baharu Pario, Puan Siti Masni.

Bagi memastikan golongan kanak-kanak tidak ketinggalan dalam mendapatkan bahan bacaan yang bermutu berkaitan dengan flora dan fauna, DBP mengambil tanggungjawab dengan menerbitkan buku tersebut bertepatan dengan usaha DBP untuk menambah khazanah bacaan kanak-kanak dalam bahasa Melayu.

Penerbitan buku ini juga membuktikan bahawa DBP sentiasa komited dan terus menjayakan usaha dalam mengembangkan bahasa Melayu kepada semua golongan masyarakat, tidak terkecuali kepada golongan kanak-kanak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.