Oleh Azizi Ahmad
2 Ogos 2022, 10:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Usaha global untuk menguruskan wabak telah didokumenkan sejak “wabak hitam” di Eropah pada abad ke-14 yang menyebabkan sempadan dipantau untuk jangkitan. Sejak itu, beberapa peraturan telah dibangunkan dan dikembangkan untuk memantau kemunculan penyakit baharu. Tambahan pula, perhubungan antara negara di dunia semakin meningkat melalui perjalanan dan perdagangan.

Wabak epidemik merujuk corak pertumbuhan eksponen tertentu dalam jangkitan yang melebihi jangkaan biasa dalam jangka masa yang singkat (beberapa hari atau minggu). Epidemik mempunyai kesan yang mengganggu dan memerlukan perhatian segera.

Setiap kali terdapat wabak penyakit di dunia seperti cacar monyet, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) perlu mempertimbang jenis pemberat yang perlu diberikan, termasuklah sama ada wabak tersebut merupakan kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan pada tahap antarabangsa atau tidak.

Terdapat banyak penyakit yang boleh menyerang sebilangan besar orang ramai. Tetapi tidak semua penyakit dianggap kecemasan kesihatan awam. Keseriusan wabak ialah fungsi kepada beberapa faktor. Hal ini termasuklah tahap kejangkitan dan potensi penyebaran pantas, keterukan jangkitan, kadar kematian kes, ketersediaan vaksin atau rawatan, kesan ke atas perjalanan dan perdagangan serta konteks sosioekonomi.

Pengisytiharan kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa oleh WHO mencetuskan beberapa perkara. Yang pertama hal ini menandakan komitmen untuk menyediakan sumber antarabangsa sebagai tindak balas. Sementara itu, pengisytiharan tersebut membolehkan peruntukan lain digunakan dalam Peraturan Kesihatan Antarabangsa.

Hal ini berasal daripada Peraturan Sanitari Antarabangsa pada pertengahan tahun 1900-an yang digunakan untuk mengawal wabak kolera. Ketika itu, terdapat peningkatan kesedaran tentang kesan sosial dan ekonomi penyakit wabak yang merentas sempadan, serta kebimbangan mengenai gangguan yang tidak wajar terhadap perdagangan.

Pada tahun 1969, peraturan tersebut dinamakan semula sebagai Peraturan Kesihatan Antarabangsa oleh WHO dan kemudiannya diubah suai pada tahun 1973 dan tahun 1981. Peraturan ini menyediakan rangka kerja untuk tiga penyakit sahaja, iaitu taun, demam kuning dan wabak. Prinsip dalam rangka kerja ini ialah keselamatan maksimum terhadap penyebaran penyakit antarabangsa dengan gangguan minimum terhadap lalu lintas dunia.

Pada tahun 1995 pula, semakan rasmi dimulakan untuk meluaskan skop peraturan dengan enam kategori cadangan sindrom yang boleh dilaporkan, iaitu sindrom demam berdarah akut; sindrom pernafasan akut, sindrom cirit-birit akut; sindrom jaundis akut; sindrom neurologi (neurological ) akut; dan sindrom lain .

Di samping itu, lima faktor telah dicadangkan untuk menentukan sama ada sekumpulan sindrom tersebut bersifat “mendesak” dan mempunyai kepentingan antarabangsa. Hal ini termasuklah penularan pantas dalam komuniti, nisbah kematian kes yang tinggi tanpa diduga, sindrom yang baru dikenali, profil politik dan media yang tinggi serta sekatan perdagangan atau perjalanan.

Semakan terakhir terhadap peraturan itu dilakukan pada tahun 2005 berikutan wabak SARS yang melanda dunia pada tahun 2003. Lima perubahan substantif daripada versi terdahulu ialah:

  1. pengembangan skop peraturan yang dramatik;
  2. pewujudan kewajipan kepada negara untuk membangunkan pengawasan teras minimum dan kapasiti tindak balas;
  3. memberikan WHO kuasa untuk mengakses dan menggunakan sumber maklumat pengawasan bukan kerajaan;
  4. memberikan WHO kuasa untuk mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa dan mengeluarkan cadangan tentang cara negara atau pihak berkepentingan menanganinya; dan
  5. penggabungan konsep hak asasi manusia dalam pelaksanaan peraturan.

Peraturan menetapkan cara kecemasan akan diuruskan. Hal ini termasuklah menubuhkan senarai pakar yang dilantik oleh Ketua Pengarah WHO dalam semua bidang kepakaran yang berkaitan. Kemudian, jawatankuasa kecemasan akan diambil daripada senarai ini untuk mendapatkan nasihat. Jawatankuasa itu perlu memutuskan tentang pelbagai isu yang berkaitan dalam menguruskan wabak.

Kebanyakan masalah kecemasan global bukanlah masalah kesihatan yang khusus, tetapi hal ini juga berkaitan dengan masyarakat sivil, pelibatan masyarakat, undang-undang dan ketenteraman serta kawalan sempadan. Sebagai contohnya, wabak Ebola yang melanda dunia pada tahun 2014, asukan promosi kesihatan telah dibunuh beramai-ramai di Guinea kerana penduduk tempatan takut orang luar datang ke kampung mereka. Semasa wabak COVID-19, kita juga menyaksikan pergolakan awam di beberapa buah negara.

Semua isu ini menjadi pertimbangan WHO apabila memutuskan sama ada untuk mengisytiharkan sesuatu wabak itu sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi perhatian antarabangsa. Persekitaran keganasan, konflik dan kekurangan kepercayaan yang mengelilingi wabak semasa sudah pasti akan menjadi sebahagian daripada perbincangan jawatankuasa pakar WHO. Selain itu, hal ini juga menyerlahkan kepentingan pemerkasaan dan mobilisasi komuniti akar umbi, pelibatan pemimpin tempatan, sensitiviti budaya dan komunikasi risiko dalam tindak balas kepada sesuatu wabak.

 

Azizi Ahmad ialah mantan pendidik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.