29 Julai 2022, 08:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyatakan komitmen untuk memperkasa pembangunan teknologi baharu dalam industri agrikomoditi.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, MOSTI telah menganjurkan program latihan upskilling deeptech and future skills bagi membantu industri mendapatkan pekerja yang berkredibiliti dan mempunyai kemahiran kompeten selain membangunkan kapasiti pekerja menerusi pendedahan kepada keperluan sebenar industri.

YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba ketika menyampaikan ucaptama.

Program ini bertujuan untuk membantu Keluarga Malaysia yang mempunyai latar belakang kemahiran sains, teknologi dan inovasi, khususnya dalam kalangan mereka yang hilang pekerjaan berikutan terkesan dengan pandemik untuk kembali bekerja dan seterusnya menjana pendapatan.

Tambah beliau lagi, penggunaan teknologi baharu dalam industri agrikomoditi juga dapat membantu mengatasi tenaga buruh selain meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos.

Antara penyelesaian teknologi yang ditawarkan oleh MOSTI ialah penggunaan teknologi nuklear dalam penghasilan biobaja dan tiang biokomposit, teknologi nano, dron untuk penyemburan baja, dan kecerdasan buatan untuk membantu pengurusan ladang menghitung jumlah pokok dengan lebih mudah dan pantas.

MOSTI dengan kerjasama agensi di bawahnya seperti Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) akan bekerjasama dan menyokong KPPK serta pemain industri agrikomoditi menerusi proses transformasi dan adaptasi teknologi, penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan teknologi.

Syarikat korporat serta peladang dan pekebun kecil dialu-alukan untuk berinteraksi dengan agensi di bawah MOSTI dan syarikat teknologi yang disokong oleh MOSTI bagi mendapatkan bantuan serta sokongan yang disediakan.

Menteri MOSTI mengunjungi gerai pameran.

Malaysia International Agricommodity Expo and Summit (MIACES) 2022 yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 26 Julai 2022 hingga 28 Julai 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob melibatkan penyertaan daripada 39 buah negara dan lebih daripada 350 buah syarikat antarabangsa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.