29 Julai 2022, 14:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan tinjauan kesihatan mulut orang dewasa sedang dilaksanakan yang bermula dari bulan Jun lalu hingga bulan September ini di seluruh negara.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam, pelaksanaan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2020: Kaji Selidik Kesihatan Pergigian Orang Dewasa 2020 (NHMS 2020: NOHSA 2022) dengan kerjasama antara Program Kesihatan Pergigian KKM dengan Institut Kesihatan Umum, KKM sebenarnya telah dirancang pada tahun 2020, namun terpaksa ditangguhkan ekoran negara dilanda pandemik COVID-19.

Kaji selidik kesihatan pergigian orang dewasa kali ini merupakan yang keempat dan dijalankan secara berkala pada setiap 10 tahun.

NHMS 2020: NOHSA 2020 dilaksanakan untuk mendapatkan data kesihatan pergigian serta bebanan penyakit pergigian dalam kalangan warganegara Malaysia. Program ini melibatkan lawatan ke rumah yang terpilih dan dijangka melibatkan sebanyak 23 ribu responden yang berumur 15 tahun dan ke atas daripada 11 300 buah rumah.

Sebanyak 65 pasukan pemeriksa telah dibentuk khusus bagi aktiviti pengumpulan data yang melibatkan temu ramah dan pemeriksaan mulut yang merangkumi pemeriksaan gigi, gusi dan lesi mulut.

Hasil dapatan yang diperoleh akan digunakan bagi menilai keberkesanan dan impak ke atas inisiatif serta program kesihatan pergigian yang telah dilaksanakan di seluruh negara.

Selain itu, hasil dapatan ini juga akan dijadikan sebagai data garis dasar bagi Pelan Strategik Kesihatan Pergigian Kebangsaan (2022 — 2030) memandangkan majoriti data kesihatan mulut sedia ada hanya diperoleh daripada penduduk yang menggunakan fasiliti KKM sahaja dan tidak mewakili keseluruhan penduduk Malaysia.

Antara penemuan utama dalam tinjauan terakhir yang diadakan pada tahun 2010, beban penyakit pergigian adalah tinggi dalam kalangan penduduk berumur 15 tahun ke atas, iaitu sebanyak 88.9 peratus mempunyai karies pergigian, manakala 94 peratus mengalami penyakit gusi.

KKM juga berharap agar semua pihak yang terlibat dapat memberikan kerjasama kepada pasukan pergigian yang mengunjungi rumah terpilih kelak.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!