26 Julai 2022, 11:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kesihatan (KKM) telah mempertingkat survelan dan advokasi mengenai cacar monyet berikutan pengumuman Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa jangkitan monkeypox yang berlaku pada masa ini sebagai Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa atau Public Health Emergency Of International Concern (PHEIC).

Dalam kenyataan media oleh Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin semalam, antara tindakan yang diambil oleh KKM termasuklah memaklumkan kepada fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta akan keperluan menotifikasi kes disyaki dan disahkan sebagai cacar monyet dengan segera bagi memastikan langkah kawalan dan pencegahan dapat diambil, termasuklah mengenal pasti kontak rapat kes.

Di samping itu, KKM juga mewujudkan survelan sentinel di beberapa buah klinik swasta dan kerajaan bagi memantau kejadian penyakit ruam atau lesi kulit.

Bagi mempertingkat kapasiti makmal yang boleh menjalankan ujian pengesanan virus cacar monyet, dua makmal telah ditambah menjadi 12 makmal yang terdiri daripada lapan makmal kerajaan dan empat makmal swasta.

Sejak 1 Mei 2022 hingga 23 Julai 2022, sebanyak 531 630 pengembara yang direkodkan tiba dari negara yang melaporkan kes cacar monyet dan aplikasi MySejahtera telah mengeluarkan Health Alert Monkeypox kepada pengembara ini. Sehuungan dengan itu, bagi mempertingkat survelan di pintu masuk antarabangsa negara, KKM akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), syarikat penerbangan dan agensi berkaitan termasuklah pihak Malaysian Airlines Holding Berhad.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, KKM juga akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi lain seperti Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pelancongan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pengajian Tinggi, pihak badan bukan kerajaan dan lain-lain yang berkaitan dalam pemantauan serta pengesanan kes cacar monyet.

KKM juga mengingatkan kepada semua fasiliti kesihatan agar peka dengan situasi semasa cacar monyet serta meningkatkan pengesanan kes dalam kalangan pesakit yang berisiko.

Pada 17 Jun 2022, sebanyak 2103 kes cacar monyet dilaporkan berlaku di 42 buah negara dengan satu kematian. Dalam tempoh kurang daripada dua bulan, bilangan kes telah meningkat kepada 16 836 kes dengan lima kematian dan melibatkan sebanyak 74 buah negara pada 22 Julai 2022.

Berdasarkan laporan Second Meeting of the International Health Regulation 2005 (IHR) Emergency Committee Regarding the MultiCountry Outbreak of Monkeypox yang diterbitkan oleh WHO pada 23 Julai 2022, penularan virus cacar monyet pada ketika ini dilaporkan berlaku dalam kalangan gay, biseksual dan lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki atau individu dengan risiko tinggi jangkitan seperti pekerja seks dan transgender. Namun begitu, penyakit ini boleh juga menjangkiti ahli keluarga melalui sentuhan.

Kes cacar monyet pertama kali dilaporkan oleh WHO pada 15 Mei 2022 dan berlaku di beberapa buah negara yang bukan endemik penyakit ini. Di Malaysia, sehingga 23 Julai 2022, sebanyak sembilan kes disyaki cacar monyet telah dinotifikasi kepada KKM dan semua kes telah disahkan negatif cacar monyet.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.