Oleh Rosliza Yahaya
25 Julai 2022, 14:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Isu kesihatan mental, masalah kesihatan dan penyakit mental bukanlah suatu topik yang asing lagi pada masa ini. Namun begitu, isu ini masih sering disalah erti oleh masyarakat. Kesilapan dalam memahami perkara ini telah mengundang kepada salah tanggapan, pandangan yang tidak tepat dan persepsi serong. Penyakit mental merupakan antara penyebab utama individu hidup dalam penderitaan atau hilang upaya pada peringkat global.

Pada sekitar tahun 2019, sebanyak 970 juta orang individu mengalami penyakit mental. Daripada jumlah ini, kes skizofrenia (2.4 peratus), kemurungan (28.9 peratus) dan gangguan kegelisahan (31.0 peratus) telah berlaku. Penyakit mental bukan psikosis pula lebih tinggi peratusannya berbanding dengan penyakit psikosis (hilang kewarasan).

Setelah pandemik COVID-19 melanda dunia, kes kemurungan melonjak daripada 193 juta kes kepada 246 juta kes, manakala gangguan kegelisahan pula meningkat daripada 298 juta kes kepada 374 juta kes. Secara puratanya, kadar peningkatan kes adalah lebih kurang 26 peratus hingga 28 peratus dalam tempoh setahun. Kes bunuh diri juga merupakan satu daripada komplikasi isu kesihatan mental dan dianggarkan berlaku dalam setiap 100 kes kematian pada peringkat global.

Infografik berkaitan kesihatan mental pada tahun 2019 berdasarkan World Mental Health Report: Transforming Mental Health for All. Geneva: World Health Organization; 2022.

Di Malaysia, kajian daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 menunjukkan sebanyak 2.3 peratus orang dewasa menderita akibat kemurungan dan sebanyak 7.9 peratus kanak-kanak berumur dalam lingkungan lima tahun hingga 15 tahun didapati mengalami masalah kesihatan mental. Tiada sesiapa yang boleh terkecuali daripada terdedah kepada masalah ini seperti ilustrasi kes yang berikut:

Ilustrasi Kes Pertama

Haikal (bukan nama sebenar), berumur lapan tahun, pelajar tahun dua. Dia merupakan seorang kanak-kanak yang ceria dan aktif. Namun begitu, kawan-kawannya di sekolah tidak gemar berkawan dengannya kerana sering memotong barisan ketika beratur, tidak menumpukan perhatian di dalam kelas, berjalan-jalan di dalam kelas semasa waktu pembelajaran, tidak dapat memberikan kerjasama dalam aktiviti berkumpulan, dan kelihatan cemerkap. Ibu bapanya sering dipanggil oleh guru kerana sikapnya yang mengganggu kawan-kawan sekelasnya. Hal ini menyebabkan Haikal tidak mahu pergi ke sekolah.

Ibu bapa Haikal membawanya ke klinik psikiatri bagi mendapatkan penilaian dan rawatan. Haikal didapati mengalami masalah Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif atau Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD). Haikal telah dirawat dengan menggunakan ubat-ubatan dan terapi tingkah laku dengan bantuan ibu bapa dan guru. Beberapa bulan kemudian, Haikal kelihatan teruja untuk pergi ke sekolah. Kini, Haikal mempunyai banyak kawan. Tingkah lakunya juga lebih terkawal dan dapat memberikan sepenuh perhatian dan kerjasama dalam menyiapkan tugasan yang diberikan.

Ilustrasi Kes Kedua

Kavithra (bukan nama sebenar), berumur 16 tahun, pelajar tingkatan 4. Dia seorang pelajar yang bertanggungjawab, rajin dan cemerlang dalam akademik. Dia juga telah dilantik sebagai penolong ketua pengawas. Guru dan kawan-kawannya menaruh harapan yang tinggi terhadap prestasinya sebagai seorang pengawas. Sejak pelantikan tersebut, Kavithra kelihatan runsing, mudah marah dan kadangkala kaku ketika memberikan ucapan semasa perhimpunan pagi. Dia pernah melarikan diri ke tandas tatkala dipanggil oleh guru untuk membuat pengucapan awam.

Oleh itu, Kavithra mendapatkan pandangan daripada guru kaunselor dan menjalani Depression Anxiety Stress Scale (DASS-21). Keputusan skor Kavithra agak tinggi. Ibu bapanya membawanya ke klinik kesihatan yang berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Hasil pemeriksaan di klinik tersebut mendapati bahawa Kavithra mengalami Gangguan Kegelisahan Sosial atau Social Anxiety Disorder. Kavithra takut atau mengalami kegelisahan yang melampau untuk berhadapan dengan orang ramai dan kadangkala menjadi kaku akibat kesan panik. Pada masa tersebut, dia berasa dirinya seperti hilang akal dan menyebabkannya melarikan diri. Setelah menerima rawatan terapi kognitif dan tingkah laku, kini Kavithra lebih yakin dan tiada lagi perasaan mudah marah.

Ilustrasi Kes Ketiga

Puan Lee (bukan nama sebenar), berumur 38 tahun, seorang suri rumah yang mempunyai lima orang anak yang berumur dari setahun hingga 10 tahun. Suaminya sering bekerja di luar kawasan dan jarang-jarang dapat meluangkan masa bersama-sama keluarganya. Puan Lee berasa murung, letih, sering terjaga daripada tidur di tengah malam, dan hilang minat terhadap hobi.

Selain itu, Puan Lee kerap termenung kerana berasa dirinya tidak berguna dan menyusahkan orang lain. Dia mula mendengar “suara” yang mengiakan bahawa dia memang seorang yang menyusahkan. Mujurlah, kakaknya datang melawat dan dia segera membawa Puan Lee ke unit perubatan kecemasan di hospital untuk mendapatkan rawatan.

Puan Lee disahkan mengalami Gangguan Kemurungan Major dengan Psikosis (halusinasi suara) atau Major Depressive Disorder with Psychosis. Setelah dimasukkan ke dalam wad selama beberapa hari, keadaan Puan Lee semakin pulih. Suami dan ahli keluarganya yang lain turut diberikan nasihat dan maklumat tentang penyakit dan rawatan yang diperlukan. Kini, Puan Lee dan keluarganya lebih bahagia setelah mereka memahami dan saling membantu memberikan sokongan antara satu sama lain.

Ilustrasi Kes Keempat

Pak Malik (bukan nama sebenar), berumur 65 tahun, tinggal bersama-sama isterinya, Mak Tijah (bukan nama sebenar), anak dan cucunya. Sejak kebelakangan ini, Pak Malik kerap pulang lewat dari masjid kerana terlupa jalan pulang. Mak Tijah menyedari bahawa suaminya juga mudah lupa dan sering bercakap sesuatu perkara itu berulang kali.

Pak Malik menjadi lebih sensitif dan kadangkala tingkah lakunya seperti kebudak-budakan. Mak Tijah turut terkesan dengan perubahan suaminya. Pak Malik memang tidak suka pergi ke klinik atau hospital. Setelah puas dipujuk, akhirnya Pak Malik dibawa ke Pusat Kesihatan Mental Masyarakat.

Setelah membuat pemeriksaan, Pak Malik didapati mengalami masalah Gangguan Neurokognitif Major atau Major Neurocognitive Disorder atau mudah dikenali sebagai nyanyuk. Rawatan ubat-ubatan diberikan dan Mak Tijah turut diberikan penerangan dan sokongan kerana menjadi seorang penjaga pesakit nyanyuk sangat mencabar.

Berdasarkan kesemua ilustrasi kes yang berikut telah menggambarkan gejala yang biasa dilaporkan oleh pesakit yang hadir ke fasiliti kesihatan. Hal ini bermakna, penyakit mental bukan sahaja merujuk skizofrenia, malah tidak terhad kepada kes yang telah dinyatakan. Pada hakikatnya, penyakit mental merangkumi pelbagai penyakit yang tersenarai dalam Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders Fifth Edition Text Revision (DSM-5-TR) atau International Classification of Diseases 11th Revision (ICD-11).

Kesihatan mental ditakrifkan sebagai keadaan atau status mental seseorang yang membolehkannya menangani stres dalam kehidupan, sedar akan kebolehan, mampu mempelajari, dan bekerja dengan baik serta dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat. Kesihatan mental merupakan komponen yang penting untuk kesejahteraan seseorang dan bukan sahaja bermaksud tidak mempunyai penyakit atau gangguan mental.

Berdasarkan ICD-11, penyakit mental ialah sindrom yang memberikan kesan klinikal ketara yang mengganggu fungsi kognitif, kawalan emosi atau tingkah laku seseorang. Penyakit mental ini dapat dilihat proses pembentukannya dari segi psikologikal dan biologikal atau proses pembentukan asas mental dan tingkah laku yang sepatutnya terjejas. Gangguan ini biasanya akan menjejaskan keperibadian individu, keluarga, fungsi sosial, persekolahan, pekerjaan atau aspek penting yang lain dalam kehidupan seseorang.

Kesihatan mental adalah sangat bernilai kerana dapat membantu kita menjalinkan hubungan secara positif dalam kalangan masyarakat, membangunkan komuniti, melahirkan rasa empati kepada orang lain, dan memupuk semangat kekitaan. Kesihatan mental yang sihat juga dapat membantu seseorang itu memahami dan bijak mengurus emosi atau stres, mampu menjadi fleksibel apabila berhadapan dengan perubahan, menerima pakai idea atau pendapat baharu, dan boleh membuat keputusan walaupun permasalahan yang rumit dan mencabar.

Selain itu, kesihatan mental yang baik juga membolehkan seseorang itu menggunakan kebolehan atau kemahiran dari segi kognitif untuk mempelajari ilmu baharu, memperoleh pendapatan untuk menyara kehidupan dan membuat keputusan yang tepat seperti pemilihan makanan atau gaya hidup. Secara tidak langsung, kesihatan mental yang baik membolehkan seseorang itu untuk berdaya saing dalam mencari erti kehidupan dan menyedari akan kebolehan yang dimilikinya.

Adalah tidak menjadi kerugian bagi mana-mana pihak untuk melabur dalam meningkatkan kualiti kesihatan mental. Hal ini kerana kesihatan mental yang tidak sihat akan membantutkan produktiviti secara tidak langsung menyumbang kepada kemerosotan ekonomi negara. Kesihatan mental yang terjaga boleh mengeratkan hubungan sosial dalam kalangan komuniti dan organisasi, keadaan sekeliling yang lebih kondusif dan positif serta boleh meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Antara faktor yang mengekang seseorang itu daripada mendapatkan rawatan adalah disebabkan oleh kekangan akses kepada servis atau perkhidmatan, kurang kesedaran mengenai kesihatan mental dan penyakit mental serta stigma dan diskriminasi dalam kalangan masyarakat.

Sudah tiba masanya masyarakat membina kefahaman yang tepat mengenai kesihatan mental, masalah kesihatan mental dan penyakit mental. Perkhidmatan yang bersepadu bukan sahaja bertujuan untuk meluaskan lagi akses servis dan perkhidmatan, malah memperluas sokongan dari segi tadbir urus dan sumber kewangan. Di samping itu, pelbagai kempen perlu dipergiat dan melatih pekerja kesihatan dan ahli komuniti supaya kompeten dalam menangani isu ini. Faktor ini adalah sangat penting dalam membantu individu yang terkesan untuk mencapai kualiti hidup yang lebih bermakna.

Sebagai kesimpulannya, semua pihak berperanan untuk meningkatkan kefahaman dan memperbetul salah faham yang berlaku bermula daripada peringkat atasan hingga peringkat bawahan agar stigma tidak terus menghalang seseorang itu untuk tampil memberikan sokongan atau mendapatkan bantuan tanpa gusar dan malu. Kerjasama berkesan dan jalinan kukuh daripada pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan diperlukan bagi memastikan tiada kes yang terlepas pandang, diremehkan atau gagal dibantu apabila pihak yang terkesan dengan masalah ini tampil untuk menggunakan perkhidmatan kesihatan mental.

Dr. Rosliza Yahaya merupakan Pensyarah Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Setiausaha Persatuan Perubatan Malaysia, Cawangan Terengganu.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.