25 Julai 2022, 17:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Negeri Perlis berjaya mengekalkan jumlah kes COVID-19 yang rendah dan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang stabil ketika tempat lain bergelut dengan peningkatan kes dan kematian COVID-19.

Kejayaan ini merupakan hasil daripada tindakan kesihatan awam Jabatan Kesihatan Negeri Perlis di bawah kepimpinan Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim yang strategik dengan kerja berpasukan anggota kesihatan di semua peringkat. Pelbagai pengalaman telah dilalui oleh beliau sepanjang menangani krisis kesihatan ketika berkhidmat di negeri ini sejak 7 Ogos 2018.

Penilaian risiko dilakukan secara sistematik dan berterusan dalam memberikan analisis data yang khusus kepada punca penularan sekali gus membantu anggota barisan hadapan untuk bertindak pantas. Strategi pengawalan dan pencegahan diubah suai mengikut dapatan data tersebut walaupun ada ketikanya kelihatan seperti melawan arus berbanding dengan tempat lain, namun membuahkan formula kejayaan.

Demikian dimaklumkan selepas Program MAIPs Peduli bersempena dengan perpisahan Dr. Sirajuddin Hashim yang telah dinaikkan pangkat ke JUSA B dan bertukar ke Perak berkuat kuasa pada hari ini.

Negeri Perlis sangat tegas terhadap kemasukan individu dari luar yang berisiko dan mengarahkan proses kuarantin bagi memastikan risiko penularan COVID-19 kepada rakyat Perlis kekal rendah ketika negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Apabila negara memasuki Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), penguatkuatkuasaan dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) walaupun telah terdapat kelonggaran dalam beberapa aspek.

Seterusnya, setelah memasuki fasa peralihan ke endemik, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis terus komited dan memperkasakan komuniti untuk turut mengamalkan kebiasaan baharu dan kekal mematuhi SOP bagi mengekang COVID-19. Di samping itu, kerjasama dengan rakan strategik lain seperti Whole Government Approach (WGA) dijalinkan bagi memastikan kelestarian kejayaan dalam menangani COVID-19.

Sepanjang perkhidmatan yang telah melangkaui tempoh lebih 30 tahun, budi baik dan kemesraan rakan-rakan di negeri Perlis menjadikan penghijrahan pada kali ini begitu sukar dan amat berbeza dengan pengalaman menerima amanah baharu sebelum ini.

Menurut beliau, segala pesanan sentiasa tersemat dalam hati sebagai inspirasi dan akan terus dijadikan sebagai pembakar semangat untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh rakyat dalam aspek kesihatan.

Sementara itu, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21 000 kepada 30 orang asnaf terpilih untuk diagihkan oleh amil kariah Masjid Kampung Masjid Kota Kayang.

DYTM Raja Muda Perlis berkenan menyampaikan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada asnaf terpilih.

Turut diadakan pada malam sebelumnya pula ialah permainan bola sepak persahabatan dalam kalangan ketua jabatan negeri dan persekutuan sebagai tanda perpisahan kepada Dr. Sirajuddin Hashim di Padang New Trafford Istana Arau yang turut disertai oleh DYTM Raja Muda Perlis dan anakanda bongsu baginda, YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Berangkat sama ke majlis tersebut ialah DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.