21 Julai 2022, 08:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Burung merupakan komponen ekosistem yang sangat menarik, sama ada secara visual ataupun akustik sehinggakan burung dipilih sebagai lambang kepada sesetengah budaya di dunia. Burung juga memberikan faedah kepada pelbagai fungsi ekosistem seperti pemangsa, pendebunga, pemakan bangkai, penyebar biji benih dan jurutera ekosistem. Di samping itu, kesihatan manusia, ekonomi dan pengeluaran makanan juga dipengaruhi secara langsung oleh peranan burung.

Burung sebagai Pengawal Perosak

Burung memakan antara 400 juta hingga 500 juta tan serangga pada setiap tahun. Sebagai contohnya, dua per tiga daripada diet Layang-layang Rumah (Apus nipalensis) terdiri daripada serangga perosak pertanian. Jadi, mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kita akan mengharungi invertebrata setinggi paras pinggang jika banyak spesies burung pupus!

Selain daripada serangga, haiwan mamalia kecil seperti tikus juga turut mengancam tanaman. Untuk kes perosak ini, burung Pungguk Jelapang (Tyto alba) merupakan wiranya! Tidak hairanlah jika kotak sarang burung Pungguk Jelapang banyak dibina dalam ladang kelapa sawit di Malaysia sebagai satu daripada kaedah kawalan perosak secara biologi.

Burung sebagai Agen Pendebungaan

Apabila sebut tentang pendebunga, lebah dan kupu-kupu merupakan haiwan yang akan muncul dalam fikiran kita. Walau bagaimanapun, pendebunga burung seperti burung kelicap juga memberikan sumbangan yang besar, terutamanya di kawasan beraltitud tinggi dan bercuaca panas.

Di Sarawak misalnya, dua spesies durian, iaitu Durio grandiflorus dan Durio oblongus didebungakan oleh burung Kelicap Jantung Paruh Tebal (Arachnothera robusta), Kelicap Jantung Telinga Berus (Arachnothera chrysogenys) dan Kelicap Jantung Besar (Arachnothera flavigaster). Sementara itu, Durio kutejensis didebungakan oleh burung Sepah Puteri Perut Jingga (Dicaeum trigonostigma) dan Kelicap Kelabu Melayu (Anthreptes simplex).

Bunga yang didebungakan oleh burung adalah kurang berbau kerana burung lebih tajam akan penglihatan daripada bau. Tugas burung sebagai pendebunga memberikan manfaat kepada manusia secara langsung. Hal ini dikatakan demikian kerana kira-kira lima peratus tumbuh-tumbuhan yang dimakan manusia atau digunakan sebagai ubat-ubatan didebungakan oleh burung.

Walau bagaimanapun, aktiviti pertanian yang sengit dan berskala besar mengancam pendebunga dan seterusnya mengurangkan populasi burung apabila haiwan ini kehilangan tempat untuk membuat sarang dan mencari makanan. Jika burung yang terlibat semakin pupus, kesannya mungkin drastik. Sebagai contohnya, sebanyak 31 spesies bunga Loceng Hawaii pupus berikutan kepupusan burung yang mendebungakannya.

Burung sebagai Pembersih Alam

Kehadiran burung Gagak Paruh Besar (Corvus macrorhynchos) sering dianggap menyeramkan kerana disangka sebagai petanda kematian. Namun begitu, pada hakikatnya burung ini akan sampai dengan lebih cepat (kebiasaannya dalam masa sejam setelah kematian berlaku) untuk memeriksa dan memakan bangkai yang masih “segar”.

Pembangkai lain seperti anjing liar dan tikus hanya akan hadir selepas beberapa hari berlakunya kematian. Pada waktu ini, penyakit yang boleh membawa maut seperti rabies dan tuberkulosis akan mula merebak. Inilah keistimewaan burung gagak! Jika burung pemakan bangkai ini pupus, berkemungkinan bilangan anjing liar akan meningkat serta akan membawa kepada penyebaran rabies dan seterusnya menyebabkan kematian dalam kalangan manusia turut meningkat.

Burung sebagai Penyebar Biji Benih

Burung akan mengangkut bersama-sama benih yang telah dimakan semasa penghijrahan burung dan menyebarkannya ke seluruh wilayah baharu melalui najisnya. Sebagai contohnya, ulam pokok Tenggek Burung (Melicope ptelefolia) dibiakkan melalui biji benih yang disebarkan oleh burung yang gemar memakan buahnya. Mungkin dari situlah ulam ini mendapat namanya!

Selain itu, burung juga berupaya untuk mengangkut tumbuh-tumbuhan melalui jarak lautan yang luas ke daratan baharu. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu dalam memulihara tumbuh-tumbuhan dalam ekosistem yang telah terdegradasi. Burung juga memainkan peranan penting dalam membentuk kehidupan tumbuh-tumbuhan yang boleh ditemui di sekeliling kita.  Sebagai contohnya, burung enggang bukan sahaja unik, malah burung ini memainkan peranan yang sangat penting kepada ekosistem hutan tropika sebagai penyebar biji benih buah-buahan ke seluruh kawasan hutan. Disebabkan itu, burung enggang diangkat sebagai spesies payung dan keytone species.

Burung sebagai Arkitek Landskap

Tempat tinggal manusia di seluruh dunia dipengaruhi oleh habitat semula jadi seperti hutan, paya dan padang rumput. Persekitaran ini menyimpan karbon, mengekalkan iklim yang stabil, mengoksidakan udara dan menukar bahan pencemar kepada nutrien. Walau bagaimanapun, sebahagian besar ekosistem ini berkemungkinan tidak akan kekal tanpa wujudnya burung.

Burung bertanggungjawab memelihara keseimbangan dalam sesebuah ekosistem seperti hubungan antara tumbuhan dengan herbivor serta antara mangsa dengan pemangsa. Di Malaysia sahaja, terdapat seluas 586 036 hektar hutan bakau. Hutan bakau berperanan sebagai pemampan hakisan ombak dan terbukti mampu bertindak sebagai pemampan tsunami kerana sifatnya yang tumbuh secara padat dan akarnya yang kukuh di pesisiran kuala.

Haiwan yang menarik di kawasan bakau dan dataran lumpurnya merupakan spesies burung air dan burung pantai seperti Bangau Kecil (Egretta garzetta), Bangau Besar (Ardea alba), Pucung Bakau Biasa (Butorides striata), Pucung Seriap Biasa (Ardea cinerea), Botak Kecil (Leptoptilos javanicus), Helang Tembikar Merah (Haliastur indus), Helang Laut Putih (Haliaeetus leucogaster),  Pacat Bakau (Pitta megarhyncha), Murai Siul Bakau (Pachycephala cinerea), Sambar Biru Bakau (Cyornis rufigastra), dan Pekaka Bakau Biasa (Todiramphus chloris). Burung-burung inilah yang memakan pelbagai jenis makanan termasuklah plankton, tumbuh-tumbuhan air, cacing, krustasia, moluska dan ikan. Jika burung ini tiada, berkemungkinan siput kecil akan berleluasa dan menjadikan ekosistem paya bakau tidak seimbang.

Terumbu Karang Bergantung Hidup pada Burung

Burung laut memainkan peranan yang sangat penting dalam kitaran nutrien serta membantu dalam menyuburkan ekosistem marin seperti terumbu karang. Bagaimanakah hal ini terjadi? Kita sedia maklum bahawa burung laut terbang sejauh ratusan kilometer merentasi lautan untuk mencari makanan. Setelah itu, burung ini akan menyumbang nutrien yang sangat tinggi ke pulau dengan cara meninggalkan guano (najis). Guano akan meresap ke dalam air lalu menyuburkan hidupan marin seperti terumbu karang serta meningkatkan produktiviti fauna dan flora pulau.

Kajian di Kepulauan Chagos mendapati kepadatan burung laut adalah berkadar langsung dengan pemendapan nitrogen yang menjadi sumber nutrien pelagik, makroalga, span penuras, alga rumput dan ikan yang terdapat pada terumbu karang. Ikan yang berada berhampiran dengan terumbu karang akan membesar dengan lebih cepat dan mempunyai biojisim yang lebih tinggi berbanding dengan ikan seusianya di kawasan lain.

Saintis Mendapat Inspirasi daripada Burung

Sejak zaman dahulu lagi, burung telah menjadi sumber inspirasi kepada manusia. Burung bukan sahaja membantu dalam membangunkan ilmu penerbangan, malah menjadi inspirasi dalam reka bentuk zip yang diperhatikan daripada struktur barbul pada bulu pelepah burung. Selain itu, teori evolusi melalui pemilihan semula jadi juga telah dirumuskan oleh penyelidik Charles Darwin melalui pemerhatiannya terhadap burung ciak di kepulauan Galapagos.

Walau bagaimanapun, burung bukan sekadar pemberi inspirasi, malah spesies ini dapat menyampaikan maklumat kepada manusia tentang keadaan semasa bumi. Hal ini dikatakan demikian kerana burung juga merupakan satu daripada spesies penunjuk biologi. Manusia boleh menterjemahkan kehadiran atau kelakuan burung sebagai amaran awal kepada perubahan persekitaran seperti iklim.

Burung merupakan ahli ekologi yang sebenar. Tugas burung bukan sahaja dalam penghutanan semula, pendebungaan biji benih, pengawal perosak, menyuburkan hutan dan pertanian, malah burung memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan alam semula jadi ini seimbang dan memberikan amaran jika hal berlaku sebaliknya.

 

Dr. Aainaa Syazwani Mohamad Amir Hamzah merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan. 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.