20 Julai 2022, 14:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim atas segala khidmat bakti yang dicurahkan kepada negeri Perlis dan rakyat, khususnya ketika mengharungi pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak tahun 2020 ketika berkenan berangkat menerima sembah mengadap perpisahan beliau dan isterinya di Istana Arau, petang semalam.

DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis merakamkan penghargaan kepada Dr. Sirajuddin Hashim atas segala khidmat bakti beliau.

Dr. Sirajuddin Hashim akan bertukar keluar atas sebab kenaikan pangkat ke jawatan baharu sebagai Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak berpejabat di Ipoh yang berkuat kuasa pada 25 Julai 2022 ini.

Baginda berdua sangat menghargai segala sumbangan yang diberikan oleh Dr. Sirajuddin Hashim dan berharap agar beliau akan terus mencurahkan bakti kepada agama, bangsa dan negara serta terus maju jaya di tempat perkhidmatan yang baharu.

Antara kejayaan utama yang dicapai oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis di bawah perkhidmatan beliau sepanjang tempoh dari 7 Ogos 2018 hingga 22 Julai 2022 ialah memperoleh “Penarafan Bintang KPI HRMIS Kecemerlangan 100 Peratus Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 2019-2021” dan juara pertandingan “Kejohanan Liga Woodball Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra, 2018 dan 2019”.

Selain itu, pada tahun 2019 JKN Perlis telah mendapat tempat pertama dalam “Pertandingan Video Pendek Hari Keselamatan Makanan Sedunia” dan pada tahun 2020 pula memenangi “Anugerah Utama dalam Active@Work Challenge 2019 (PERKESO and BookDoc) – Kategori Kerajaan” serta memperoleh tempat pertama dalam “Anugerah Pencapaian Terbaik Kategori Klinik Kesihatan dengan Bilangan Saringan Kesihatan PeKa B40 bagi tahun 2019-2020”.

Sementara itu, pada tahun 2021, JKN Perlis muncul sebagai johan dalam “Inovasi Penciptaan, Kategori Penyampaian Perkhidmatan, Konvensyen KIK, KKM”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.