19 Julai 2022, 16:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kita sudah tentu biasa mendengar perkataan hepatitis, bukan? Tahukah anda bahawa hepatitis secara umumnya bermaksud inflamasi atau keradangan pada hati. Hati ialah organ yang menjalankan pelbagai fungsi metabolisme dan perkumuhan di dalam badan. Organ ini terletak di bahagian atas kanan pada ruang abdomen badan manusia, yakni secara anatominya organ ini berada di posisi lebih atas daripada perut, ginjal dan usus.

Fungsi Hati

Secara umumnya, fungsi hati adalah untuk menapis, menguraikan darah, metabolisme dan toksifikasi bahan, sintesis protein dan penyimpanan vitamin atau mineral. Antara fungsi utamanya termasuklah:

  • Penghasilan cecair hempedu untuk memecahkan lemak daripada usus semasa proses penghadaman.
  • Membantu membuang hasil kumuhan daripada pecahan sel darah merah yang mengalir dari perut dan usus, untuk diuraikan kepada heme dan bilirubin sebelum dikumuhkan daripada badan.
  • Penghasilan protein atau enzim untuk disalurkan ke dalam salur darah.
  • Penghasilan lipoprotein untuk membantu mengangkut lemak atau kolesterol ke seluruh badan.
  • Penukaran glukosa yang berlebihan kepada glikogen untuk simpanan dalam tisu badan dan mengawal atur aras keseimbangan glukosa dalam darah.
  • Menyimpan zat besi.
  • Menukarkan ammonia kepada urea (produk akhir hasil pencernaan protein) untuk dikumuhkan melalui air kencing.
  • Mengawal atur pembekuan darah.
  • Mengawal atur keseimbangan dan menguraikan ubat kepada pecahan yang lebih mudah untuk digunakan oleh badan dan menjadikannya tidak toksik kepada badan.

Inflamasi Hati (Hepatitis)

Antara punca berlakunya inflamasi hati adalah seperti yang berikut:

  1. Jangkitan virus hepatitis (hepatitis A, B, C, D, dan E).
  2. Minuman keras (alkohol).
  3. Penyakit hati.
  4. Ubat-ubatan.
  5. Penyakit autoimun.

Di Malaysia, hepatitis yang paling kerap berlaku adalah disebabkan oleh jangkitan virus hepatitis B dan hepatitis C serta pengambilan alkohol secara berlebihan. Terdapat lima jenis virus yang menyebabkan hepatitis A, B, C, D, dan E berlaku.

Jenis Virus Hepatitis

Jangkitan virus hepatitis A

Hepatitis A adalah berpunca daripada jangkitan virus hepatitis A (HAV) yang dikategorikan dalam keluarga Picornaviridae. Jangkitan virus ini ditularkan daripada makanan dan air yang tercemar. Virus ini juga boleh dijumpai  di dalam najis pesakit. Penyebaran HAV boleh berlaku, terutamanya daripada penyedia makanan yang dijangkiti tidak menjaga kebersihan diri seperti tidak membasuh tangan, terutamanya selepas ke tandas dan seterusnya boleh menyebarkan virus kepada orang lain melalui pencemaran makanan dan minuman.

Tambahan pula, partikel virus dikeluarkan daripada badan pesakit selama sekurang-kurangnya dua minggu sebelum pesakit mula menunjukkan sebarang simptom dan gejala penyakit. Hal ini secara tidak langsung meningkatkan penyebaran virus sekiranya pesakit tidak tahu status jangkitan padanya.

Sebaik sahaja virus memasuki tubuh, HAV akan membiak dalam sel usus dan kemudiannya memasuki salur darah sekali gus menyebabkan jangkitan darah yang dikenali sebagai viremia dan seterusnya menjangkiti sel hati. Sel yang dijangkiti seterusnya mengalami keradangan dan seterusnya mengganggu fungsi normal hati, termasuklah mengehadkan penyingkiran bilirubin daripada darah. Apabila berlaku pengumpulan bilirubin dalam darah, keadaan ini menyebabkan warna kulit dan skelera mata pesakit juga berubah menjadi kuning. Situasi ini dipanggil sebagai jaundis.

Sementara itu, dianggarkan sebanyak 70 peratus daripada kanak-kanak yang berumur enam tahun ke atas menunjukkan gejala seperti demam, pening, muntah, cirit-birit, sakit perut, sakit sendi, dan lemah badan. Secara umumnya, manifestasi penyakit biasanya tidak teruk (akut) dan mampu sembuh dengan sendirinya dalam jangka masa beberapa minggu tanpa rawatan bergantung pada imuniti tubuh seseorang itu. Namun begitu, golongan yang berisiko seperti warga tua dan pesakit kanser boleh mengalami jaundis. Najis pesakit juga akan berubah kepada warna kuning pucat atau pudar.

Langkah pencegahan hepatitis A adalah melalui penjagaan kebersihan diri dan mengamalkan sanitasi yang betul termasuklah pengurusan sistem kumbahan yang baik. Pengambilan vaksin hepatitis A juga mampu mencegah jangkitan ini, terutamanya apabila berkunjung ke negara endemik HAV.

Jangkitan virus hepatitis B

Virus hepatitis B (HBV) tergolong dalam keluarga virus Hepadnaviridae dan menyebabkan penyakit hepatitis B. HBV berjangkit melalui sentuhan dengan cecair badan seperti air liur, air mani, cecair faraj, dan sebagainya serta darah, misalnya melalui hubungan seksual, perkongsian jarum suntikan, pemindahan darah, dan pendermaan organ.

Walaupun HBV dikatakan tidak boleh menembusi plasenta, namun transmisi virus daripada ibu kepada bayi dikatakan boleh berlaku semasa proses kelahiran. Bayi yang dilahirkan oleh pesakit HBV perlu diberikan vaksin HBV dan rawatan antibodi Hepatitis B Immune Globulin (HBIG) secepat mungkin sebaik sahaja dilahirkan untuk mengurangkan risiko jangkitan. Walaupun virus HBV boleh ditemui dalam susu ibu, namun penyusuan secara langsung kepada bayi tidak menyebabkan jangkitan HBV.

Virus HBV mengambil masa kira-kira 120 hari sebelum menunjukkan sebarang simptom dan gejala. Bagi kebanyakan pesakit, virus hanya menyebabkan penyakit akut dan akan sembuh sepenuhnya dalam beberapa minggu. Namun begitu, 10 peratus daripada pesakit, terutamanya kanak-kanak akan mendapat penyakit hepatitis B yang kronik. Hepatitis B kronik akan menyebabkan inflamasi hati yang berterusan sehingga berlakunya kematian tisu pada hati atau dikenali sebagai sirosis. Keadaan ini boleh mengakibatkan kegagalan fungsi hati. Lebih membimbangkan, HBV boleh menyebabkan kanser hati.

Oleh sebab itu, saringan awal perlu dilakukan untuk mengesan jangkitan agar rawatan dan pengawasan awal dapat diberikan bagi mengelakkan kegagalan fungsi hati. Pemberian vaksin hepatitis B kepada semua bayi dan golongan berisiko (pekerja kesihatan, pesakit yang menerima haemodialisis dan sebagainya) amat penting sebagai langkah pencegahan.

Jangkitan virus hepatitis C

Virus hepatitis C (HCV) tergolong dalam keluarga virus jenis Flaviviridae yang menyebabkan hepatitis C. Hepatitis C dikatakan pembunuh senyap kerana kebanyakan pesakit tidak mempunyai sebarang simptom pada peringkat awal jangkitan. Penyakit hanya dapat dikesan setelah jangkitan menjadi kronik, yakni tisu hati mula rosak.

Jangkitan berlaku disebabkan oleh kontak langsung dengan cecair badan dan darah dengan pesakit HCV seperti perkongsian jarum suntikan serta pendermaan darah dan organ. Jangkitan daripada ibu hamil kepada bayi kandungan juga boleh berlaku kerana virus ini boleh menembusi plasenta ibu.

Pada peringkat awal jangkitan, kebanyakan pesakit tidak menunjukkan sebarang simptom atau gejala. Pesakit akan menunjukkan simptom setelah berada pada fasa kronik, iaitu selepas beberapa tahun jangkitan. Kajian menunjukkan hampir 85 peratus pesakit akan mengalami hepatitis C kronik. Komplikasi penyakit ini yang lebih teruk ialah sirosis hati dan kanser hati. Pada tahap ini, pesakit akan menunjukkan kegagalan fungsi hati termasuklah jaundis, risiko pendarahan dan jangkitan yang berlarutan disebabkan oleh penurunan sistem imun tubuh pesakit.

Setakat ini, vaksin yang berkesan untuk hepatitis C masih belum ditemukan. Langkah pencegahan yang perlu diambil untuk menghindari jangkitan ialah mengelakkan kontak secara langsung dengan cairan tubuh pesakit dan mengelakkan perkongsian jarum suntikan. Saringan hepatitis C boleh dilakukan dengan ujian serologi daripada sampel darah untuk pengesanan penyakit. Adalah penting bagi pesakit untuk mengetahui status jangkitan dari awal bagi memudahkan rawatan dan pencegahan. Perlu diingat, hepatitis C kronik masih boleh dirawat dengan antivirus bagi mengelakkan komplikasi yang teruk.

Jangkitan virus hepatitis D dan E

Jangkitan virus hepatitis D (HDV) dan virus hepatitis E (HEV) jarang-jarang berlaku. Hepatitis D hanya akan terjadi dengan kehadiran virus hepatitis B, manakala HEV lebih menyerupai HAV, yakni penularan jangkitan berlaku disebabkan oleh pencemaran makanan dan minuman. Dalam sesetengah kes, wabak HEV boleh berlaku disebabkan oleh pengambilan daging separa masak dan makanan laut. Setakat ini, masih tiada vaksin yang berkesan bagi kedua-dua virus ini.

Sebagai kesimpulannya, pengetahuan berkaitan dengan penyakit hepatitis amat penting bagi mencegah penyakit ini dan mengelakkan komplikasi yang lebih teruk sekali gus boleh membawa kepada kegagalan fungsi hati. Oleh itu, jagalah hati untuk kesejahteraan diri. Mencegah lebih baik daripada merawat.

 

Dr. Norhidayah Badya dan Dr. Kamariah Abdul Jalil ialah Pensyarah di Fakulti Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.