18 Julai 2022, 09:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Petrosains RBTX Challenge 2022 dijangka dapat menarik penyertaan sebanyak 10 ribu orang pelajar yang membolehkan mereka berkongsi minat dalam bidang sains dan teknologi melalui elemen penciptaan, khususnya dalam bidang robotik.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, penganjuran program oleh Petrosains ini adalah selaras dengan visi Kementerian Sains, Teknologi dan inovasi (MOSTI) untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

 

Program Petrosains RBTX Challenge 2022 ini juga sejajar dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 (DSTIN) dalam memacu Malaysia ke arah sebuah negara yang lebih berdaya saing melalui sains, teknologi dan inovasi (STI) yang kukuh.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba merasmikan Petrosains RBTX Challenge 2022 di Galleria, Petrosains. 

Tambahnya lagi, program ini dapat meningkatkan minat dan tumpuan para pelajar terhadap mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sekali gus memupuk sifat ingin tahu dengan menggunakan pendekatan secara guna tangan (hands-on) menerusi aktiviti yang menyeronokkan serta dapat meningkatkan kompetensi dan kreativiti melalui aktiviti yang dijalankan secara amali.

Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn. Bhd., Encik Ezarisma Azni Mohamad berkata Pertandingan Petrosains RBTX Challenge 2022 menjadi lebih signifikan pada tahun ini kerana penganjurannya seiring dengan usaha kerajaan untuk memperkasa penguasaan teknologi baharu dan memacu pendigitalan seperti yang digariskan di bawah Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR).

“Petrosains akan terus berusaha untuk memberi inspirasi kepada pembelajaran STEM dan menjadi pemangkin untuk memupuk inovasi dan ciptaan ke arah membina dunia yang lebih mampan untuk semua,” katanya lagi.

Turut hadir dalam Majlis Perasmian Pertandingan Petrosains RBTX Challenge 2022 adalah Tuan Haji Bacho Pilong, Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek dan Teknologi PETRONAS; Encik Ezarisma Azni Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif, Petrosains Sdn. Bhd.; serta Encik Khalid Yashaiya, Ketua Pegawai Strategi, MRANTI Corporation.

Pertandingan yang mula diperkenalkan pada tahun 2018 ini turut mendapat sokongan daripada MOSTI dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama PETRONAS Dagangan Berhad (PDB), Malaysia Research Accelerator for Technoly and Innovation (MRANTI), MyDigital Corporation, UBTech dan Microsoft Malaysia.

Sejak diperkenalkan, Petrosains RBTX Challenge telah mendapat sambutan positif dan memberangsangkan dengan penyertaan daripada lebih 800 buah sekolah di seluruh negara. Pada tahun ini, pertandingan ini dibuka bermula dari 18 April hingga 31 Julai 2022 untuk tiga kategori, iaitu Robo Tracer, Robo Sumo dan Innovation.

Juara Petrosains RBTX Challenge akan memenangi hadiah wang tunai bernilai lebih daripada RM40 000 serta e-sijil daripada pihak Petrosains. Untuk maklumat lebih lanjut berkaitan pertandingan ini, sila layari www.petrosains.com.my/rbtx-challenge.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.