18 Julai 2022, 12:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Makanan merupakan keperluan asas terpenting dalam kehidupan manusia selain air, udara dan tempat tinggal. Jika tiada sumber makanan, manusia akan mengalami kebuluran dan pelbagai kemudaratan sehingga boleh menyebabkan kematian. Manusia pada zaman dahulu memperoleh makanan dengan cara memburu haiwan dan mengutip hasil tumbuh-tumbuhan yang berada di sekitar mereka.

Seiring dengan perkembangan tamadun, sains dan teknologi, manusia mula bercucuk tanam dan membela haiwan ternakan bagi menjamin kebolehdapatan sumber makanan yang mencukupi secara berterusan. Apabila terjadinya bencana alam seperti kemarau yang berpanjangan dan banjir besar serta berlakunya peperangan, maka kesedaran akan kepentingan untuk memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi mulai tercetus. Kesedaran ini menjadi titik permulaan dalam keselamatan makanan bagi memastikan krisis makanan dapat dielakkan.

Pada masa ini, topik mengenai krisis makanan menjadi perbualan dan perbincangan hangat di akhbar dan media sosial, sama ada melalui paparan media tempatan mahupun antarabangsa. Namun begitu, apakah faktor yang menyebabkan krisis ini berlaku? Adakah pemimpin dan masyarakat cakna akan perkara yang bakal dihadapi sekiranya krisis makanan ini tidak diambil perhatian serius? Apakah perancangan, persediaan dan tindakan yang perlu diambil oleh kerajaan khususnya dan masyarakat amnya untuk bersiap siaga dalam menghadapi isu ni?

Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, krisis bermaksud keadaan tidak stabil atau tidak tenteram yang boleh berlaku secara tiba-tiba dan menyebabkan sesuatu perubahan atau keadaan yang lazimnya mendatangkan kesan buruk. Krisis makanan boleh diertikan sebagai keadaan yang merujuk ketidakstabilan atau kekurangan sumber makanan berlaku dalam sesebuah negara bagi memenuhi keperluan makanan rakyatnya. Di Malaysia, komoditi makanan yang sangat penting merupakan makanan ruji rakyat di negara ini seperti beras, minyak, ayam dan tepung gandum. Sekiranya sumber bekalan bagi makanan tersebut terjejas, maka krisis makanan boleh berlaku di negara ini. Oleh sebab itu, pihak bertanggungjawab memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan bekalan makanan tidak terjejas dan sentiasa mencukupi.

Antara faktor terbesar yang menyumbang kepada krisis makanan pada masa ini adalah konflik peperangan yang terjadi di antara Rusia dengan Ukraine. Artikel Food Security Update oleh The World Bank mengatakan bahawa peperangan yang terjadi telah menyebabkan perubahan ketara dalam pengeluaran, perdagangan dan penggunaan komoditi makanan yang akan menyebabkan harga makanan dijangka naik sehingga penghujung tahun 2024, justeru memburukkan lagi kadar inflasi dan keselamatan makanan sedunia. Menurut artikel itu lagi, komoditi makanan yang paling terkesan adalah kekurangan bekalan gandum dan jagung di samping kenaikan harga minyak makan dan baja. Harga bekalan baja yang tinggi juga bakal mempengaruhi pengeluaran makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan kerana Rusia merupakan antara negara pengeluar baja utama dunia.

Antara penyebab krisis makanan lain adalah seperti perubahan iklim dan bencana alam seperti kemarau yang melampau, kekurangan air dan banjir. Menurut artikel How Climate Change Increases Hunger – and Why We’re All at Risk, 10 negara yang disenaraikan sebagai negara yang terlapar di dunia adalah terdiri daripada negara yang bergantung pada pertanian sebagai industri utama. Hal ini bermaksud setiap keluarga di negara tersebut hanya makan makanan yang telah dituai secara bermusim. Masa di antara tuaian tersebut dikenali sebagai musim berlapar apabila semua makanan yang dituai telah habis dimakan. Keadaan ini diburukkan lagi jika hasil tuaian tidak boleh dikutip akibat bencana alam yang menyebabkan tanaman dan haiwan ternakan mati.

Ketidakstabilan ekonomi juga boleh menyebabkan kekurangan makanan. Baru-baru ini, Sri Lanka telah diisytiharkan muflis oleh Bank Dunia dan hal tersebut telah menyebabkan sebanyak 6.26 juta penduduknya terkesan dan bakal menghadapi krisis makanan. Jika diteliti akan beberapa faktor besar tersebut, nampaknya Malaysia seperti tidak terkesan dengan kemungkinan akan berlakunya krisis makanan di negara kita. Namun begitu, adakah tanggapan begitu benar? Adakah Malaysia kebal dengan krisis makanan sedunia?

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara, Malaysia menggunakan dana sehingga 55.4 bilion hanya untuk mengimport makanan pada tahun 2020. Jumlah ini adalah 60 peratus daripada jumlah keperluan makanan di seluruh negara. Antara bahan makanan yang paling banyak diimport ke Malaysia adalah seperti daging kambing (RM879.4 juta), mangga (RM87.9 juta), kelapa (RM266.1 juta) dan daging lembu (RM2.2 bilion). Data ini menunjukkan bahan makanan ini mempunyai permintaan yang tinggi di dalam negara, tetapi bekalan dalam negara tidak mampu menampung jumlah permintaan tersebut.

Statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2019 menunjukkan Malaysia hanya menghasilkan sebanyak 46 peratus sayur-sayuran, 70 peratus beras, 61 peratus buah-buahan, 25 peratus daging dan 11 peratus daging kambing untuk keperluan negara. Menurut pakar ekonomi daripada Malaysia Universiti Of Science and Technology, Geoffrey Williams, beliau meramalkan bahawa Malaysia mungkin akan menghadapi krisis makanan jika negara ini tidak mempunyai strategi yang tuntas dalam menghadapi isu krisis makanan dunia. Apakah yang bakal berlaku jika krisis makanan berlaku?

Kesan krisis makanan yang paling jelas adalah kenaikan harga barangan kerana permintaan sesuatu bahan makanan adalah melebihi daripada pengeluaran. Kenaikan harga ayam dan minyak telah dirasai oleh penduduk Malaysia. Kenaikan harga barang menyebabkan sesebuah keluarga, terutamanya golongan B40 dan M40 mengehadkan perbelanjaan untuk makanan. Jika perkara ini berlaku secara berterusan dan tidak dibendung, kemungkinan kanak-kanak dalam sesuatu keluarga akan mengalami kekurangan nutrisi kerana akses kepada makanan sihat tidak mampu dicapai. Golongan fakir yang mempunyai pendapatan yang terhad juga akan menerima kesan yang teruk akibat kenaikan harga barang. Golongan ini mungkin akan mengehadkan pengambilan hidangan makanan daripada tiga kali sehari kepada satu atau dua kali sahaja dalam sehari dan hal ini menyebabkan risiko berlakunya kelaparan dan boleh mendatangkan penyakit akibat kekurangan makanan seperti kwasyiorkor dan malnutrisi.

Malaysia mempunyai tanah yang subur dan kaya dengan hasil tanam-tanaman. Namun begitu, tidakkah kita terfikir, mengapakah negara masih lagi bergantung pada bahan makanan dari luar? Adakah mustahil untuk Malaysia menghasilkan buah mangga yang setaraf dengan kualiti luar negara? Adakah kelapa negara ini tidak mencukupi sehinggakan terdapat keperluan untuk mengimport kelapa dari luar negara, sedangkan Malaysia mempunyai pesisir pantai yang cukup panjang untuk penanaman kondusif kelapa? Negara ini juga mempunyai tanah, rumput dan keadaan cuaca yang baik untuk penternakan lembu, tetapi kita masih lagi mengimport daging daripada luar. Yang pasti, kemungkinan besar rakyat negara ini tidak memandang pertanian dan penternakan sebagai kerjaya utama kerana kurangnya pendedahan dan galakan daripada kerajaan dan masyarakat setempat.

Sehubungan dengan itu, bagaimanakah kita sebagai individu boleh berperanan dalam mengurangkan kesan krisis makanan ini? Adakah kita hanya perlu berserah kepada pihak berkuasa sahaja untuk mengambil tindakan? Perkara paling penting dalam hal ini adalah para penggubal dasar perlu memainkan peranan secara agresif bagi memastikan krisis makanan ini ditangani secara efisien. Pihak yang terlibat perlu meneliti setiap masalah yang menghalang sektor pertanian daripada terus berkembang pesat di negara ini.

Menurut pengamal ekonomi, antara masalah utama yang dikesan dalam isu ini ialah sekatan dan peraturan permit import yang lemah. Sistem monopoli, terutamanya bagi komoditi gula dan beras telah berakar umbi di negara ini sejak sekian lamanya. Sebagai contohnya, jika sistem monopoli boleh dihapuskan, hal ini akan mewujudkan persaingan sihat bagi memperbanyak penghasilan beras dengan kualiti yang tinggi dengan harga yang kompetitif.

Selain itu, pihak berwajib juga perlu memperkasa bekalan domestik dengan menggalakkan pertanian dan penternakan dijadikan sebagai kerjaya oleh golongan belia di negara ini. Dengan adanya kempen kesedaran, insentif dan panduan yang berterusan daripada kerajaan atau kolaborasi dengan syarikat besar, penulis yakin sektor perladangan dan penternakan bakal menjadi satu daripada bidang yang diminati oleh orang ramai dan mampu memberikan hasil yang lumayan kepada negara. Hal ini juga secara tidak langsung mampu meningkatkan bekalan domestik di dalam negara.

Di samping itu, pendidikan terhadap kepentingan pertanian sebagai sumber makanan perlu dididik dan dijadikan sebagai contoh kepada masyarakat secara berterusan. Media perlu memainkan peranan sewajarnya demi memastikan rakyat sentiasa peka terhadap keadaan pertanian dan penternakan dalam negara di samping memastikan negara sentiasa mempunyai bekalan makanan yang mencukupi.

Dari sudut yang berbeza, peranan Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai peneraju utama didalam bidang pertanian boleh dimantapkan. Peranan UPM mestilah menyeluruh, bukan sekadar penyumbang kepada bahan kajian pertanian semata-mata, malah boleh dijadikan sebagai hub dalam melahirkan graduan dalam bidang pertanian dan penternakan yang mempunyai kekuatan mental dan fizikal untuk menghadapi dunia pertanian sebenar di luar. Graduan juga haruslah tidak kekok turun ke ladang untuk bercucuk tanam di samping boleh menguruskan perniagaan bagi pertanian yang diusahakannya.

Kita tidak menafikan usaha kerajaan dalam misi memastikan bekalan makanan mencukupi seperti dengan pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 yang dilancarkan pada tahun lepas untuk menjamin bekalan makanan negara mencukupi dan selamat serta menjadikan sektor agromakanan berdaya saing. Namun, idea dan tulisan ini adalah lahir daripada rakyat yang prihatin dan menyayangi negara ini. Rakyat mengharapkan tindakan yang lebih agresif dilakukan untuk memastikan bekalan makanan di negara ini sentiasa terjamin dan seterusnya rakyat dapat menikmati kehidupan yang berkualiti.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!