11 Julai 2022, 22:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kaki Bukit – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru anggota masyarakat yang mempunyai risiko jangkitan HIV (virus imunodefisiensi manusia) untuk segera membuat pemeriksaan darah, mendapat rawatan jika positif serta berusaha mengurangkan cara hidup yang berisiko tinggi.

Raja Muda Perlis bertitah sedemikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan program Kayuhan Berbasikal Amal ‘MAIPs Peduli’ Bilangan Ke-50 bagi Tahun 2022 di sekitar kawasan Kaki Bukit baru-baru ini. Turut mengiringi baginda dalam kayuhan amal ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Menerusi program tersebut, baginda berkenan singgah menyantuni tiga buah rumah asnaf terpilih milik Rohini Yaacob, Embun Ramli dan Mazira Mat Ali bagi menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berupa wang tunai RM700, sekampit beras fidyah dan sekotak bahan makanan mentah kepada setiap seorang antara mereka.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyantuni golongan asnaf bagi menyampaikan agihan zakat.

Sementara itu, Dr. Sirajuddin Hashim, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis menjelaskan bahawa antara golongan yang berisiko tinggi dijangkiti HIV ialah mereka yang terlibat dengan aktiviti seks sesama jenis, seks dengan pelbagai pasangan dan berkongsi jarum disebabkan oleh penagihan dadah. Berdasarkan statistik, punca utama jangkitan HIV di negeri Perlis adalah disebabkan hubungan seks sesama jenis atau homoseksual/biseksual (69%), heteroseksual (25%) dan perkongsian jarum suntikan (6%).

Tambah beliau lagi, jumlah kes HIV di Perlis ialah 4.49 bagi setiap 100 000 penduduk manakala kes sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS) pula ialah 4.11 bagi setiap 100 000 penduduk.

Jelas Dr. Sirajuddin, “Kadar rawatan HIV ialah 83 peratus yang telah diberikan ubat antiretroviral. Tidak ada jangkitan daripada ibu positif HIV kepada anak, yakni ada lima kes ibu positif, satu telah lahir dan keputusannya, anak ialah negatif”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.