8 Julai 2022, 15:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) telah menganjurkan Simposium Kejuruteraan Pertanian 2022 pada 5 Julai 2022 hingga 6 Julai 2022 di Dewan Raflesia, Hotel Palm Garden, Putrajaya. Simposium yang berlangsung selama dua hari tersebut bertemakan “Revolusi Teknologi Kejuruteraan Pertanian ke Arah 4IR” yang bertujuan untuk berkongsi kepakaran teknologi kejuruteraan pertanian selain membentuk jaringan strategik dengan pemain industri yang berkaitan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee menyatakan bahawa selaras dengan teras utama Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), penerimagunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) melalui pemodenan dan pertanian pintar amat penting bagi meningkatkan produktiviti hasil pertanian dan seterusnya menjamin sekuriti makanan negara.

Penggunaan teknologi moden seperti dron, sensor, robotik, Internet Benda (loT), dan Teknologi Pertanian Tepat menjadi elemen penting dalam kejuruteraan pertanian bagi meningkatkan produktiviti sistem makanan negara.

Menurut beliau lagi, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengalu-alukan penyertaan syarikat pembekal teknologi untuk turut menyumbang kepakaran dalam usaha mentransformasikan industri agromakanan negara.

Kajian penyelidikan dan pembangunan teknologi dalam sektor agromakanan juga sedang giat dijalankan bukan sahaja oleh agensi kerajaan, malah melibatkan inisiatif daripada pihak swasta termasuklah pemain industri dan pembekal teknologi.

YB Datuk Seri Ronald Kiandee ketika melawat gerai pameran.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pertanian, YBhg. Dato’ Zahimi Hassan menyatakan bahawa DOA telah menjalinkan kerjasama strategik bersama-sama pihak swasta melalui Participatory Observation (PO) atau pemerhatian teknologi terpilih di lapangan bagi menentusahkan keberkesanan teknologi yang ditawarkan oleh penyedia teknologi sebelum dihebahkan kepada golongan sasar.

Dalam majlis yang sama, YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee juga telah melancarkan penerbitan buku Kompilasi Inovasi Bahagian Kejuruteraan Pertanian 2016–2020 yang mengumpulkan kesemua produk inovasi kejuruteraan pertanian dari tahun 2016 hingga tahun 2020 yang telah direka cipta oleh pegawai dan kakitangan DOA, khususnya daripada Bahagian Kejuruteraan Pertanian. Buku ini menyediakan maklumat keterangan ringkas berkenaan dengan projek inovasi, kelebihan produk, spesifikasi, dan kos inovasi yang telah dihasilkan pada tahun tersebut termasuklah berkaitan dengan jentera, mesin dan peralatan.

Turut hadir dalam majlis perasmian itu ialah Ketua Setiausaha MAFI, YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFI, Puan Azah Hanim Ahmad.

Antara tetamu yang turut hadir dalam Simposium Kejuruteraan Pertanian 2022.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.