5 Julai 2022, 14:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hari Asteroid Antarabangsa merupakan program kesedaran global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang memberikan inspirasi, mendidik dan menggalakkan pelibatan pelbagai lapisan masyarakat dunia untuk mengetahui kebaikan dan keburukan asteroid. Sambutan ini diraikan pada 30 Jun setiap tahun bersempena dengan hari memperingati kesan hentaman asteroid terbesar yang berlaku pada tahun 1908 di Tunguska, Siberia, Rusia.

Pelbagai aktiviti interaktif telah diadakan bersempena dengan sambutan Hari Asteroid Antarabangsa 2022 untuk menarik minat pelbagai lapisan masyarakat terhadap asteroid. Sehubungan dengan itu, peranan Planetarium Negara sebagai National Outreach Coordinator, International Astronomical Union untuk Malaysia amat mengalu-alukan badan kerajaan, pihak swasta, universiti, sekolah, badan bukan kerajaan, orang perseorangan, dan rakan strategik Planetarium Negara untuk menyertai dan mempromosikan program sambutan Hari Asteroid Antarabangsa 2022. Planetarium Negara menghargai dan meraikan sambutan Hari Asteroid Antarabangsa 2022 yang dijalankan oleh semua organisasi di seluruh Malaysia untuk tujuan pelaporan dan promosi.

Pelancaran sambutan Hari Asteroid Antarabangsa 2022 Peringkat Kebangsaan telah diadakan pada 30 Jun 2022 menerusi siaran langsung Facebook rasmi Planetarium Negara. Pelancaran ini telah memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia dan masyarakat di seluruh dunia dalam memperingati kesan hentaman asteroid terbesar yang menjadi sejarah dunia.

Media sosial seperti Facebook Planetarium Negara merupakan medium penting yang digunakan untuk memberikan pengetahuan kepada rakyat Malaysia berkaitan dengan Hari Asteroid Antarabangsa. Generasi muda di Malaysia kini diharapkan dapat menceburkan diri dalam kerjaya bidang angkasa. Lebih membanggakan apabila rakyat Malaysia dan generasi muda di Malaysia pada masa ini dapat mengetahui kepentingan bidang angkasa dan penyelidikan bidang angkasa di Malaysia.

Sambutan Hari Asteroid Antarabangsa 2022 diserikan dengan tayangan video asteroid secara langsung yang memaparkan perkembangan dan fakta menarik berkaitan dengan asteroid. Pada asasnya, asteroid merupakan saki-baki batuan yang tidak berjaya membentuk planet. Kebanyakan asteroid berada di orbit masing-masing. Terdapat asteroid yang dikategorikan sebagai Near Earth Asteroid (NEA), yakni asteroid dengan orbit yang lebih dekat dengan bumi jika dibandingkan dengan matahari.

Sementara itu, asteroid yang berdiameter lebih daripada satu meter dikenali sebagai Potentially Hazardous Asteroid (PHA). PHA ini berlaku apabila orbit NEA berlanggar dengan bumi dan menyebabkan kerosakan. Keadaan orbit asteroid yang bersilang dengan orbit bumi merupakan faktor asteroid berpotensi menghentam bumi. Hal ini jelas menunjukkan bahawa daya tarikan graviti bumi yang besar menyebabkan bumi sering menjadi sasaran objek lain di angkasa.

Fakta menarik lain tentang asteroid ialah kehadiran planet Musytari yang dapat mengurangkan risiko pelanggaran asteroid dengan bumi disebabkan oleh tarikan gravitinya yang tinggi. Lingkaran asteroid terletak di antara planet Marikh dengan planet Musytari. Namun begitu, ketidakseimbangan graviti antara planet Marikh dengan planet Musytari menyebabkan asteroid terpelanting keluar daripada lingkaran asteroid.

Di samping itu, penemuan asteroid telah ditemui oleh ahli astronomi dengan menggunakan teleskop untuk mencari objek yang bergerak relatif. Ahli astronomi telah menggunakan teleskop untuk mengambil gambar bahagian langit berulang kali selama beberapa jam atau beberapa hari. Pergerakan asteroid, planet dan komet telah menyebabkan perubahan kedudukan objek dari satu gambar ke satu objek yang lain. Sebagai contohnya, ahli astronomi dan ahli matematik terkenal Itali, Giuseppe Piazzi merupakan orang pertama yang menemui asteroid pada tahun 1801 menerusi penemuan objek kecil dengan diameter 965 kilometer (600 batu) antara orbit Marikh dengan orbit Musytari.

Secara keseluruhannya, paparan demi paparan fakta menarik berkenaan dengan asteroid bersempena dengan sambutan Hari Asteroid Antarabangsa 2022 yang ditayangkan dapat mengukuhkan penyelidikan asteroid seiring dengan langkah untuk menarik minat generasi muda kini menerokai bidang astronomi pada masa akan datang.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!