5 Julai 2022, 16:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Lima negara ASEAN telah menyatakan komitmen berterusan dalam mencegah dan menangani pembakaran terbuka khususnya melibatkan hutan, ladang dan tanah gambut yang menjadi punca utama jerebu merentas sempadan.

Lima negara tersebut ialah Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand yang merupakan ahli jawatankuasa dalam Mesyuarat Technical Working Group dan Sub-Regional Ministerial Steering Commitee (MSC) Ke-23 berkaitan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan yang bermula semalam bagi membincangkan strategi pencegahan dan mitigasi pencemaran jerebu merentas sempadan.

Mesyuarat yang diadakan secara dalam talian melalui persidangan video itu dipengerusikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mewakili Malaysia sebagai tuan rumah pada tahun ini dengan pelibatan Menteri Alam Sekitar dan wakil daripada lima buah negara di selatan rantau ASEAN. 

Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mempengerusikan Mesyuarat MSC Ke-23.

Dalam kenyataan media oleh Menteri Alam Sekitar dan Air yang dikeluarkan pada petang ini, tiada sebarang insiden jerebu merentas sempadan berlaku di selatan rantau ASEAN sejak tahun 2020 hingga sekarang disebabkan oleh cuaca yang lembap dan taburan hujan yang berada pada paras hampir normal.

Mesyuarat Technical Working Group dan Sub-Regional Ministerial Steering Commitee MSC Ke-23 diadakan melalui sidang video secara dalam talian.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre, rantau ASEAN dijangka mengalami suhu panas melebihi paras normal sekitar bulan Julai hingga bulan Oktober pada tahun ini. Namun begitu, fenomena El-Nino yang menyebabkan cuaca yang lebih panas dan kering dijangka tidak berlaku.

Walau bagaimanapun, bagi memantapkan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan cuaca luar jangka, pelbagai program, projek dan aktiviti berkaitan pencegahan kebakaran tanah gambut, pembangunan kapasiti negara MSC dan rantau ASEAN berkaitan pemantauan cuaca, titik panas, jerebu serta pemadaman kebakaran telah dirangka dalam mesyuarat ini.

Sejak tahun 2003, Jabatan Meteorologi Malaysia telah membekalkan maklumat amaran kebakaran hutan dan tanah gambut melalui Fire Danger Rating System kepada semua negara ASEAN. Inisiatif ini akan diteruskan dengan beberapa penambahbaikan termasuklah produk baharu ramalan kebakaran yang akan dilaksanakan pada penghujung tahun ini.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Dato’ Mansor Haji Othman selaku ketua delegasi Malaysia.

Dalam mesyuarat tersebut, delegasi Malaysia diketuai oleh Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Dato’ Mansor Haji Othman dan disertai oleh pegawai kanan Kementerian Alam Sekitar dan Air, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan agensi lain yang berkaitan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.