5 Julai 2022, 10:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada masa ini, terdapat peningkatan tren masalah kekurangan zat makanan serta peningkatan kadar berat badan berlebihan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Secara umumnya, terdapat empat situasi malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak, iaitu kurang berat badan (underweight), terbantut (stunting), tersusut (wasting) dan berat badan berlebihan (overweight) atau obesiti. Malaysia kini sedang berdepan dengan masalah beban berganda malpemakanan (double burden malnutrition) dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun.

Di Malaysia, satu daripada lima kanak-kanak mengalami masalah bantut. Bantut merupakan keadaan yang merujuk seseorang itu mempunyai ketinggian yang rendah untuk umurnya (di bawah dua sisihan piawai dari median Standard Pertumbuhan Kanak-kanak) berdasarkan standard rujukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang dijalankan oleh Institut Kesihatan Umum, peratusan kanak-kanak terbantut menunjukkan peningkatan dari 8.9 peratus pada tahun 2006 kepada 14 peratus pada tahun 2016 bagi kanak-kanak berumur kurang daripada enam bulan. Tren peningkatan yang sama juga dilihat pada kanak-kanak berumur 12 bulan hingga 23 bulan, iaitu peningkatan daripada 8.9 peratus kepada 17 peratus, manakala dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun, berlaku peningkatan dari 17.5 peratus kepada 20.5 peratus. Tinjauan NHMS terkini pada tahun 2019 melaporkan peratus terbantut dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun telah meningkat kepada 21.8 peratus.

Antara faktor yang menyumbang kepada masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak ialah kekurangan nutrisi, termasuklah diet yang tidak dipelbagai, nutrisi dan kesihatan ibu hamil yang lemah, amalan pemakanan bayi dan kanak-kanak yang tidak mencukupi, peningkatan kadar penyakit berjangkit dan kelemahan dalam amalan penyusuan susu ibu.

Bantut mempunyai implikasi jangka panjang terhadap kehidupan individu dan masyarakat. Bantut boleh meningkatkan risiko mortaliti  dan morbiditi disebabkan oleh kekurangan zat makanan yang kronik dalam jangka masa panjang. Kanak-kanak terbantut akan mengalami gangguan pertumbuhan fizikal, sistem imuniti yang rendah, penurunan kognitif, mudah dijangkiti penyakit, pencapaian akademik menurun, mengurangkan produktiviti, dan menyumbang kepada penyakit kronik ketika dewasa nanti.

Bantut juga dikaitkan dengan sasaran pemakanan global yang lain, iaitu anemia pada wanita dalam umur reproduktif, berat pada waktu lahir yang tidak mencukupi, berat badan berlebihan pada waktu kanak-kanak, penyusuan susu ibu secara eksklusif, dan kejadian susut. Susut juga adalah disebabkan oleh faktor yang sama yang menyumbang kepada bantut.

Selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12, satu daripada usaha murni kerajaan dalam menangani isu bantut dalam kalangan kanak-kanak ialah merangka beberapa strategi yang digariskan dalam Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia 2.0 melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Pemakanan Malaysia 2016 — 2025. Antara strategi yang digariskan adalah memperkukuh strategi pemakanan untuk kanak-kanak dan wanita dalam umur reproduktif,  intervensi pemakanan untuk kumpulan rentan di samping memastikan sekuriti makanan dan pemakanan untuk semua.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan Program Media #AnakMalaysiaSihat sebagai satu daripada advokasi yang dijalankan bagi menangani masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak. Dalam usaha untuk menangani masalah bantut, KKM telah menyediakan pelan strategik yang akan dilaksanakan dalam tempoh lapan tahun. Kumpulan sasar bagi strategi ini termasuklah ibu bapa, pengasuh, ahli keluarga, guru, majikan, rakan dan komuniti.

Program Media #AnakMalaysiaSihat juga mengetengahkan mesej seribu hari pertama kehidupan sebagai pencegahan masalah bantut dengan amalan pemakanan sihat. Seribu hari pertama kehidupan merupakan tempoh yang bermula daripada awal kehamilan sehinggalah anak yang dilahirkan itu berumur dua tahun. Dalam tempoh ini, keadaan mental dan fizikal anak-anak berkembang secara maksimum. Secara terperinci, tempoh ini dibahagikan kepada beberapa bahagian, bermula daripada prakehamilan, kehamilan, kelahiran, tahun pertama dan tahun kedua.

Secara umumnya, tempoh seribu hari pertama adalah amat penting bagi penjagaan kesihatan dan pemakanan yang sempurna untuk ibu dan anak. Tempoh ini juga merupakan masa keemasan bagi anak dari segi pertumbuhan otak, organ penting seperti organ metabolik, perkembangan dan kematangan sistem saluran cerna semasa tempoh awal kehamilan (12 minggu), perkembangan kognitif dan kecerdasan, sistem ketahanan badan dan kekebalan serta komposisi tubuh dan otot.

Amalan pemakanan sihat adalah penting sebagai persediaan bagi ibu dalam merancang kehamilannya. Status kesihatan dan pemakanan wanita sebelum hamil akan mempengaruhi kesihatan semasa hamil dan bayi dalam kandungan. Fasa kehamilan yang lebih sihat dapat dilalui oleh seseorang ibu jika isu kesihatan dan pemakanan seperti kekurangan nutrisi, masalah anemia, obesiti, penyakit kronik dan lain-lain dapat dikenal pasti dengan lebih awal. Persediaan prakehamilan antara tiga bulan hingga enam bulan sebelum hamil adalah sangat penting bagi memastikan status kesihatan diri adalah dalam keadaan yang baik dan keperluan nutrisi telah dipenuhi. Amalan pemakanan sihat perlu diteruskan sepanjang tempoh kehamilan bagi memastikan ibu mendapat cukup nutrisi dari tempoh kehamilan bermula daripada trimester pertama hingga trimester ketiga.

Seterusnya, amalan penyusuan susu ibu kepada bayi secara eksklusif dalam tempoh enam bulan pertama kehidupan dan pemberian makanan pelengkap yang mencukupi selain meneruskan penyusuan susu ibu sehingga berumur 24 bulan merupakan kunci utama bagi pertumbuhan kanak-kanak yang optima. Pemakanan yang seimbang, berkhasiat, pelbagai dan mencukupi perlu diberikan kepada kanak-kanak untuk memastikan perkembangan otak dan pertumbuhan fizikal yang baik.

Sebagai kesimpulannya, isu bantut dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia perlu diberikan perhatian sewajarnya dan ditangani dengan segera. Usaha dan advokasi secara berterusan kepada golongan berisiko perlu diberi perhatian sewajarnya oleh pelbagai pihak. Hal ini termasuklah peranan ibu bapa dan penjaga yang perlu memastikan amalan penyusuan susu ibu dan pemakanan sihat dalam kalangan bayi dan kanak-kanak tidak diabaikan.

 

Penulis ialah Pegawai Sains (Pemakanan) di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.