4 Julai 2022, 09:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Isirung kelapa sawit berpotensi besar untuk dimajukan dan digunakan secara meluas dalam industri makanan haiwan, terutamanya ayam. Hal ini dikatakan demikian kerana isirung kelapa sawit mempunyai kelebihan dari segi kandungan khasiat yang tinggi dan kos yang rendah.

Berdasarkan kajian, penyediaan dedak untuk ternakan dengan menggunakan isirung kelapa sawit adalah lebih kompetitif berbanding dengan kaedah rumusan konvensional sedia ada. Hal ini termasuklah kelebihan dari sudut penjimatan kos yang dijangka mampu memberikan nilai tambah dan meringankan beban pengusaha industri ruminan dalam jangka masa panjang yang kini kebanyakannya mengimport makanan haiwan daripada negara luar.

Sumber isirung kelapa sawit yang banyak di negara ini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya bagi tujuan komersial sebagai alternatif makanan haiwan industri ruminan tempatan, terutamanya ternakan ayam yang berdepan krisis kekurangan bekalan dan kenaikan harga. Secara purata, dianggarkan sekitar 2.4 juta hingga 2.6 juta tan isirung kelapa sawit dieksport pada setiap tahun dan hanya 20 peratus daripada pengeluaran isirung kelapa sawit negara diperuntukkan untuk pasaran tempatan. Hal ini menjadikan Malaysia sebagai pengeluar isirung kedua terbesar dunia selepas Indonesia.

Isirung kelapa sawit sangat sesuai digunakan sebagai sumber makanan ayam kerana mengandungi tenaga, protein dan karbohidrat. Selain menjadi sumber makanan ayam, isirung kelapa sawit juga dapat mengurangkan kelembapan dalam najis ayam, sekali gus mengurangkan pencemaran ammonia dan lalat dari ladang ayam terbabit. Jika digunakan sebagai sumber makanan ternakan ayam telur pula, cangkerang telur akan menjadi lebih keras disebabkan oleh kandungan kalsium dan fosforus yang tinggi dalam isirung kelapa sawit.

Sumber makanan haiwan yang dicampur dengan isirung kelapa sawit juga mampu meningkatkan selera makan haiwan ternakan berdasarkan bau dan rasanya serta memperbaiki kecekapan pertukaran makanan untuk memaksimumkan kenaikan berat haiwan ternakan. Makanan yang mengandungi mikrob itu juga menjadikan haiwan lebih sihat, sekali gus mengurangkan penggunaan ubat-ubatan, mempermudah sistem penghadaman serta mengurangkan stres.

Selain itu, isirung kelapa sawit lebih digunakan sebagai sumber makanan ternakan lembu tenusu dan daging serta jarang-jarang digunakan sebagai sumber makanan ayam ternakan kerana kandungan serabut yang agak tinggi. Namun begitu, kandungan serabut dapat dikurangkan melalui penggunaan kulat Aspergilus, Trichoderma dan Rhizopus yang bertindak menghancurkan isirung kelapa sawit menerusi proses fermentasi selama tiga hari hingga empat hari. Proses fermentasi turut membantu meningkatkan kandungan protein isirung kelapa sawit.

Sebenarnya, banyak kajian dan penyelidikan telah dilakukan mengenai cara untuk mengurangkan kandungan serabut dalam isirung kelapa sawit. Antara kaedah yang paling praktikal dan kos efektif ialah dengan membuang kulit isirung kelapa sawit. Dengan memanfaatkan isirung kelapa sawit sebagai sumber makanan ternakan ayam, hal ini membantu industri ruminan berkembang tanpa perlu terus bergantung pada sumber makanan yang sebahagian besarnya diimport seperti jagung dan kacang soya yang kini mencecah nilai sebanyak empat juta tan setahun.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sentiasa meningkatkan usaha mempromosi penggunaan isirung kelapa sawit sebagai sumber makanan ayam ternakan bagi mengawal harga dan bekalan ayam untuk tempoh jangka masa panjang. Antara punca kenaikan harga ayam adalah disebabkan oleh harga makanan ayam yang tinggi dengan peningkatan daripada RM500 kepada RM1900 untuk satu tan.

Pada masa ini, sumber makanan bijirin yang diperbuat daripada jagung dan kacang soya menghadapi kekurangan di seluruh dunia akibat perang di Ukraine dan cuaca yang tidak menentu. Malaysia mengimport sumber makanan ayam berasaskan jagung dan kacang soya disebabkan negara tidak menanam jagung dan kacang soya untuk ternakan. KPPK juga akan turut mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan untuk mengkaji semula dasar eksport isirung kelapa sawit yang kini dieksport untuk industri ternakan lembu Eropah supaya lebih memihak kepada industri ayam pedaging tempatan.

KPPK juga akan bekerjasama dengan agensi berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan dan kerajaan negeri untuk melihat dengan segera ketersediaan isirung kelapa sawit sebagai sumber makanan untuk industri ternakan ayam negara dapat dilakukan. Sebagai contohnya, kilang pemprosesan makanan haiwan ternakan berasaskan sumber alternatif isirung kelapa sawit yang bernilai RM20 juta bakal beroperasi di Bukit Kor dekat Marang, Terengganu pada hujung tahun ini. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan Perladangan Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr. Azman Ibrahim, pembinaan kilang hasil kerjasama pelaburan syarikat berkaitan kerajaan negeri dan syarikat swasta itu dalam proses akhir persiapan membabitkan kelulusan pihak berkuasa tempatan. Perbincangan telah diadakan secara terperinci dengan pakar formulasi makanan untuk haiwan ternakan agar kilang ini mampu mengeluarkan sumber makanan haiwan alternatif selain penggunaan bijirin jagung dan kacang soya. Kilang ini akan menggunakan isirung kelapa sawit sebagai bahan utama makanan haiwan ternakan dan apabila beroperasi kelak, kilang ini dijangka mampu memenuhi sebanyak 80 peratus permintaan daripada penternak haiwan di negeri Terengganu.

Terengganu mempunyai sumber isirung kelapa sawit yang banyak kerana terdapat puluhan ribu hektar ladang kelapa sawit milik syarikat berkaitan kerajaan negeri seperti TDM Berhad dan Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. Harga bagi setiap satu beg (50 kilogram) makanan haiwan ternakan ini mampu dijual lebih rendah, iaitu sekitar RM35 berbanding dengan RM70 pada masa ini. Hal ini dapat membantu penternak mendapatkan makanan haiwan dengan lebih murah sekali gus merancakkan lagi industri ternakan di Terengganu.

Selain itu, KPPK juga akan bekerjasama rapat dengan institut penyelidikan seperti universiti awam untuk melihat kaedah untuk meningkatkan lagi kualiti isirung kelapa sawit bagi menjadikannya sebagai pilihan utama sumber makanan ayam penternak ayam. Hal ini termasuklah kajian untuk mengurangkan kandungan serabut dalam isirung kelapa sawit.

Pengeluaran produk domestik berasaskan isirung kelapa sawit untuk industri ruminan negara sewajarnya diperkukuh dan usaha ini wajar disokong. Isu kenaikan harga ayam pula perlu dilihat secara holistik dalam rantaian bekalan makanan. Punca kenaikan harga ayam boleh dikaitkan dengan faktor bekalan dan permintaan di samping beberapa dimensi lain seperti dasar perdagangan, harga tenaga dan ketidakcekapan rantaian bekalan makanan. Faktor bekalan makanan yang penting termasuklah kos tenaga kerja yang tinggi dan kos makanan ayam juga perlu diteliti. Selain itu, kejatuhan nilai ringgit juga memainkan peranan dalam kenaikan harga makanan memandangkan negara mengimport makanan haiwan denga kos sebanyak RM4.6 bilion pada tahun 2020.

Dari segi permintaan pula, trend pengambilan makanan di Malaysia menunjukkan peningkatan dalam banyak variasi dan kuantiti yang bernilai tinggi serta lebih tinggi protein seperti daging ayam. Malaysia merupakan negara tertinggi penggunaan ayam per kapita selepas Amerika Syarikat dan Israel. Penggunaan per kapita ayam di negara ini adalah dalam lingkungan 47.9 kilogram. Oleh itu, sudah tiba masanya kerajaan mengambil serius tentang isu kekurangan bekalan ayam dan kenaikan harga ayam dengan melonjakkan industri isirung kelapa sawit tempatan sebagai alternatif sumber makanan kepada industri ternakan ayam selain mengurangkan kebergantungan tinggi kepada sumber makanan ayam ternakan import.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.