29 Jun 2022, 11:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya РKementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menawarkan sebanyak 27 penyelesaian teknologi yang sedia diguna pakai secara meluas bagi membantu negara menangani isu sekuriti makanan untuk jangka masa pendek.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh MOSTI semalam, penyelesaian teknologi yang dikenal pasti terbahagi kepada beberapa klusler, iaitu biji benih, biobaja dan baja penggalak, penggunaan dron dan robotik, perkhidmatan ujian dan aplikasi Internet Benda (loT), akuakultur serta makanan ternakan.

Antara penyelesaian teknologi yang ditawarkan ialah penggunaan automasi sistem fertigasi, pertanian menegak, akuaponik yang digandingkan bersama-sama aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang mampu beroperasi di kawasan terpencil dan mengurangkan kos operasi melalui penggunaan Panel Tenaga Suria Nano (NLEP) tenaga solar sebagai sumber tenaga utama, Penggunaan teknologi ini boleh diguna pakai bagi pelbagai jenis tanaman hijau berdasarkan kesesuaian kawasan dan keperluan pasaran.

Di samping itu, teknologi loT dan blok rantai akan turut digembleng bersama-sama penyelesaian teknologi lain bagi merancakkan industri agro. Penggunaan biobaja pintar, teknologi penjerap nutrien dan teknologi pemuliharaan tanah juga boleh meningkatkan produktiviti tanaman. Teknologi ini berupaya mengatasi isu kenaikan harga baja disebabkan oleh bekalan bahan yang terhad berikutan krisis dunia. Produk ini amat sesuai digunakan dalam skala besar bagi mempertingkat kawasan penanaman yang subur dalam tempoh yang singkat.

Menerusi Agensi Nuklear Malaysia, kajian dan data di lapangan juga telah memperlihat keupayaan biobaja yang berpotensi menjimatkan kos baja hingga 50 peratus dan meningkatkan hasil pertanian hingga lapan peratus. Hal ini mampu mengurangkan kebergantungan kepada baja di samping subsidi baja juga dapat dikurangkan secara berperingkat

Selain itu, beberapa model pelaksanaan juga telah dikenal pasti MOSTI termasuklah perubahan besar ke atas penambahbaikan mekanisme sistem penyampaian sekiranya perlu dilaksanakan bagi memperkukuh polisi negara dalam mengalakkan penggunaan teknologi dalam industri agro

MOSTI yakin bahawa teknologi yang diketengahkan mampu memberikan impak yang berkesan dalam memastikan sekuriti bekalan makanan terjamin dengan kos yang berpatutan serta pengurangan kepada kebergantungan penuh kepada buruh asing

Kesemua penyelesaian teknologi ini merupakan hasil penyelidikan dan pembangunan tempatan yang dibiayai oleh kerajaan. Hal ini membuktikan bahawa negara mempunyai kepakaran dan kemampuan yang tinggi dalam sains, teknologi, inovasi dan ekonami dan peluang ini perlu digunakan sebaik-baiknya dalam menangani isu bekalan makanan.

Penyelesaian berlandaskan teknologi ini merupakan sokongan MOSTI kepada kesinambungan usaha yang sedang dilakukan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. MOSTI juga menyarankan usaha sama dengan semua pihak berkepentingan baik di peringkat persekutuan mahupun negeri akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kesinambungan dan kemampanan industri agromakanan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!