29 Jun 2022, 13:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – “Kemahiran menulis makalah untuk jurnal berwasit adalah melalui pengalaman penulisan yang berterusan. Kebolehan untuk menulis datangnya bukan sahaja daripada bakat semula jadi tetapi juga daripada pengalaman menulis yang dilakukan sepanjang masa,” kata Profesor, Jabatan Fizik Gunaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dato’ Dr. Roslan Abd Shukor dalam ucaptama ketiga dengan tajuk “Teknik Pengembangan Idea Penulisan Saintifik” dalam Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2022 pada pagi ini.

Profesor Dato’ Dr. Roslan Abd Shukor semasa membentangkan ucaptama dengan tajuk “Teknik Pengembangan Idea Penulisan Saintifik”.

Menurutnya, keupayaan untuk menerbitkan artikel saintifik merupakan satu daripada kayu pengukur kejayaan seseorang penyelidik. Menulis manuskrip boleh menjadi mudah dan menyeronokkan jika dilakukan dengan cara yang betul dan formula yang teruji.

Menulis manuskrip adalah seperti menulis cerita. Untuk menjadikan cerita itu menarik, bahan yang diceritakan itu juga mestilah diolah dengan baik dan mudah difahami. Hanya dengan jalan cerita yang baik sesuatu manuskrip itu dapat menarik pembaca.

Hasil penyelidikan mestilah diterbitkan untuk dimanfaatkan oleh para ilmuan dan masyarakat. Penyelidik yang pintar jika tidak menerbitkan hasil penyelidikan, mungkin tidak diakui kesarjanaannya. Satu daripada falsafah kesarjanaan ialah hasil kajian mesti ditulis, diwasit dan akhirnya diterbitkan. Hanya dengan kaedah ini sahaja ilmu yang baharu boleh disahkan dan dapat memperkaya khazanah ilmu.

Beliau turut berkongsikan beberapa persediaan yang boleh dilakukan oleh penulis sebelum mula menulis. Antaranya termasuklah banyakkan membaca, membaca dengan kritis, memilih tempat yang sesuai untuk menulis, mengenal pasti sasaran yang hendak dicapai apabila menulis dan menulis dengan konsisten.

Pada akhir pembentangan, beliau merumuskan ucaptamanya dengan menjelaskan pengembangan idea untuk penulisan saintifik adalah melalui kolaborasi, pembacaan yang meluas, mengikuti perkembangan terkini dalam bidang dan berdisiplin dalam aktiviti penulisan. Dalam pengembangan idea penulisan saintifik, seseorang penyelidik juga perlu mengoptimumkan kekuatan cara berfikir masing-masing, sentiasa berada di hadapan dalam bidang melalui pembacaan dan sentiasa berinteraksi dengan penyelidik terkemuka yang lain.

Seterusnya, Pengarah Penerbit UPM, Universiti Putra Malaysia, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Haji Hameed Sultan membentangkan kertas kerja dengan tajuk “Penulisan Jurnal Saintifik dari Peringkat Idea hingga ke Penerbitan”. Beliau menyatakan sebelum seseorang penulis menulis sesebuah manuskrip, mereka perlu mengenal pasti enam perkara.

Profesor Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Haji Hameed Sultan.

Fikirkan mengapakah anda ingin menerbitkan karya dan adakah boleh diterbitkan? Penulis juga hendaklah menentukan jenis manuskrip yang hendak disediakan, sama ada artikel penyelidikan, artikel ringkas ataupun ulasan artikel. Di samping itu, penulis hendaklah mengenal pasti jurnal sasaran untuk penerbitan di samping memahami etika penerbitan sesuatu karya itu.

Beliau juga berkongsikan bahawa editor jurnal biasanyan akan menyemak empat elemen utama apabila mereka menerima manuskrip daripada penulis. Elemen tersebut termasuklah kesesuaian isi kandungan mansukrip, pematuhan arahan manuskrip terhadap penerbitan dalam jurnal, kualiti keseluruhan artikel serta penggunaan bahasa yang baik.

Sementara itu, dalam kerta kerja “Aplikasi di E-Platform Digital bagi Bahan Penulisan dan Penerbitan Saintifik” yang dibentangkan oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Farmasi, Universiti Teknologi Mara, Dr. Normala Abd Latip, beliau mengatakan media sosial memberikan ketampakan kepada individu yang tak terlihat di samping memberikan “suara” kepada pandangan yang tidak didengari.

Dr. Normala Abd Latip berkongsikan pembentangan kertas kerja “Aplikasi di E-Platform Digital bagi Bahan Penulisan dan Penerbitan Saintifik”.

Pengasas laman media sosial Ini Sains Beb! menerangkan media sosial memberikan jaringan yang lebih meluas dan mampu menangani jurang antara saintis dan masyarkat dalam menyebarkan hasil kajian. Rakyat Malaysia sendiri merupakan pengguna media sosial yang tertinggi di dunia. Kebanyakan rakyat Malaysia menggunakan Youtube, Whatsapp, Facebook dan Instagram.

Langkah pertama untuk berkongsikan hasil kajian menerusi media sosial adalah dengan menterjemah hasil kajian mengikut jenis media sosial, sama ada dengan penghasilan teks mudah atau melalui penghasilan video, bergantung pada medium media sosial yang digunakan.

Seterusnya, penulis dan aktivis hak cipta, Puan Nisah Haron membentangkan kertas kerja dengan tajuk “Plagiat ke Penulisan Saya?” yang mengupas isu harta intelektual dalam penulisan.

Puan Nisah Haron membentangkan kertas kerja dengan tajuk “Plagiat ke Penulisan Saya?”.

Beliau menerangkan hak cipta ialah hak kekuasaaan yang dilindungi atas sebahagian daripada hasil ciptaan seseorang pengarang. Syarat untuk mendapat hak cipta termasuklah karya asli, bahan atau rekod, jenis karya dilindungi dan pengkarya yang dikenal pasti.

Hak cipta di Malaysia melindungi karya sastera, muzik, seni, filem, rakaman bunyi dan siaran. Kesemua karya ini dilindungi dengan hak cipta tanpa mengira kualiti dan tujuan sesuatu karya itu dihasilkan.

Beliau juga mengatakan bagi mengelakkan plagiarisme dalam penulisan, penulis hendaklah menyatakan sumber penulisan tersebut. Hal ini sebenarnya menunjukkan kemampuan seseorang penulis itu untuk memproses idea luar selain menguatkan tulisan sendiri dengan sandaran kepada idea terdahulu.

Kertas kerja terakhir bagi sesi ini dibentangkan oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA, Dr. Fatimah Salim dengan tajuk “Penulisan Saintifik di Media Sosial”. Menurutnya,

“Kaedah penyampaian konsep saintifik yang kompleks kepada istilah harian adalah bertujuan membantu saintis untuk berkongsi dapatan hasil penyelidikan kepada pelbagai pihak berkepentingan seperti orang awam dan akhbar. Selain itu, kaedah penyampaian saintifik yang ringkas boleh menjadikan sains boleh diakses oleh semua orang”

Beliau memaklumkan sekiranya seseorang itu hendak berkongsikan maklumat saintifik di media sosial, mereka perlulah menjadi diri sendiri walaupun menggunakan nama pena atau kekal sebagai tanpa nama. Di samping itu, adalah penting untuk seseorang penulis membentuk karisma diri berdasarkan ilmu dan kepakaran yang dimiliki selain menyemaikan sifat keikhlasan dan imej diri.

Sesi ketiga Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2022 ini melibatkan pembentangan satu ucaptama dan empat kertas kerja. Sesi ini dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Ir. Dr. Anas Abdul Latiff.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.