28 Jun 2022, 21:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Menerusi tema Menyemarakkan Penulisan dalam bidang Sains dan Teknologi yang diangkat dalam Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2022, program ini dirancakkan lagi dengan sesi kedua pembentangan ucaptama dan empat kertas kerja yang membincangkan isu penyediaan bahan, gaya dan teknik penulisan saintifik.

Pembentangan ucaptama dalam sesi kedua ini dimulakan oleh Pengarah Kanan Program Pengurusan Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Muhamad Rawi Mohamed Zin dengan tajuk “Kemahiran Menganalisis Data dan Teknik Penulisan”. Dalam pembentangannya, beliau mengatakan bahawa data seperti diagram, graf, jadual, imej, corak serta lukisan adalah fakta yang membawa maklumat yang direkodkan untuk tujuan analisis dalam penulisan akademik. Menurutnya,

Penyelidik harus mempunyai kemahiran untuk mengenal pasti, mengumpul, membersihkan, menganalisis dan menafsir data. Data juga perlu diolah sebaik mungkin dan perlu dipersembahkan dalam bentuk menarik yang boleh memukau pembaca untuk terus membaca teks.

Perkara penting dalam penulisan akademik yang melibatkan data mestilah mempunyai struktur tersendiri dan tidak bersandarkan teks semata-mata. Rajah yang mempunyai keterangan atau kapsyen yang baik membolehkan pembaca memahami kandungan teks melalui data tanpa merujuk teks.

Beliau menjelaskan antara sebab kebanyakan penulisan akademik ditolak untuk penerbitan termasuklah data yang diberikan tidak mencukupi, data terlalu banyak yang menyebabkan susah untuk ditentukan corak dan sukar dianalisis serta data yang dibentangkan dalam penulisan terlalu lemah.

Sesi pembentangan kertas kerja diteruskan oleh Pensyarah Kanan, Bahagian Bahasa Inggeris, Pusat Bahasa Moden, Universiti Malaysia Pahang, Dr. Wan Jumani Paizi @ Fauzi yang membincangkan tajuk “Proofreading dan editing – Satu Kekeliruan atau Kesamaan”.

Beliau menerangkan proses membaca pruf dan penyuntingan adalah penting untuk menilai penulisan yang dihasilkan. Membaca pruf adalah proses membaca, menyemak dan membetulkan tatabahasa, tanda baca dan ejaan. Proses suntingan pula adalah lebih terperinci yang meliputi semakan koherensi, struktur ayat, penggunaan bahasa yang ringkas dan jelas di samping ketiga-tiga aspek dalam membaca pruf.

Pembaca pruf atau editor yang baik mestilah mempunyai beberapa ciri penting untuk menjalankan tugasnya dengan sempurna. Mereka mestilah mempunyai sifat yang teliti terhadap sebarang perincian dalam sesuatu teks atau penulisan. Selain itu, mereka mestilah mempunyai kemahiran untuk mengenal pasti sebarang kesalahan dalam teks.

Di samping itu, pembaca pruf atau editor mestilah peka dan mengetahui objektif yang penulis ingin sampaikan dalam penulisan mereka. Pembaca pruf atau editor juga seharusnya mempunyai sifat ingin tahu dan melakukan kajian serta menyemak fakta yang disediakan oleh penulis, mempunyai sifat berani dan tidak takut untuk memberikan pandangan tentang kandungan sesuatu penulisan.

Seterusnya, kertas kerja “Penulisan Laporan Teknikal Berasaskan Sains dan Teknologi” yang dibentangkan oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Mohd Helmy Abd Wahab pula mengupas struktur penulisan laporan teknikal yang merangkumi lapan perkara utama, iaitu tajuk, abstrak, pengenalan, sorotan kajian, kaedah, keputusan, perbincangan, kesimpulan, penghargaan dan rujukan.

Mohd Helmy Abd Wahab semasa membentangkan kertas kerja “Penulisan Laporan Teknikal Berasaskan Sains dan Teknologi”.

Terangnya, kelapan-lapan perkara utama tersebut mempunyai kepentingan yang tersendiri dan perlu ditulis serta dipersembahkan dengan terbaik. Hal ini adalah penting bagi membolehkan penulisan akademik tersebut berpotensi tinggi untuk diterima dalam penerbitan jurnal berimpak tinggi.

Beliau juga berkongsikan faktor laporan teknikal yang ditolak adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti kandungan kajian tidak sesuai dengan penerbitan, kajian bersifat tidak selesai atau plagiat, ditulis dengan banyak masalah tatabahasa dan ejaan, kertas yang telah diterbitkan dan penilai salah faham akan kandungan artikel.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Ts. Dr. Saifudin Hafiz Yahaya membentangkan kertas kerja dengan tajuk “Format Penulisan Rujukan bagi Jurnal” yang menghuraikan isu penulisan rujukan dalam penulisan akademik.

Ts. Dr. Saifudin Hafiz Yahaya membentangkan kertas kerja dengan tajuk “Format Penulisan Rujukan bagi Jurnal”.

Beliau yang juga merupakan Ketua Editor Journal of Advanced Manufacturing Technology mengatakan tujuan utama rujukan dinyatakan dalam jurnal adalah untuk memberitahu sumber yang digunakan. Rujukan juga digunakan untuk menyatakan sumber ilmu yang diguna pakai, untuk memberikan kredit kepada penulis asal dan mengelakkan daripada berlakunya plagiarisme.

Penulisan akademik terbahagi kepada dua jenis, iaitu artikel penyelidikan dan artikel penialaian. Artikel penyelidikan adalah penulisan dengan lapan hingga 15 halaman, mempunyai sebanyak 7500 hingga 9000 patah perkataan dan sejumlah 25 rujukan. Artikel penilaian pula mempunyai lebih kurang 15 halaman dan ke atas, disertakan dengan jadual ringkasan serta mempunyai sebanyak 70 hingga 200 rujukan.

Sesi ini diakhiri dengan pembentangan oleh Pensyarah Kanan, Program Sains Forensik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr. Geshina Ayu Mat Saat dengan kertas kerja “Pemilihan Struktur dan Tema dalam Teks Saintifik”.

Beliau menerangkan bahawa penulisan saintifik perlu mengekalkan perhatian pembaca. Menurutnya lagi,

Untuk berbuat demikian, penulis perlu memulakan setiap perenggan dengan ayat topik yang jelas, ringkas dan menarik. Elakkan guna topik yang terlalu panjang dan mengelirukan. Ayat yang digunakan juga tidak boleh terlalu panjang, terputus dan tidak logik.

Selain itu, tema dalam penulisan saintifik haruslah disusun secara logikal dan berpatutan kerana tujuannya adalah untuk menunjukkan secara keseluruhan makna yang telah ditunjukkan oleh literatur. Dalam penulisan saintifik, pembaca ingin mendapatkan jawapan tentang tema yang dibawakan dan sumber utama dalam penulisan tersebut.

Beliau juga menyarankan penulis untuk membuat perancangan. Tanpa perancangan yang betul adalah sukar untuk menentukan tema utama yang timbul dan proses semakan mungkin menjadi tidak teratur.

Sesi ini dipengerusikan oleh Encik Abdul Ghani Abu, Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.