27 Jun 2022, 11:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rembau – Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin menggesa golongan B40 untuk melakukan saringan kesihatan di bawah Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (PeKa B40) untuk mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD) yang menunjukkan trend peningkatan sejak akhir-akhir ini.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh ProtectHealth Corporation semalam, menurut YB Khairy Jamaluddin sejak wabak COVID-19 melanda, mereka yang menghidap NCD menghadapi kesan kemudaratan COVID-19 yang paling teruk.

Oleh sebab itu, orang ramai digalakkan membuat saringan kesihatan awal dan berkala untuk pengesanan awal sesuatu penyakit dan menjadi individu yang lebih celik kesihatan.

“Saya menyeru kepada mereka yang layak menerima manfaat daripada program B40 untuk ke klinik yang berdaftar dengan ProtectHealth bagi menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma. Klinik yang berdaftar dengan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) boleh dikenal pasti melalui pelekat B40 di pintu masuk klinik yang berkenaan,” jelasnya lagi dalam sidang media yang diadakan selepas lawatan program jangkau luar PeKa B40 di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Dato’ Dr. Anas Alam Faizli berkata, pada tahun ini, pihaknya menyasarkan sebanyak dua kali ganda jumlah keseluruhan saringan kesihatan yang telah dicapai pada tahun 2021, iaitu sebanyak 200 ribu saringan kesihatan.

Menurutnya lagi, fokus utama ProtectHealth pada masa ini adalah untuk mendapatkan seberapa ramai orang untuk menjalani saringan pemeriksaan kesihatan di samping menyebarkan kesedaran tentang NCD yang boleh menjejaskan kehidupan manusia.

Penghidap NCD berisiko menghadapi krisis kewangan disebabkan oleh kos bayaran perbelanjaan kesihatan yang tinggi. Hal ini mengakibatkan NCD boleh menjejaskan kestabilan kewangan individu dan perkembangan ekonomi negara. Oleh hal yang demikian, program PeKa B40 dilaksanakan untuk mengurangkan beban golongan B40 dari segi kos penjagaan kesihatan sekali gus membantu individu yang terjejas mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik.

Program PeKa B40 adalah sebahagian daripada program Inisiatif Saringan Kesihatan Nasional (NHSI). Orang ramai boleh menyemak kelayakan mereka dengan memasukkan nombor kad pengenalan di laman sesawang www.pekab40.com.my atau kunjungi klinik terdekat yang berdaftar dengan ProtectHeatlh.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.