27 Jun 2022, 09:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Enam saintis muda negara diberikan pengiktirafan mewakili Malaysia dalam Mesyuarat Nobel Laureate Ke-71 di Lindau, Jerman yang bermula dari 26 Jun hingga 1 Julai 2022.

Mereka yang terpilih ialah Dr. Enis Nadia Md. Yusof dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Goh Choon Fu (USM), Dr. Nur Azzalia Kamaruzaman (USM), Dr. Oh Wen Da (USM), Dr. Sazlinda Kamaruzaman dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Dr. Low May Lee dari International Medical University (IMU).

“Mesyuarat Nobel Laureate merupakan platform terbaik kepada saintis muda yang juga peneraju sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi membina jaringan bersama-sama saintis terbaik di peringkat antarabangsa,” kata Presiden Akademi sains Malaysia (ASM), Prof Emerita Datuk Dr. Asma Ismail.

Tambahnya lagi, selain dapat bertemu dengan Pemenang Anugerah Nobel daripada pelbagai disiplin sains, mesyuarat yang akan disertai kira-kira 600 saintis muda lain dari seluruh dunia ini juga memberikan peluang kepada saintis muda negara untuk memperkenalkan penyelidikan mereka yang seterusnya mungkin membuka peluang kerjasama dengan saintis berkenaan di makmal bertaraf dunia.

“Malaysia menerusi ASM telah menghantar sebanyak 81 saintis muda untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat ini sejak tahun 2004”, ujarnya melalui kenyataan media semalam.

Mesyuarat Nobel ke-71 pada tahun ini didedikasikan untuk bidang kimia dan dianggarkan sejumlah 35 pemenang Anugerah Nobel akan menyertainya dengan membentangkan penyelidikan serta berkongsi pengalaman mereka bersama semua peserta.

Pencalonan wakil Malaysia bagi Mesyuarat Nobel ini dibuka kepada semua saintis muda institut pengajian tinggi awam dan institut pengajian tinggi swasta pada setiap tahun yang dikendalikan oleh ASM, agensi seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

 

(Sumber: Facebook MOSTI)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.