26 Jun 2022, 14:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – “Pemerkasaan rakyat Perlis adalah penting kerana rakyat yang berpengetahuan dan cakna akan mahir dan berupaya membuat keputusan, mengambil tindakan terbaik dalam kawalan kesihatan kendiri merangkumi budaya hidup sihat, amalan kebiasaan baharu dan penilaian kesihatan kendiri. Hal ini akan dapat mencegah pelbagai jenis penyakit dan rakyat Perlis akan dapat hidup sihat sejahtera.”

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Demikian titah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Negeri Perlis anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Perlis di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad Kangar, pagi tadi.

Raja Muda Perlis merasmikan Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Negeri Perlis.

Menurut baginda, bagi memperkasa individu, keluarga dan komuniti dalam penjagaan kesihatan diri dan persekitaran untuk melahirkan rakyat yang sihat dan hidup sejahtera, rakyat Perlis hendaklah lebih peka dan mengambil tahu akan status kesihatan diri sendiri serta ahli keluarga tersayang masing-masing dan mengambil langkah kawalan perebakan penyakit.

Tambah baginda lagi, rakyat telah banyak belajar daripada kawalan kendiri dalam menghadapi COVID-19. Oleh itu, pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada perlu digunakan dengan sebaik-baiknya dalam menangani penyakit lain sama ada penyakit berjangkit ataupun tidak.

Keberangkatan tiba baginda dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin dan Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim.

Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin bersama-sama Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis ketika program berlangsung.

Baginda menyokong penuh Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Baginda juga menyeru agar seluruh penduduk di negeri Perlis menyokong ANMS ini kerana bermatlamat untuk melahirkan rakyat Malaysia yang sihat sejahtera dengan membudayakan cara hidup sihat. Baginda juga menyatakan bahawa kita bukan hanya mahu sihat dari segi fizikal, malah sihat dan sejahtera dari segi mental dan hidup dalam persekitaran yang bersih.

Terdahulu, baginda berdua berkenan menyaksikan YB Khairy Jamaluddin mencuba bermain sukan woodball buat pertama kalinya di padang bersebelahan diiringi oleh Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis, Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan setiausahanya, Tuan Haji Rusli Abdul Hamid.

Pada akhir program, Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis turut meluangkan masa melancarkan plak “Trak Wellness on Wheel Peringkat Negeri Perlis”.

Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis melancarkan plak “Trak Wellness on Wheel Peringkat Negeri Perlis”.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.