26 Jun 2022, 17:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menitahkan masyarakat agar memupuk budaya menjaga kebersihan persekitaran untuk kesejahteraan kesihatan rakyat Perlis.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengadakan lawatan ke tapak pameran Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Negeri Perlis anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Perlis di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, semalam.

Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat melawat tapak pameran Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Negeri Perlis.

Melalui titahnya baginda menyatakan bahawa kebanyakan penyakit berjangkit dapat dicegah dengan mengamalkan kebersihan persekitaran. Sebagai contohnya, taska yang bersih dapat mencegah penyakit tangan, kaki dan mulut, manakala jika tiada tempat takungan air, tiadalah pembiakan aedes, maka tiada denggi. Menurutnya lagi,

Persekitaran yang bersih dapat menceriakan emosi dan minda. Misalnya, bersenam di taman yang bersih seperti Denai Larian Pengkalan Asam akan membuatkan kita lebih bersemangat. Oleh itu, rakyat Perlis hendaklah sentiasa menjaga kebersihan persekitaran yang merupakan tanggungjawab kita bersama.

DYTM Raja Puan Muda Perlis juga berkenan menyempurnakan pelepasan peserta dan meninjau Checkpoints Explore Health selepas mengambil bahagian dalam aerobik yang diadakan bersempena dengan program tersebut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim pula memaklumkan bahawa keadaan pada masa ini yang membimbangkan ialah Beban Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) yang semakin meningkat di seluruh negara.

“Kajian Tinjauan Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2019 mendapati negeri Perlis mempunyai prevalen faktor risiko NCD antara yang tertinggi di Malaysia, iaitu diabetes sebanyak 32.7 peratus, darah tinggi sekitar 29.9 peratus, hiperkolesterolemia sebanyak 47.2 peratus dan obesiti sebanyak 57.4 peratus.

Raja Puan Muda kemudiannya mengiringi Raja Muda Perlis DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berangkat ke Laman Woodball MPK Dataran Dato Sheikh Ahmad untuk menyaksikan pertandingan woodball yang dipertandingkan sempena karnival tersebut bersama-sama Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.