26 Jun 2022, 13:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin mengiringi Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam acara berbasikal melawat sekitar Projek Diraja Program Transformasi Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai Kuala Perlis yang diinisiatifkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Kayuhan berkenaan diadakan bersempena dengan Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Negeri Perlis 2022 anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Perlis yang disekalikan dengan aktiviti Kayuhan MAIPs Peduli ke-46 bagi tahun 2022.

YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar teruja berpeluang melawat Projek Diraja Program Transformasi Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai, Kuala Perlis

Antara lokasi menarik yang disinggahi ialah Rumah Mural Air Terjun Kampung Tandiap, Jambatan Tuanku Syed Putra, Laman Laksa, Surau Lama dan Anjung Persinggahan Diraja, Laman Bunga Raya, perasmian Rumah Sihat – Ubat dan Rumah Sihat – Gigi serta Gelanggang Futsal Pulau Ketam sebelum berlepas ke Laman Woodball MPK Dataran Dato’ Sheikh Ahmad Kangar.

DYTM Raja Muda Perlis dan YB Menteri Kesihatan dalam Program Perasmian Rumah Sihat – Ubat dan Rumah Sihat – Gigi pagi ini.

Titah DYTM Raja Muda Perlis selepas berkenan menutup program tersebut, baginda mengingatkan bahawa pesakit diabetes, darah tinggi, dan kolesterol tinggi memerlukan rawatan seumur hidup selain berhadapan dengan komplikasi seperti strok, kegagalan fungsi buah pinggang, saluran jantung tersumbat, dan kebutaan. Menurut baginda lagi,

Sememangnya menjadi tanggungjawab Jabatan Kesihatan untuk memberikan rawatan kepada pesakit, tetapi amalan cara hidup individu yang berkaitan dengan penyakit kronik tersebut dipengaruhi oleh pelbagai faktor persekitaran. Penyakit ini boleh dicegah sekiranya setiap individu mengamalkan cara hidup yang sihat, iaitu kekal aktif, makan secara sihat, tidak merokok, serta tangani stres dengan bijak.

Sementara itu, YB Khairy Jamaluddin berkata usaha dan peranan yang telah dimainkan oleh Tuanku Raja Muda Perlis dalam menjayakan Projek Diraja berkenaan adalah bertepatan dengan hasrat Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menjadikan elemen penentu kesihatan seperti sosial, ekonomi dan persekitaran termasuklah kebersihan serta keceriaan diberikan perhatian dalam menjayakan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

Sempena program yang disekalikan dengan aktiviti Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke-46 bagi tahun 2022, DYTM Raja Muda Perlis turut berkenan menyantuni tiga buah rumah asnaf untuk menyampaikan sumbangan MAIPs.

Terdahulu, baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan berjumlah RM21 000 untuk diagihkan kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Munawwarah, Sungai Bugis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.