24 Jun 2022, 18:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Apabila sebut sahaja perkataan kolagen, pasti kebanyakan orang mengetahui bahawa kolagen banyak digunakan dalam produk kosmetik dan makanan tambahan. Sebenarnya, apakah kolagen dan kelebihannya sehinggakan ramai yang berminat untuk membeli atau menggunakan produk yang berasaskan kolagen ini?

Kolagen merupakan protein penting yang terdapat pada kulit, rawan dan tulang. Perkataan kolagen berasal daripada perkataan Yunani, iaitu kola yang bermaksud gam dan gen yang bermaksud menghasilkan. Terdapat 28 jenis kolagen yang telah dikenal pasti dan setiap jenis kolagen ini memberikan fungsi yang tersendiri.

Sumber Kolagen

Kolagen boleh diekstrak daripada sumber haiwan. Sumber kolagen daripada haiwan seperti lembu dan khinzir digunakan secara meluas dalam produk berasaskan kolagen kerana kandungan kolagennya yang tinggi. Walau bagaimanapun, penggunaan kolagen daripada lembu dan khinzir berisiko terhadap penularan pelbagai jenis penyakit seperti bovine spongiform encephalopathy (BSE), transmissible spongiform encephalopathy (TSE) dan penyakit kuku dan mulut (FMD).

Di samping itu, individu yang beragama Islam dan Hindu tidak memakan atau menggunakan produk berasaskan khinzir atau lembu kerana larangan agama masing-masing. Halangan ini menyebabkan kebanyakan orang mencari alternatif sumber kolagen lain, iaitu organisma laut seperti ikan, obor-obor, gamat, dan sebagainya. Antara sumber utama kolagen semula jadi ialah ayam, lembu, khinzir, obor-obor, ikan, dan penyu.

Kolagen ikan merupakan kolagen yang halal untuk digunakan. Selain isi ikan, sisa pepejal ikan seperti kulit, tulang, sisik, dan sirip merupakan bahagian yang kaya dengan sumber kolagen. Industri pemprosesan ikan menjana sekitar 50 peratus hingga 80 peratus sisa pepejal dan cecair semasa pemprosesan ikan. Sisa tersebut tidak digunakan tetapi dibakar atau dibuang ke dalam longkang ataupun sungai yang menyebabkan masalah pencemaran yang serius kepada alam sekitar.

Pengekstrakan Kolagen

Proses pengekstrakan kolagen boleh dilakukan dengan menggunakan teknik hidrolisis kimia dan hidrolisis enzim. Kaedah penghasilan kolagen juga sangat mudah tetapi memerlukan persekitaran yang sejuk, iaitu empat darjah Celsius dan mengambil masa yang agak lama untuk mengekstrak keluar kolagen daripada sumbernya. Hal ini bergantung pada bahan asas yang digunakan.

Kaedah yang paling biasa digunakan untuk mengekstrak kolagen adalah dengan menggunakan kaedah kolagen larut asid. Kaedah ini dimulai dengan pembuangan bahagian yang bukan kolagen pada bahan asas dengan menggunakan alkali dan seterusnya pengekstrakan kolagen dijalankan dalam keadaan berasid. Asid yang selalu digunakan dalam pengekstrakan kolagen ialah asid asetik atau cuka yang biasa digunakan dalam masakan. Kemudian, larutan kolagen di dalam asid dicampurkan dengan garam untuk membentuk pepejal kolagen. Akhir sekali, pepejal kolagen ini akan dikumpulkan, ditulenkan dan dikeringkan dengan menggunakan kaedah beku kering dan boleh terus digunakan untuk pelbagai aplikasi.

Sementara itu, kaedah yang sama juga digunakan untuk kaedah hidrolisis enzim dengan tambahan enzim di dalam larutan asid semasa proses pengekstrakan. Kaedah ini akan menghasilkan kolagen peptida yang mempunyai struktrur kolagen yang lebih kecil dan mudah dihadam dan diserap di dalam kulit dan badan.

Selepas kolagen diekstrak, beberapa analisis perlu dilakukan untuk memastikan jenis kolagen yang terhasil. Setiap sumber kolagen mempunyai jenis kolagen yang berbeza. Setiap jenis kolagen mempunyai kebaikan yang tersendiri dan boleh dipadankan dengan aplikasi atau industri yang sesuai. Sebagai contohnya, ikan tilapia dikelaskan sebagai kolagen jenis I yang mempunyai fungsi untuk menghidratkan kulit dan sesuai untuk digunakan dalam bidang kosmetik. Kolagen daripada ayam pula telah direkodkan mempunyai kolagen jenis II yang baik untuk sakit sendi. Kolagen jenis ini juga boleh digunakan dalam industri makanan.

Aplikasi Kolagen

Secara umumnya, kolagen telah lama diketahui dan digunakan dalam formulasi kosmetik sebagai pelembap kerana mempunyai sifat penyerapan pada kulit yang lebih baik di samping ciri antipenuaan dan antikedutan untuk kecantikan kulit.

Terdapat pelbagai jenis produk kosmetik dan makanan tambahan yang menggunakan kolagen untuk menarik minat pembeli bagi membeli sesuatu produk tersebut supaya kekal muda dan mendapatkan kulit yang sihat dan cantik. Kepelbagaian fungsi kolagen juga menyebabkan kolagen menjadi pilihan dan digunakan di pelbagai industri seperti industri kejuruteraan tisu, farmaseutikal dan industri makanan.

Jadual Penggunaan kolagen dalam bidang makanan, kosmetik, farmaseutikal, dan kejuruteraan tisu.

Makanan Kosmetik Farmaseutikal Kejuruteraan Tisu
· Filem pembungkusan makanan

· Makanan tambahan kolagen

· Krim pelembap

· Penggayaan dan penjagaan rambut

· Pembalut luka · Penjanaan semula tulang rawan

Sebagai kesimpulannya, sumber kolagen diperoleh daripada tiga sumber utama, iaitu ikan, lembu dan khinzir. Kolagen juga digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang penyelidikan. Walau bagaimanapun, lambakan produk yang mengandungi kolagen perlu diberikan perhatian oleh pengguna. Kesan penggunaan kolagen adalah berbeza-beza dan bergantung pada kandungan jumlah molekul kolagen, jenis dan kadar penyerapan oleh sistem badan manusia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.