22 Jun 2022, 17:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – “Melalui pemeriksaan kesihatan, faktor risiko kesihatan individu akan dapat dikenal pasti dan rakyat akan dapat mengambil tindakan pencegahan dan pemulihan yang bersesuaian.”

Demikian titah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menerima mengadap hormat Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa’ Malaysia, Ustaz Shofwan Badrie Ahmad Badrie baru-baru ini.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri).

Menurut baginda, selain mengamalkan cara hidup sihat, rakyat Perlis juga diseru supaya melakukan saringan kesihatan setiap tahun, iaitu pemeriksaan kesihatan secara berkala. Rakyat di negeri ini diharapkan dapat membudayakan amalan hidup sihat dari sudut fizikal dan mental serta dapat terus menjadikan persekitaran negeri ini sebagai persekitaran idaman setiap orang.

Bersempena dengan majlis tersebut, baginda berkesempatan untuk meninjau kawasan Program Transformasi Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai, Kuala Perlis hasil inisiatif daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis berserta pelbagai agensi dan syarikat swasta, masyarakat setempat serta individu perseorangan. Baginda diiringi oleh Ustaz Shofwan Badrie yang juga merupakan seorang pendakwah terkenal dan pernah mendapat pendidikan di Kolej Ilmu Islam dan Bahasa Arab di Universiti Imam Muhammad Saud, Jakarta sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Islam Madinah.

DYTM Raja Muda Perlis meninjau kawasan Program Transformasi Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Bagi golongan B40, pemeriksaan kesihatan ini adalah percuma dan sekiranya perlu, mereka akan dirujuk kepada pihak tertentu untuk pemeriksaan lanjut. Oleh itu, semua rakyat Perlis diseru agar mengambil peluang untuk melakukan saringan kesihatan bagi menjamin kesejahteraan kesihatan diri masing-masing.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.