20 Jun 2022, 11:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tuberkulosis (tibi) atau batuk kering ialah penyakit berjangkit yang berbahaya. Penyakit ini disebabkan oleh organisma yang dikenali sebagai Mycobaterium tuberculosis. Tibi dikesan oleh ahli arkeologi sejak 9000 tahun dulu di Atlit Yam, sebuah penempatan Neolitik melalui tetulang ibu dan anak yang dikebumikan bersama-sama. Sejarah tentang tibi pula mula didokumentasi sejak 3300 tahun dan 2300 tahun dahulu, masing-masing di India dan China.

Penyakit tibi merupakan punca kematian nombor satu di Malaysia pada tahun 1940-an dan 1950-an. Pada tahun 2020, sebanyak 1.5 juta orang mati akibat jangkitan tibi di seluruh dunia, manakala di Malaysia pula, dilaporkan insiden jangkitan tibi sebanyak 30 ribu orang. Pada tahun 2018, negeri Selangor mencatatkan kes tertinggi (5071 kes), berikutan jumlah penduduk yang padat serta faktor sosioekonomi yang rendah di bandar dan diikuti oleh negeri Sabah (3122 kes) akibat banyak penduduk bukan warganegara tidak tampil untuk pengesanan awal kerana bimbang diambil tindakan undang-undang.

Penyakit tibi ialah penyakit yang tidak mengenal usia dan mudah berjangkit. Namun begitu, terdapat rawatan yang terbukti berkesan serta vaksin untuk mencegah jangkitan tibi yang teruk, iaitu penggunaan vaksin Bacille Calmette Guerin (BCG).

 

Bagaimanakah Tuberkulosis Merebak?

Beberapa faktor telah dikaitkan dengan pertambahan bilangan pesakit tibi termasuklah kemiskinan, kekurangan penjagaan dan kemudahan perubatan serta gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok.

Penyakit tibi mudah merebak dalam kalangan orang yang dijangkiti tibi apabila tinggal bersama, atau berada/terdedah bersama-sama di satu-satu tempat untuk jangka masa yang tertentu seperti di tempat kerja atau asrama pekerja. Tibi merebak melalui udara, iaitu apabila seseorang batuk, bercakap atau menyanyi.

Selain itu, seseorang yang mempunyai jangkitan virus kurang daya tahan manusia (HIV) 18 kali lebih berisiko menghidap tibi, begitu juga dalam kalangan perokok (1.6 kali faktor risiko) dan pengambilan alkohol (3.3 kali faktor risiko). Risiko jangkitan tibi juga adalah tinggi dalam kalangan mereka yang mempunyai system imuniti yang rendah seperti pengambil ubat-ubatan steroid, pesakit kanser, lupus eritematosus sistemik (SLE), artritis reumatoid dan kencing manis.

Tuberkulosis pulmonari ialah penyakit berjangkit pada paru-paru dan mudah berjangkit. Tibi juga boleh merebak ke bahagian anggota badan yang lain seperti tulang belakang, kelenjar limfa, otak, buah pinggang atau abdomen, namun keadaan ini tidak mudah menjangkiti orang lain.

Tibi tidak merebak melalui perkongsian tandas, ciuman, berkongsi makanan atau minuman, berkongsi pakaian atau tempat tidur atau menyentuh kain pesakit, atau bersalaman.

 

Simptom Tuberkulosis

Tanda-tanda atau gejala seseorang itu dijangkiti tuberkulosis pulmonari adalah seperti yang berikut:

  • Batuk berpanjangan lebih daripada dua minggu
  • Batuk berdarah
  • Batuk berkahak yang tidak sembuh setelah mengambil antibiotik
  • Berpeluh pada waktu malam
  • Kurang selera makan
  • Berat badan menurun
  • Pernafasan yang terasa sakit di dada, terutamanya apabila menarik nafas dalam
  • Badan berasa seram sejuk
  • Demam yang berpanjangan

 

Antara tanda jangkitan tibi pada bahagian anggota badan yang lain, selain daripada yang telah dinyatakan di atas adalah:

  • Demam berpanjangan
  • Bengkak kelenjar di leher
  • Sakit tulang belakang
  • Kencing berdarah
  • Sakit perut yang berpanjangan
  • Cirit-birit yang tidak berhenti dengan rawatan biasa
  • Keletihan tanpa sebab
  • Jaundis
  • Sakit kepala yang tidak berhenti/ semakin teruk
  • Perubahan tingkah laku

 

Rawatan Tuberkulosis

Rawatan tibi dilakukan secara bersemuka oleh doktor dan jururawat terlatih di klinik directly observed treatment (DOTS) semasa fasa intensif. Rawatan tibi di klinik DOTS adalah terbukti berkesan menyembuhkan jangkitan berbanding dengan pengambilan ubat secara sendiri.

Kini, ubat-ubatan tibi yang perlu diambil adalah lebih mudah untuk pesakit berbanding zaman dahulu dan kesan sampingan juga sentiasa diawasi oleh doktor dan jururawat dari semasa ke semasa. Namun demikian, untuk pesakit yang tinggal jauh dari fasiliti kesihatan atau mempunyai kekangan lain untuk hadir secara fizikal untuk mengambil ubat, kini terdapat alternatif pengambilan ubat secara teleperundingan atau video observed treatment (VOT).

 

Kawalan dan Pencegahan Tuberkulosis

Cara kawalan jangkitan tibi adalah untuk mengelakkan pendedahan terhadap bakteria tibi sendiri seperti menghindari tempat sesak, menghindari pesakit tibi sehingga mereka tidak lagi boleh menjangkiti dan memastikan sistem pengudaraan yang baik.

Apabila anda mempunyai tanda atau gejala seperti yang dinyatakan, anda perlu ke klinik kesihatan secepat mungkin untuk membuat ujian saringan tibi. Antara ujian yang akan dilakukan ialah X-ray paru-paru, sampel kahak untuk calitan acid fast bacilli (AFB) atau doktor mungkin mengesyorkan ujian Mantoux jika berlakunya jangkitan terhadap kanak-kanak.

Seseorang yang dijangkiti tibi perlu memberitahu ahli keluarga terdekat ataupun rakan serumah serta rakan sekerja untuk membuat saringan di klinik kerajaan mahupun swasta. Hal ini adalah untuk membendung penyakit ini daripada merebak dengan lebih teruk dan bagi memulakan rawatan seawal mungkin sebelum bakteria tibi merebak ke anggota badan yang lain.

Setelah disahkan menghidap pulmonari tuberkulosis, anda akan diberikan surat cuti sakit untuk tempoh yang tertentu. Pada masa yang sama, rawatan intensif tibi dimulakan dan tempoh rawatan yang perlu diambil adalah selama enam bulan. Pada kebiasaannya, untuk jangkitan tibi selain daripada paru-paru, tempoh rawatan adalah lebih lama.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah merangka strategi global menamatkan tibi pada tahun 2030. Namun begitu, hal ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak untuk menjayakannya. Antara strategi berikut yang dirancang bagi usaha ini adalah seperti yang berikut:

  • Pencarian kes dan rawatan yang rapi untuk menyelamatkan individu serta menghentikan penularan jangkitan kepada kenalan. Pengenalpastian kes perlu menggabungkan simptom klinikal dan mikroskopi serta mengikuti terapi klinik DOTS.
  • Pengesanan kontak bagi kenalan setiap kes tuberkulosis aktif perlu dijalankan di lapangan supaya jangkitan baharu dapat dikenal pasti dan dirawat sebelum menjadi kes aktif.
  • Sistem pengawasan yang baik adalah asas untuk mengawal sebarang penyakit berjangkit. Sistem pentadbiran untuk merekodkan kes dan hasil pemantauan adalah perlu untuk menganggarkan kejadian penyakit dan mengenal pasti trend temporal dan kelompok spatial.
  • Bekalan ubat tibi yang mencukupi mesti disediakan untuk populasi atau individu yang menghidap tibi. Masalah kekurangan bekalan ubat mungkin lebih serius dikalangan negara miskin yang menghalang daripada rawatan tibi yang efektif.
  • Kerajaan perlu komited terhadap kawalan tibi. Sumber dan infrastruktur serta kakitangan kesihatan awam diperlukan untuk melaksanakan dan mengekalkan program kawalan tibi dalam jangka masa panjang.

 

Vaksin dan Tuberkulosis

Di Malaysia, vaksin BCG diberikan kepada semua bayi yang baru lahir atau kanak-kanak sehingga berumur tujuh tahun. Vaksin ini adalah antara vaksin paling selamat dengan kesan sampingan yang minima. Pemberian vaksin BCG merupakan usaha untuk mengelakkan penyebaran tibi yang serius termasuklah meningitis tuberkulosis (radang pada selaput sekeliling otak dan saraf tunjang), terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Jangkitan tibi dalam kalangan bayi dan kanak-kanak adalah lebih rumit untuk dirawat. Oleh sebab itu, dengan pemberian vaksin BCG, kadar jangkitan tibi dalam kalangan kanak-kanak telah menurun di Malaysia.

Bagi individu yang mempunyai kesan parut di lengan akibat suntikan vaksin BCG, mereka tidak perlu menerima suntikan semula kerana suntikan tersebut tidak memberikan perlindungan tambahan. Vaksinasi semula akan diberikan kepada bayi yang berumur antara tiga bulan hingga 12 bulan, ataupun kanak-kanak yang berumur kurang daripada tujuh tahun, jika tiada kesan parut di lengan (dengan pinpoint kurang daripada atau bersamaan dengan dua milimeter).

Vaksin tibi lebih berkesan untuk mengelakkan jangkitan terhadap kanak-kanak berbanding dengan orang dewasa. Namun begitu, setiap individu masih perlu berikhtiar mengelakkan jangkitan tibi dengan mangambil vaksin BCG.

Panduan umum untuk mencegah jangkitan tibi adalah seperti yang berikut:

  • Amalkan gaya hidup dan pemakanan yang sihat dan seimbang.
  • Elakkan daripada berjumpa dengan pesakit tibi semasa awal tempoh rawatan.
  • Elakkan tempat yang sesak.
  • Pastikan pengudaraan yang baik di rumah dan tempat kerja.
  • Berhenti merokok.
  • Membuat pengesanan awal di klinik jika mempunyai tanda jangkitan.

 

Profesor Madya Dr. Nur Amani @ Natasha Ahmad Tajuddin ialah Pakar Perubatan Keluarga dan Pensyarah Kanan di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.