20 Jun 2022, 21:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Program Dermasiswa B40 Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) khusus kepada pelajar B40 diperkenalkan bagi membolehkan golongan berkenaan mengikuti pengajian itu di institusi pengajian tinggi awam di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun ini.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata program tersebut diperkenalkan untuk meningkatkan motivasi dan galakan kepada pelajar untuk memilih bidang TVET.

“Saya yakin program ini menawarkan lebih banyak peluang kepada anak-anak Keluarga Malaysia, terutamanya daripada kumpulan B40 untuk mendapat akses kepada pendidikan pada peringkat yang lebih tinggi dan seterusnya membina kerjaya dalam bidang TVET.”

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya bersempena dengan Majlis Perasmian Minggu TVET Negara 2022 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. Tambahnya lagi, TVET telah dikenal pasti sebagai satu daripada 14 pemacu perubahan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) kerana sudah sampai masanya TVET menjadi pilihan utama para belia dalam mempersiapkan diri mereka untuk masa hadapan.

YAB Perdana Menteri hadir merasmikan Minggu TVET Negara 2022 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Beliau juga mengharapkan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan ini menjadi titik tolak kepada usaha mencorak semula landskap TVET negara agar setanding dengan maju yang lain.

Dalam majlis yang sama, YAB Perdana Menteri turut mengisytiharkan tarikh 2 Jun pada setiap tahun sebagai Hari TVET Negara.

Menurut YAB Perdana Menteri, tarikh ini wajar disambut pada setiap tahun bagi menghargai sumbangan pelbagai pihak yang berkaitan dengan TVET.

“Tarikh ini juga ditetapkan bersempena dengan penubuhan Politeknik Ungku Omar yang merupakan institusi penyediaan TVET terawal negara sejak tahun 1969.

Selain pengisytiharan Hari TVET Negara, penganjuran Sambutan Minggu TVET Negara juga antara tindakan dalam Pelan Penjenamaan TVET Nasional.

Sementara itu, menerusi hantaran dalam laman Facebook Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, beliau menjelaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia amat komited dalam usaha memperkasakan bidang TVET, khususnya di kolej vokasional (KV) dan sekolah teknik.

 

YB Menteri Kanan Pendidikan melawat ruang pameran pada Majlis Perasmian Minggu TVET Negara di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Tambah YB Menteri Kanan Pendidikan lagi, pelbagai pendekatan akan dilaksanakan agar masyarakat lebih memahami dan mendapat gambaran yang lebih jelas tentang potensi bidang kemahiran TVET yang ditawarkan di KV.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan; Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Dato’ Sri Mahdzir Khalid; dan Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Faizal Azumu.

(Sumber foto: Facebook Dr Radzi Jidin)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.