17 Jun 2022, 09:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – “Rakyat perlu mengambil langkah awal untuk menjaga buah pinggang,” titah Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam Majlis Perasmian Bangunan Wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pusat Perkhidmatan Dialisis, Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Menurut baginda, buah pinggang merupakan suatu organ yang penting dan berfungsi dalam mencuci darah daripada sisa buangan dan lebihan air yang diperlukan oleh tubuh seseorang. Namun begitu, penjagaan organ ini sering dipandang remeh oleh masyarakat. Masyarakat seharusnya peka akan hal ini kerana penyakit tersebut tidak menunjukkan sebarang simptom yang jelas hinggalah dikesan melalui pemeriksaan kesihatan.

Tetamu kehormat yang hadir dalam Majlis Perasmian Bangunan Wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pusat Perkhidmatan Dialisis, Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Tambah baginda, sekurang-kurangnya 10 orang penduduk di negara ini setiap hari didiagnosis mengalami kerosakan buah pinggang kronik atau berada pada peringkat lima serta memerlukan rawatan dialisis yang berterusan.

Raja Perempuan Perlis, DYMM Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid meninjau keadaan kesihatan pesakit buah pinggang.

Beta difahamkan bahawa pusat dialisis ini mempunyai kapasiti 69 buah katil dan mesin dialisis untuk pesakit pada setiap masa. Oleh itu, beta berharap agar pusat dialisis ini mampu menampung jumlah pesakit yang sedia ada dan memberikan keselesaan serta kemudahan yang terbaik kepada semua pesakit.

Sementara itu, menurut Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia, YBrs. Datuk Dr. Mohd Fikri Ujang menyatakan bahawa pusat dialisis yang digunakan bermula 17 Ogos 2020 ini merupakan inisiatif daripada pihak MAIPs dan HTF. Kos pembinaan pusat dialisis ini juga adalah sebanyak RM6.2 juta dan mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail melawat pesakit buah pinggang.

Berangkat sama ialah Raja Perempuan Perlis, DYMM Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir dalam majlis berkenaan juga ialah Menteri Besar Perlis, YAB Dato’ Seri Azlan Man.

Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut hadir untuk melihat perkembangan kesihatan pesakit buah pinggang.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.