15 Jun 2022, 15:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sistem bas alihan cepat atau bus rapid transit (BRT) telah diperkenalkan di Malaysia pada bulan Jun 2015. Sistem BRT ini meliputi kawasan penempatan perumahan komersial di sekitar Bandar Sunway dan Subang Jaya di Selangor. Projek BRT-Laluan Sunway sepanjang 4.5 kilometer telah dimajukan secara usaha sama oleh Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) dan Sunway Berhad. Sistem BRT yang menggunakan perkhidmatan bas elektrik mesra alam ini menghubungkan lokasi utama seperti hospital, universiti, pusat membeli-belah dan kawasan komersial.

Sistem BRT dibina untuk meningkatkan hubung kait perkhidmatan bas sedia ada dan mempercepatkan perjalanan bas untuk penumpang. Sistem ini juga merupakan sistem transit aliran dengan penggunaan lorong khusus bas mesra alam sekitar serta infrastuktur yang mesra pelanggan. Berbeza dengan perkhidmatan bas berhenti-henti yang perlu bersaing dengan lalu lintas biasa, para pengguna sistem BRT ini tidak perlu menghadapi kesesakan lalu lintas. Terkini, Johor juga tidak ketinggalan dalam meningkatkan lagi mutu perkhidmatan awam di negeri tersebut, dengan memperkenalkan perkhidmatan BRT yang terbaharu, iaitu sistem BRT autonomi.

Menurut Datuk Ismail Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Iskandar Malaysia akan menjadi bandar pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang menguji sistem BRT autonomi melalui program perintisnya di negeri tersebut. Sistem pengangkutan bas tanpa pemandu, yang dikenali sebagai Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT) telah pun dimulakan program rintisnya selama tiga bulan, bermula pada bulan April 2021. Fasa pertama IMBRT ini melibatkan perjalanan sejauh 51 kilometer dan pembinaan sebanyak 39 buah stesen di sekitar Tebrau, Skudai dan Iskandar Puteri. Sistem BRT autonomi di Brisbane, iaitu satu daripada bandar di Australia telah digunakan sebagai model rujukan pelaksanaannya di Iskandar Malaysia.

Walaupun sistem BRT autonomi ini masih baharu dan dalam tempoh percubaan di negeri Johor, sistem ini sebenarnya telah digunakan secara meluas di seluruh dunia dengan kadar pertumbuhannya adalah sekitar 383 peratus semenjak diperkenalkan 10 tahun lalu. Sebanyak 171 bandar di seluruh dunia telah menggunakan sistem ini sebagai satu daripada kaedah penyelesaian kepada kesesakan jalan raya, termasuklah Jakarta, Bangkok, Hanoi, Shanghai, Istanbul, Paris, Los Angeles dan New York. Setiap hari, lebih daripada 33 juta orang telah mendapat manfaat daripada sistem BRT autonomi ini.

Sistem BRT autonomi biasanya digambarkan sebagai “rel ringan yang beroda”. Sistem ini ialah sistem bas artikulasi yang berpandukan pengesanan dan jarak cahaya atau LiDAR yang mempunyai kapasiti tinggi untuk pengangkutan penumpang bandar. Sistem ini juga menggabungkan kualiti sistem rel-ringan seperti kelajuan, kecekapan, pembayaran tambang di stesen, stesen tetap dan lengkap, kos yang lebih rendah dan sistem tayar getah yang fleksibel. Secara umumnya, sistem BRT autonomi memberikan banyak kualiti sistem rel ringan dengan harga tambang yang lebih murah.

Walaupun kumpulan pakar transit umumnya bersetuju bahawa sistem BRT autonomi mempunyai kelebihan, namun masih terdapat dalam kalangan mereka yang mempertimbangkan pembinaan rel ringan untuk meningkatkan mobiliti di sepanjang koridor yang sangat sibuk. Antara sebab utama untuk memilih sistem rel ringan berbanding BRT ialah potensi untuk kapasiti yang lebih besar yang diperlukan di beberapa laluan permintaan tinggi. Gerabak rel ringan yang lebih panjang dan boleh disatukan untuk menampung lebih banyak penumpang pada waktu puncak dan hal ini menjadikan sistem ini lebih diminati. Namun demikian, dengan kemajuan terkini dalam teknologi kenderaan autonomi telah mengembangkan BRT menjadi lebih daripada sekadar peniruan rel ringan. Sistem BRT autonomi dapat menggabungkan kebaikan sistem rel ringan dan BRT dalam menetapkan piawaian baharu dalam pengangkutan awam.

Penggunaan sistem BRT autonomi adalah kurang mengganggu berbanding dengan rel ringan kerana tidak melibatkan pembinaan perkhidmatan dan penjajaran yang baharu. Laluan bas BRT autonomi ini juga boleh diautomasikan secara serta-merta. Hal ini bermaksud laluan jalan sedia ada boleh terus digunakan dan jika perlu, lorong bas khusus boleh disediakan. Sistem BRT autonomi ini dilihat berpotensi untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya di bandar-bandar dengan ketara, bukan sahaja dengan penggunaan lorong atau laluan bas khusus tetapi juga dengan menggunakan kawalan trafik automatik. Memandangkan purata hayat efektif bas transit hanya kira-kira sekitar 12 tahun sahaja, bas sedia ada boleh diubah suai semula untuk menampung sistem automasi atau bas yang tidak digunakan boleh digantikan dengan bas automatik sifar pelepasan.

Sistem BRT autonomi ini juga boleh berkembang dan digabungkan dengan teknologi bandar pintar yang lain. Contohnya, apabila penderia dan kawalan ditambahkan pada sistem trafik dan jalan raya, bas BRT autonomi boleh mengumpulkan data tentang corak trafik untuk dianalisis. Bas BRT autonomi juga boleh bertindak sebagai antara muka dengan lampu isyarat, persimpangan jalan dan sistem lain untuk mengoptimumkan aliran trafik, yang mewujudkan asas untuk sistem lalu lintas bandar pintar dengan pelaburan minimum menggunakan infrastruktur sedia ada.

Teknologi kenderaan berautonomi akan membolehkan operator BRT menambahkan bilangan bas, sesuai dengan permintaan dan penambahan kapasiti jika diperlukan. Operator BRT dengan mudah dapat mengendalikan dua atau lebih bas serentak untuk memenuhi perubahan permintaan. Tidak seperti sistem rel-ringan, bas tambahan ini tidak akan dihubungkan secara fizikal. Sebaliknya, sistem autonomi dapat dikalibrasi sehingga bas dapat bergerak dalam sela beberapa minit sahaja, seperti meniru pergerakan rel ringan. Secara teorinya, bas BRT autonomi boleh ditambah bilangannya mengikut keperluan semasa dan para operator dapat mengekalkan jarak kepala yang selamat ketika berlakunya kesesakan lalu lintas.

Peningkatan tahap keselamatan ialah manfaat yang dapat dicapai melalui sistem BRT autonomi. Menurut Pangkalan Data Transit Nasional Pentadbiran Transit Persekutuan Amerika Syarikat, terdapat sebanyak 3250 perlanggaran dengan hampir 13 000 kecederaan dan 92 kematian yang melibatkan bas pada tahun 2011. Angka ini berjumlah kira-kira RM1930 juta dalam perbelanjaan menguruskan kemalangan dan liabiliti.

Teknologi autonomi dapat mengurangkan jumlah kemalangan yang berkaitan dengan bas. Sistem brek kecemasan yang telah terbukti memiliki waktu reaksi yang lebih baik jika dibandingkan dengan pemanduan manusia akan digunakan secara automatik ketika kenderaan, penunggang basikal atau pejalan kaki dikesan terlalu dekat. Sistem autonomi ini dapat mengesan kemungkinan kemalangan dari arah belakang atau sisi dan menyesuaikan kelajuan atau kedudukan bas untuk mengelakkannya. Manfaat keselamatan yang lain adalah untuk penunggang basikal yang tidak perlu menangani bahaya trek rel ringan yang tertanam di jalan raya.

Aras lantai BRT adalah seperti sistem rel ringan dan pengguna tidak perlu memanjat tangga untuk masuk ke dalamnya. Ciri ini sangat bermanfaat terutamanya bagi warga emas, kanak-kanak atau pengguna yang mempunyai masalah pergerakan. Sistem BRT autonomi ini juga mempunyai dok yang tepat yang membolehkan bas mendekati bebendul jalan secara konsisten dan seterusnya masa untuk merapatkan jurang di antara bas dan platform dapat dikurangkan. Dari segi kos pula, modal yang lebih rendah diperlukan dibandingkan dengan pembinaan sistem rel ringan dan teknologi mudah ditambahkan ke sistem BRT yang ada.

Sistem BRT autonomi juga mungkin tidak memerlukan pemandu dan hal ini dapat mengurangkan kos operasi. Sebaliknya, kakitangan ini dapat disediakan untuk tugasan lain seperti menyediakan operasi pusat kawalan, layanan pelanggan untuk agensi atau hanya diperlukan jika berlakunya sebarang kerosakan. Sistem BRT autonomi juga boleh beroperasi di jalan yang lebih sempit, menjimatkan kos modal dan membolehkan BRT dilaksanakan dengan lebih mudah dalam senario jalan yang agak terbatas.

Walaupun begitu, tidak dinafikan bahawa sistem BRT autonomi yang berkesan memerlukan sistem integrasi yang efektif, antaranya dari segi perancangan bandar, pengurusan lalu lintas dan kawalan isyarat lalu lintas. Walaupun sistem ini masih berkembang dan belum cukup siap sepenuhnya untuk keseluruhan rangkaian jalan hari ini terutamanya di Malaysia, namun sistem ini terus berevolusi. Sistem BRT autonomi memberikan kualiti rel terbaik sambil memberikan pilihan yang paling efisien dan menjimatkan kos untuk penumpang bergerak di sepanjang koridor yang strategik. Sistem BRT autonomi ini sewajarnya dikembangkan, selari dengan aspirasi Malaysia ke arah negara neutral karbon menjelang tahun 2050.

 

Profesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff ialah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.