13 Jun 2022, 12:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Belud – “Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang dirangka khusus sebagai hala tuju baharu subsektor padi dan beras negara untuk meningkatkan produktiviti bagi mencapai Tahap Sara Diri (SSL) beras sebanyak 75 peratus sebagaimana yang ditetapkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) sekali gus mengurangkan kebergantungan import,” kata Menteri Kementerian Pertanian dan lndustri Makanan (MAFI), Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dalam Majlis Perasmian Program SMART SBB di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud, Sabah semalam.

Kawasan sawah terbiar seluas 45 hektar di daerah Kota Belut yang melibatkan sebanyak 40 orang pesawah akan dibangunkan melalui inisiatif SMART SBB. Inisiatif ini dijangka akan meningkatkan pendapatan pesawah melalui kerjasama strategik awam dan swasta bersama-sama dengan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

Menurut Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, kolaborasi strategik antara MAFI dengan syarikat peneraju akan menjadi titik permulaan kepada perubahan landskap industri padi dan beras tempatan.

Tambah beliau, Sabah telah diperuntukkan sebanyak RM68.97 juta oleh kerajaan persekutuan pada tahun 2022 menerusi tiga program subsidi input dan satu program subsidi output. Peruntukan ini dijangka akan memberikan manfaat kepada 45 016 orang pesawah, termasuklah pesawah padi bukit.

Dalam majlis yang sama, simbolik majlis pecah tanah bagi pembinaan Kompleks IADA turut diadakan. Simbolik ini akan menjadi mercu tanda kepada pembangunan industri padi dan beras di negeri Sabah.

Selain itu, kerajaan persekutuan juga telah memperuntukkan sebanyak RM36 juta untuk pembinaan kompleks ini dan dijangka siap dalam tempoh RMKe-12 selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkasakan peranan IADA dan membantu pembangunan subsektor padi di daerah Kota Belud.

 Kompleks IADA dijangka akan menyumbang kepada pembangunan kawasan yang lebih holistik dan cekap. Kompleks ini juga akan menjadi pusat latihan kepada pesawah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pembangunan industri padi, bengkel jentera pertanian, makmal analisis pertanian, dan sebagainya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan sedang giat membangunkan sistem pengairan dan saliran di Kota Belud yang melibatkan kos sebanyak RM410.39 juta bagi mengatasi masalah air. Projek pembangunan ini merangkumi kria-kira 17 buah projek pembangunan dan melibatkan kerja menaik taraf sistem pengairan dan saliran, pembinaan tali air utama, pembinaan jalan ladang, dan infrastruktur lain yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2030. Seluas 5000 hektar kawasan dengan penanaman padi sebanyak dua kali setahun akan dapat dilaksanakan apabila projek ini siap.

Pembangunan infrastruktur ini tentu sekali akan memberikan manfaat kepada pesawah dari segi peningkatan hasil dan pendapatan sekali gus menyumbang kepada peningkatan SSL negeri Sabah kepada 60 peratus.

Sementara itu, MAFI juga bercadang untuk mengoptimumkan penggunaan sumber tanah di Sabah dan Sarawak dengan sasaran pembukaan kawasan jelapang baharu seluas 200 ribu hektar di kedua-dua buah negeri melalui kerjasama kerajaan negeri masing-masing dengan anggaran pengeluaran hasil padi sebanyak 1.2 juta tan metrik setahun.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri (II) Kementerian Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah, Yang Berhormat Hendrus Anding, Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah, Yang Berbahagia Datuk Dr. Mariana Tinggal, Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Tuan Jifrin Haji Mohamad, Setiausaha Bahagian Pembangunan lndustri Padi MAFI, Encik Azman Mahmood, Penolong Pegawai Daerah Kota Belud, Encik Abdul Wahab Sidek, Pengarah Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian, Encik Mohamad Radzi Abdul Talib, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Yang Berbahagia Dato’ Dr. Norlizan Mohd Noor, dan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan lkan Malaysia, Tuan Yusoff Othman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.