13 Jun 2022, 09:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kedudukan negara Malaysia yang terletak di garisan khatulistiwa, selain memiliki keunikan iklim tropika serta mempunyai cuaca yang panas dan lembap sepanjang tahun amat sesuai untuk pengeluaran produk florikultur termasuklah bunga beriklim panas.Evolusi industri florikultur dunia bermula pada akhir abad ke-19 di England. Pusat pengeluaran florikultur dijalankan berhampiran dengan pusat pemasaran.

Pusat pengeluaran dan pemasaran florikultur terbesar di dunia sejak tahun 1970 diusahakan di Jepun, Eropah Barat dan Amerika Syarikat. Pusat pengeluaran dan perdagangan utama produk florikultur dunia diusahakan di Belanda, iatu sebanyak 52 peratus. Selain itu, pengeluar utama produk florikultur dunia adalah Colombia (15 peratus), Ecuador (sembilan peratus), Kenya (tujuh peratus), Belgium (tiga peratus), Ethopia (dua peratus), termasuklah Malaysia, Itali, Jerman dan Israel yang masing-masing mengeluarkan produk industri florikultur sebanyak satu peratus.

Pembangunan industri florikultur di Malaysia bermula sejak lima dekad yang lalu sebelum pertengahan tahun 1980. Pada awalnya, industri ini berkembang tanpa bantuan dan sokongan kerajaan. Faktor pendorong seperti keuntungan yang lumayan, peluang perniagaan dan pemasaran meluas, terutamanya pasaran eksport ke Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun telah memberikan peluang kepada Malaysia untuk membangunkan industri florikultur. Pada pertengahan tahun 1980-an, pemberian insentif oleh kerajaan Malaysia telah membantu dalam pembangunan industri florikultur seperti orkid dan bunga keratan hawa sederhana.

Menurut artikel Senario Industri Florikultur Malaysia” yang diterbitkan dalam Buletin Teknologi MARDI Bilangan 20 Edisi Khas Florikultur pada tahun 2020, nilai ekonomi pengeluaran produk florikultur di Malaysia menunjukkan kemajuan dan menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi disebabkan peranan Malaysia sebagai satu daripada negara pengeluar dan pengeksport utama produk florikultur di rantau Asia Tenggara. Industri florikultur di Malaysia merangkumi pengeluaran tanaman hiasan dan orkid tropika di kawasan tanah rendah, manakala pengeluaran bunga iklim dihasilkan di kawasan tanah tinggi seperti di Tanah Tinggi Cameron Highlands dan pengeluaran bunga beriklim sederhana dihasilkan di Kundasang, Sabah.

Pesta Orkid, Flora dan Herba 2022 yang telah berlangsung pada 4 Jun hingga 12 Jun 2022 lalu merupakan usaha mengukuhkan pembangunan dan kemajuan nilai ekonomi industri florikultur di Malaysia. Majlis perasmian program tersebut telah diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar, Tunjung, Kota Bharu, Kelantan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Yang Berhormat Datuk Seri Haji Ahmad Hamzah. Program ini juga menyediakan pelbagai gerai jualan orkid, buah-buahan dan pertandingan bonzai yang disertai lebih daripada 160 orang peserta dari luar negara.

Nilai ekonomi industri florikultur menerusi industri bunga orkid di Malaysia merupakan satu daripada penyumbang kepada nilai eksport negara sebanyak RM417.3 juta sepanjang tahun 2021. Lebih membanggakan, nilai eksport negara menerusi keuntungan industri florikultur telah menunjukkan peningkatan ketara berbanding dengan nilai eksport negara sebanyak RM 403 juta pada tahun 2020. Menurut Yang Berhormat Datuk Seri Haji Ahmad Hamzah,

Usaha Malaysia ke arah memperluaskan pasaran produk florikultur kini sedang giat dijalankan ke pasaran sedia ada dan pasaran baharu menerusi perundingan dua hala, penyertaan aktif dalam ekspo florikultur landskap dan pelancongan. Sektor florikultur akan kekal sebagai teras ekonomi dan pemangkin kepada perkembangan pengeluaran orkid, flora dan herba negara.

Secara umumnya, industri florikultur diharapkan dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara dari segi kewujudan pendapatan dan kesan limpahan positif kepada pelbagai sektor lain. Hal ini dikatakan demikian kerana Malaysia mempunyai kelebihan dari segi kekayaan biodiversiti yang berupaya menjana dan meningkatkan sumbangan industri florikultur negara. Jelaslah bahawa hasil pengurusan cekap yang dibantu dengan strategi pemasaran berkesan akan membolehkan pelaburan dalam bidang florikultur memberi pulangan yang baik kepada ekonomi negara.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!