11 Jun 2022, 22:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kucing merupakan antara haiwan kesayangan peliharaan yang popular dalam kalangan masyarakat di negara ini. Dianggarkan jumlah populasi kucing di Malaysia mencapai angka 795 ribu dan mungkin lebih jika ditambah dengan populasi kucing jalanan yang lain.

Mengikut Rakuten Insight, Malaysia dan Indonesia mempunyai kadar pemeliharaan kucing yang tertinggi di Asia Tenggara dengan jumlah masing-masing sekitar 47 peratus dan 34 peratus. Kucing sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat, terutamanya di Asia kerana sifat, personaliti dan kecomelan haiwan berbulu itu mampu menambat hati penjaganya.

Pada fasa pandemik COVID-19, orang ramai mula membela kucing untuk mengisi kekosongan dan masa lapang berikutan kebanyakan syarikat dan badan kerajaan menerapkan kaedah bekerja dari rumah untuk mengelakkan risiko jangkitan COVID-19. Menurut jurnal yang dikeluarkan oleh Jabatan Perubatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Management And Science University, kadar kemurungan atau tekanan perasaan dalam kalangan masyarakat Malaysia meningkat sepanjang fasa Perintah Kawalan Pergerakan berikutan sekatan perjalanan ke negeri lain, faktor beban dan kesunyian akibat terkurung di rumah. Hal ini memberikan impak kepada kesihatan mental rakyat Malaysia.

Tahukah anda bahawa memelihara kucing merupakan suatu bentuk terapi minda? Kucing mungkin tidak boleh berkomunikasi seperti manusia, namun gelagat dan telatah haiwan ini mampu mengundang tawa dan mampu menggembirakan penjaganya di samping mengurangkan tekanan penjaganya.

Walaupun memelihara kucing semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, namun masih ramai yang tidak cakna mengenai perihal penjagaan kucing. Mana tidaknya, banyak penjaga yang tidak bertanggungjawab membuang kucing peliharaan mereka yang sakit dan beranak pinak ke pasar, klinik veterinar dan bangunan sekolah dengan harapan kucing ini akan dijaga dan diberikan makan.

Hal ini adalah perkara yang tidak beretika kerana kucing adalah sebahagian daripada keluarga dan tidak dikurniakan akal seperti manusia untuk berfikir. Pengakhirannya, kucing yang dibuang ini kebanyakannya mati akibat dilanggar oleh kenderaan. Oleh itu, amat penting kepada masyarakat untuk mengetahui asas penjagaan dan tanggungjawab terhadap kucing sebelum membeli atau membela kucing peliharaan.

Asas penjagaan kucing berkait rapat dengan lima darjah kebebasan buat haiwan, yang meliputi bebas daripada lapar dan dahaga, bebas daripada ketidakselesaan, sakit dan penyakit, kebebasan untuk menunjukkan sifat semula jadi dan bebas daripada ketakutan dan kemurungan.

Asas penjagaan kucing yang pertama ialah penjagaan makan dan minum dan hal ini sangat penting untuk tumbesaran dan perkembangan kucing. Kebanyakan orang tidak mengetahui kepentingan keperluan nutrisi kucing yang seimbang. Sering kali kita melihat situasi penjaga kucing memberikan ikan dan nasi sebagai makanan ruji kucing. Kucing yang hanya diberikan sumber protein dan karbohidrat sahaja adalah tidak mencukupi kerana kucing tersebut akan kekurangan keperluan nutrisi penting yang lain.

Sama seperti manusia, kucing memerlukan nutrisi lain seperti vitamin, asid amino dan lemak untuk keperluan fisiologi badan. Diet kucing perlu mengutamakan protein sebagai sumber tenaga. Penjaga kucing juga disarankan untuk memberikan kucing makanan yang bermutu tinggi. Hal ini disebabkan oleh makanan yang bermutu tinggi sudah diformulasikan untuk memenuhi keperluan nutrisi kucing mengikut keperluan umur.

Makanan kucing perlu diberikan mengikut peringat umur, yakni pada peringkat awal, dewasa dan tua. Penjaga kucing perlu mengenali umur kucing mereka dan memberikan makanan yang sesuai dengan peringkat umur haiwan tersebut. Selain itu, air juga memainkan peranan yang penting. Kucing hendaklah diberikan bekalan air bersih yang secukupnya kerana air berperanan dalam pengawalan suhu badan dan fisiologi asas kepada kucing. Bekalan air bersih mampu meningkatkan kadar pengambilan air dan kucing akan lebih bersemangat untuk minum jika minuman sering kali ditukar.

Selain daripada itu, penjaga kucing dinasihatkan supaya mengelak dari memberikan makanan seperti coklat dan ubat parasetamol kerana kedua-dua bahan ini boleh menyebabkan toksisiti kepada kucing. Coklat mempunyai kandungan teobromina yang tidak mampu dicerna oleh kucing dan bertindak sebagai bahan perangsang untuk meningkatkan kadar denyutan jantung serta mampu merangsang pengeluaran air berlebihan daripada badan kucing. Hal ini akan menyebabkan kematian akibat dehidrasi melampau.

Kucing juga tidak boleh makan ikan mentah secara berlebihan atau dijadikan sebagai makanan rugi kerana ikan mentah mempunyai enzim tiaminase yang akan mencerna tiamina (vitamin B1). Apabila enzim ini mencerna vitamin B1, kucing akan kekurangan vitamin B1 dalam badan. Vitamin B1 penting untuk sistem saraf dan akibatnya, kucing akan mengalami gejala saraf seperti sawan, berjalan tidak seimbang dan sebagainya.

Selain itu, kucing juga perlu bebas daripada unsur ketidakselesaan, takut dan kemurungan. Penjaga kucing perlu menyediakan tempat yang sesuai untuk kucing mereka. Elakkan menempatkan kucing dalam sangkar yang terlalu kecil sehingga membatasi pergerakan kucing dan mampu mengundang kepada kemurungan. Sediakan sangkar yang besar atau bilik khas untuk kucing peliharaan anda. Elakkan tempat yang tiada pengudaraan yang baik, panas dan berhabuk. Sediakan alatan permainan kucing dan tempat mencakar untuk kucing untuk membolehkan mereka kekal aktif.

Persekitaran yang kondusif mampu mengelakkan kucing daripada kemurungan. Hal ini dikatakan demikian kerana kemurungan mampu merendahkan sistem imuniti kucing dengan penghasilan hormon kortisol yang tinggi dan kucing akan lebih mudah sakit. Jika anda mempunyai masa lapang, bawalah kucing keluar dari sangkar dan biarkan kucing menerokai seisi rumah. Jika anda membawa kucing berjalan di luar rumah, pasangkan rantai supaya kucing tidak lari keluar dari rumah dan berkemungkinan dilanggar oleh kenderaan yang lalu lalang. Apabila kucing bebas daripada unsur ketakutan dan kemurungan, kucing akan lebih ceria dan aktif bermain,  malah akan menunjukkan mereka gembira dengan suasana dalam rumah.

Kebanyakan kucing yang dibela di dalam rumah atau sangkar biasanya mempunyai bekas pasir untuk membuang najis. Kebanyakan penjaga akan sentiasa membuang dan menapis pasir kotor yang telah menyerap najis dan kencing kucing. Kucing merupakan haiwan yang pembersih dan selalunya kucing tidak gemar untuk kencing dan membuang najis di dalam bekas pasir yang kotor. Untuk mengelakkan kucing menahan kencing, pembersihan bekas najis secara berkala amatlah digalakkan. Bagi ibu mengandung, adalah tidak disarankan untuk membersihkan najis kucing kerana dikhuatiri akan berlaku jangkitan toksoplasma yang boleh berjangkit daripada oocyst toxoplasma di dalam najis kucing kepada ibu mengandung. Oleh yang demikian, bagi mengelakkan jangkitan tersebut, disarankan ibu mengandung untuk tidak membersihkan bekas pasir kucing, kecuali dengan memakai pelitup muka dan sarung tangan serta segera membersihkan tangan selepas mencuci.

Penjagaan asas untuk kucing yang ketiga ialah penjagaan kesihatan. Penjagaan kesihatan kucing termasuklah program vaksin, ubat-ubatan, suplemen, keperluan untuk nyah cacing dan kutu serta penjagaan kucing sakit. Program vaksin bagi kucing bermula apabila kucing mencapai umur satu bulan atau berat mencapai satu kilogram. Tujuan utama pemberian vaksin adalah untuk perlindungan dan pencegahan penyakit berjangkit yang oleh membawa kepada maut seperti penyakit hawar kucing (Parvo virus), penyakit berkaitan saluran pernafasan (Feline viral rhinotracheitis), penyakit berkaitan mulut (Feline calicivirus) dan sakit mata (bawaan bakteria Chlamydia felis).

Secara amnya, kucing di bawah usia satu tahun perlu mengambil sebanyak tiga dos vaksin (dengan jarak satu bulan bagi setiap dos) sebelum mengambil dos secara tahunan. Kucing dewasa yang melebihi usia tiga tahun pula hanya perlu mengambil vaksin tahunan. Penjaga kucing boleh membawa kucing ke klinik veterinar yang berdekatan untuk mendapatkan vaksin dan kad kesihatan haiwan.

Selain itu, pengambilan ubat cacing bagi setiap tiga bulan amatlah digalakkan untuk mengurangkan beban cacing dalam badan kucing. Pengambilan ubat cacing sangat penting untuk mengelakkan masalah cirit-birit dan masalah penghadaman. Ubat kutu juga penting kerana kutu yang terlalu banyak boleh menyebabkan kekurangan darah. Kutu juga merupakan pembawa agen bakteria Mycoplasma haemofelis yang mampu merosakkan sel darah merah kucing dan membawa kepada penyakit kuning untuk kucing.

Penyakit kucing bukan sahaja berkisar kepada penyakit berjangkit. Kucing berpunya mempunyai penyakit metabolik tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi, batu karang, kencing tidak lawas dan banyak lagi. Penyakit ini terjadi jika pemakanan kucing adalah tidak seimbang dan kucing diberikan makanan berkualiti yang kaya dengan garam dan pewarna.

Dalam aspek penyakit metabolik atau kardiovaskular, penjagaan makanan dan minuman kucing amatlah kritikal bagi mengelakkan kucing menjadi obes dan mengundang kepada masalah kesihatan yang lain. Jika kucing terlampau gemuk atau mempunyai masalah kesihatan yang lain, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan di klinik veterinar yang berdekatan untuk rawatan dan konsultasi.

Program pemandulan kucing pernah menjadi perbualan hangat kerana didakwa sebagai tindakan yang zalim dan menyekat kebebasan kucing untuk membiak. Mengikut fatwa dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, hukum memandulkan kucing adalah harus. Perlu diingatkan bahawa populasi kucing di Malaysia amatlah banyak dan semakin banyak kucing terbiar di merata-rata tempat. Kucing mampu beranak sebanyak tiga kali setahun dan mampu mendapat hingga lima ekor anak secara purata bagi setiap kelahiran.

Pertambahan populasi kucing yang sangat cepat ini amatlah membimbangkan. Penjaga kucing perlu mengaudit kemampuan diri untuk menjaga jumlah kucing yang mampu dijaga pada satu-satu masa. Jika penjaga hanya mampu membela seekor kucing, adalah disarankan untuk memandulkan kucing tersebut di klinik veterinar. Hal ini adalah untuk mengelakkan masalah di kemudian hari seperti kucing kencing di merata-rata tempat (kucing jantan) sebagai tindak balas normal kepada pertambahan hormon testosteron dalam badan untuk mencari kucing betina.

Sebagai kesimpulannya, asas penjagaan kucing amatlah mudah jika dilakukan secara sistematik, berkala dan mengikut nasihat yang diberikan oleh doktor veterinar. Maklumat kepada asas penjagaan kucing juga mudah didapati secara dalam talian bersama-sama dengan panduan ringkas yang lain. Penjaga kucing yang berilmu mampu memastikan kesihatan dan kebajikan kucing terjaga tanpa sebarang unsur kezaliman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.