8 Jun 2022, 18:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Jika dibandingkan antara hutan di negara kita dengan hutan di luar negara jelas menunjukkan keindahannya yang tersendiri. Tidak dinafikan bahawa hutan di luar negara sememangnya cantik ditambah pula dengan pokok pain dan pokok oak, namun begitu hutan di sana tidak memiliki spesies haiwan yang banyak seperti hutan di negara kita yang kaya dengan biodiversiti,” ujar YBhg. Tuan Haji Jasmi Abdul, mantan Timbalan Ketua Pengarah (Pemuliharaan) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) dalam program Bicara Buku Memoir Pegawai PERHILITAN: Cerita dari Rimba yang berlangsung di Reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 hari ini.

Mantan Timbalan Ketua Pengarah (Pemuliharaan) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN), YBhg. Tuan Haji Jasmi Abdul.

Menurut beliau, hutan di Malaysia memiliki banyak spesies haiwan seperti harimau, seladang, pelanduk, tapir, burung kelicap, dan sebagainya. Jika diperhatikan, spesies harimau di kebanyakan negara sudah pupus, namun begitu spesies harimau di Malaysia masih ada. Oleh sebab itu, masyarakat perlu memelihara khazanah alam ini.

Beliau yang berpengalaman bertugas selama 29 tahun di PERHILITAN ini memiliki minat terhadap hidupan liar dan alam semula jadi sejak tinggal bersama-sama neneknya di kampung dan sering ke sawah padi untuk menangkap ikan dan ayam dengan rakan-rakannya.

Tambah beliau, penghasilan buku Memoir Pegawai PERHILITAN: Cerita dari Rimba merupakan himpunan 33 catatan pengalaman serta kisah benar yang dialami sepanjang tempoh perkhidmatannya di PERHILITAN.

Beliau turut menyatakan bahawa seorang pegawai PERHILITAN bukanlah bererti duduk di pejabat atau di dalam hutan sahaja, tetapi merentasi pelbagai bidang dengan syarat mempunyai ilmu seperti ilmu tentang kehidupan liar, alam semula jadi dan pengurusannya.

Kerja sebegini tidak mudah kerana berisiko tinggi dan memerlukan tahap kesabaran yang tinggi bagi melancarkan proses penyelidikan, di samping mendekatkan diri dengan alam semula jadi serta mempelajari selok-belok hutan belantara negara yang kaya dengan khazanah tersembunyi.

Sementara itu, beliau turut berkongsi cabaran sepanjang perkhidmatannya, misalnya pernah dipijak oleh gajah, berlanggar bot dengan orang asli, hanyut di Sungai Tembeling, dan mengalami beberapa perkara mistik.

Jelas beliau lagi, sebagai seorang pegawai PERHILITAN dan seseorang yang cinta akan khazanah bumi, beliau berharap agar buku ini dapat dijadikan panduan dan pedoman kepada masyarakat, khususnya pegawai dan renjer PERHILITAN, di samping melonjakkan semangat kesedaran terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi di negara ini.

Sebelum mengakhiri program, beliau turut mempromosikan hasil karya penulisannya dengan kerjasama DBP, iaitu Ikan (1992), Mamalia (2002), Reptilia (2008), dan 25 Spesies Burung Liar Semenanjung Malaysia (2016) kepada para penonton.

Turut hadir dalam program ini ialah Timbalan Ketua Pengarah Operasi DBP, YBrs. Tuan Haji Abd Halim Haji Harun, Ketua Unit Sains Kemanusiaan Bahagian Buku Umum, Encik Armin Azahari Saleh, Ketua Unit Sains dan Teknologi Bahagian Buku Umum, Puan Huznah Sait dan karyawan DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.