8 Jun 2022, 18:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) buat julung kalinya telah mengadakan kunjungan hormat ke Futurise Sdn. Bhd. bagi meneroka ruang dan peluang dalam usaha untuk merancakkan pendigitalan produk dan perkhidmatannya. Kunjungan hormat ini diketuai oleh Yang Berbahagia Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Ketua Pengarah DBP dan beberapa orang ketua bahagian serta pegawai kanan DBP.

Delegasi DBP bersama-sama dengan pihak Futurise Sdn. Bhd.

Futurise Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan Malaysia, iaitu anak syarikat Cyberview Sdn. Bhd. yang memberikan tumpuan kepada inovasi, pengawalseliaan dan pengkomersilan. Syarikat ini telah diberikan mandat oleh kerajaan Malaysia melalui Majlis Pembangunan Negara (MPN) untuk menerajui inisiatif Kawal Selia Sandbox Negara (NRS) yang bertujuan untuk mempercepat proses kawal selia, menggunakan penyelesaian inovasi dan teknologi serta mewujudkan ekosistem inovasi baharu. Usaha ini sekali gus akan menggalakkan pembangunan dan mempercepat kerjasama dalam kalangan usahawan, syarikat, pengawal selia dan kerajaan khususnya dari aspek ekonomi masa hadapan serta dapat meningkatkan daya saing Malaysia melalui penggubalan dasar yang dipacu oleh inovasi.

Inisiatif NRS telah dilancarkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Oktober 2016 yang bertujuan untuk menyediakan persekitaran pengawalseliaan yang kondusif bagi penggunaan fintech dan untuk menggalakkan inovasi secara menyeluruh dalam sektor kewangan di Malaysia. Memandangkan kemajuan fintech telah mendorong kepada pembentukan model dan penyelesaian perniagaan yang baharu, inisiatif ini dapat menggalakkan inovasi dan penyampaian khidmat kewangan dengan memberikan fleksibiliti pada penyelesaian fintech yang menawarkan nilai sebenar untuk diuji dalam persekitaran pengeluaran atau persekitaran sebenar.

Dalam kunjungan hormat ini, delegasi DBP telah diberikan taklimat oleh pihak Futurise Sdn. Bhd. tentang fungsi dan teknologi yang dilaksanakannya untuk membentuk masa hadapan Malaysia melalui Medan Ujian Regulatori Negara atau singkatannya MURN. Antara komponen utama fungsi yang dilaksanakan oleh Futurise Sdn. Bhd. seperti yang telah dimandatkan dalam MPN Bil.6/2019 (mandat diperbaharui oleh Kerajaan Malaysia pada Bajet Malaysia 2022) adalah melibatkan empat perkara, iaitu Menerajui Inisiatif MURN, Pengajian Industri, Mempercepat Inovasi dalam Masyarakat dan Kemudahan Menjalankan Perniagaan.

Selain diberikan taklimat ringkas oleh pihak syarikat berkaitan dengan fungsi dan tanggungjawabnya, delegasi DBP juga turut diberikan penerangan ringkas oleh dua buah anak syarikatnya yang lain, iaitu Drone Academy Asia dan eMooVit Technology Sdn. Bhd. tentang perkhidmatan dan teknologi yang telah dibangunkan, iaitu berkaitan dengan industri dron serta kejuruteraan kenderaan autonomi di Malaysia. Delegasi DBP turut dibawa untuk menyaksikan simulasi pengoperasian dron yang diadakan di ruang latihan dron serta dibawa menaiki kenderaan autonomi yang telah dibangunkan oleh syarikat tersebut.

Delegasi DBP menyaksikan simulasi pengoperasian dron.

Kunjungan hormat ini secara tidak langsung membolehkan DBP meneroka peluang untuk memperhebat dimensi baharu pendigitalan produk dan perkhidmatan yang boleh disajikan kepada masyarakat khasnya, di samping dapat meninjau ruang kerjasama yang mungkin terjalin dengan pemain industri seperti Futurise Sdn. Bhd.

Penyerahan cenderamata daripada Ketua Pengarah DBP kepada Ketua Pegawai Eksekutif Futurise Sdn. Bhd.

Pada akhir sesi kunjungan, Yang Berbahagia Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg Shokeran telah menyampaikan cenderamata kepada Ketua Pegawai Eksekutif Futurise Sdn. Bhd., Tuan Rosihan Zain Baharudin sambil disaksikan oleh pihak pengurusan tertinggi syarikat Futurise Sdn. Bhd., Tuan Ts. Tengku Azrul Tengku Azhar dan Puan Azrita Abdul Kadir.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!