8 Jun 2022, 18:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Buku Unsur Etnosains Matematik Malayonesia Jilid II dan III yang mengetengahkan penyelidikan etnosains matematik di Malaysia dalam bahasa Melayu telah dilancarkan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022, hari ini.

Buku yang dihasilkan oleh Kumpulan Penyelidik Etnomatematik Malaysia, Universiti Putra Malaysia yang diketuai oleh editor buku ini, YBhg. Profesor Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain bersama-sama tiga orang lagi penulis yang menyumbang bab dalam buku ini, iaitu YBrs. Profesor Madya Dr. Baharrudin Zainal, YBrs. Dr. Mat Rofa Ismail, dan YBrs. Dr. Muhammad Alinor Abdul Kadir membuktikan bahawa tamadun Malayonesia atau tamadun alam Melayu telah banyak menzahirkan ilmu peribumi yang dapat digali, diangkat dan diketengahkan sebagai sumbangan kepada ilmu sedunia.

Buku Unsur Etnosains Matematik Malayonesia Jilid II dan III.

Dalam ucapan perasmian, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kumpulan penyelidik ini kerana telah mengusahakan suatu gerak kerja yang cukup penting dan memberikan satu nilai tambah yang besar kepada senario ilmu dalam bahasa Melayu.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan merasmikan pelancaran buku Unsur Etnosains Matematik Malayonesia Jilid II dan III.

Apabila membicarakan tentang warisan tamadun, kita perlu mempunyai bukti dan bukan sekadar suatu retorik kosong atau kemegahan tanpa bukti. Etnosains itu tidak terbatas hanya kepada soal sains, tetapi fahamilah bahawa sains itu mencakupi seluruh kehidupan bertamadun seperti bahasa, falsafah, pengurusan, pemikiran, seni, ilmu falak, teknologi, perubatan, dan sebagainya.

Tambah beliau lagi, buku ini diharapkan dapat diteruskan dengan jilid yang seterusnya dan berkemungkinan boleh memiliki satu siri atau pakej etnosains Malayonesia hingga dapat dipromosikan sebagai suatu produk penting DBP serta bahasa Melayu khususnya.

Sementara itu, penulis dan pembicara buku ini, YBhg. Profesor Madya Dr. Baharrudin Zainal mengatakan bahawa buku ini membincangkan betapa tingginya tamadun Malayonesia dalam bahasa Melayu sejak abad kelima Masihi lagi dalam bidang astronomi, kosmologi, kosmogoni, dan kosmogenesis yang merujuk alam semesta serta ilmu logik atau mantik. Buku ini turut mengetengahkan wujudnya ilmu falak yang sepadan dengan istilah moden bidang ini, iaitu astronomi dan kosmologi, malah kosmogoni dan kosmogenesis yang mencerminkan betapa tingginya ketinggian tamadun berbahasa Melayu sebelum abad ke-20 Masihi.

YBhg. Profesor Madya Dr. Baharrudin Zainal sedang mengulas buku Unsur Etnosains Matematik Malayonesia Jilid II dan III ketika program berlangsung.

Selama ini tiada tulisan yang menonjolkan fakta ini, khususnya yang membuktikan adanya ilmu ini dalam karya yang berabad-abad lamanya dahulu hingga abad ke-19 Masihi.

Dalam buku ini juga dibincangkan penemuan dalam bidang etnomatematik dan etnosains yang membuktikan bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa ilmu sains dan matematik sejak abad ke-17 Masihi hingga abad ke-19 Masihi.

Mengulas dengan lebih lanjut, beliau mengharapkan buku ini mampu menyediakan bukti kekayaan ilmu yang terdapat dalam bahasa Melayu dalam bidang astronomi dan kosmologi antara abad ketujuh Masihi hingga abad ke-19 Masihi serta dapat mengukuhkan bukti wujudnya bangsa yang bertamadun sekali gus membuktikan ampuhnya kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sebelum penjajahan Eropah di rantau ini.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru kepada sesiapa yang berminat untuk mendalami dan menjadikan etnosains ini sebagai suatu bidang kajian, buku ini merupakan sebuah buku rujukan yang terbaik untuk digunakan. Berdasarkan buku ini, pembaca dapat melihat manuskrip dalam bahasa lama dan bertulisan Jawi, penulisan tanpa rajah atau jadual serta penyataan secara naratif atau deskriptif yang hendak dijadikan nilai sains. Oleh yang demikian, kajian perlu dilakukan agar dapat mengeluarkan nilai sains itu serta mempersembahkannya dalam bentuk penulisan untuk kegunaan masyarakat.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Ketua Pengarah Operasi DBP, YBrs. Tuan Haji Abd Halim Haji Harun, Ketua Editor Bahagian Buku Umum, Encik Mohd Azahari Edin, Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, YM Tengku Fauziah Ku Mat, Felo Penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) merangkap editor buku ini, YBhg. Profesor Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain serta Pengerusi Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran Malaysia merangkap penulis buku ini juga, YBrs. Dr. Muhammad Alinor Abdul Kadir.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.