7 Jun 2022, 22:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Perpustakaan Alam dan Tamadun Melayu dengan kerjasama Insitut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Persatuan Falak Syari’i Malaysia telah menganjurkan webinar berjudul “Raya Terkejut: Ikut Rukyah atau Hisab?” pada pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari tadi.

Webinar yang diadakan secara dalam talian ini menampilkan Dr. Kassim Bahali, Felo Tamu ATMA selaku ahli panel dan Profesor Madya Dr. Nazri Muslim, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Jaringan), Pusat Pengajian Citra, UKM yang bertindak selaku moderator dan

Dalam webinar tersebut, Dr. Kassim Bahali memulakan slot perbincangan dengan menerangkan maksud rukyah dan hisab serta kepentingan kedua-duanya. Menurutnya,

Rukyah ialah mencerap atau mengamati hilal, iaitu fasa bulan selepas ijtimak atau selepas bulan melengkapkan satu edaran sinodis mengelilingi bumi. Hilal adalah sebahagian kecil dari permukaan bulan yang bercahaya yang kelihatan seperti satu lengkuk cahaya yang halus, sama ada dengan mata kasar atau alat optik seperti teodolit, binokular dan teleskop.

Tambahnya lagi, kaedah hisab pula ialah kiraan atau hitungan bagi menentukan awal bulan Hijrah. Hal ini boleh dijelaskan dengan penggunaan rumus matematik yang tertentu waktu ghurub matahari, bulan, altitud hilal, jarak lengkung, azimut, umur hilal dan lain-lain.

“Di Malaysia, penentuan awal bulan dengan kaedah hisab berdasarkan kriteria tertentu dinamakan sebagai Kriteria Imkanur Rukyah. Di samping itu, kaedah ini juga digunakan dalam pembinaan takwim Hijrah,” jelasnya lagi.

Dr. Kassim Bahali menerangkan Kriteria Imkanur Rukyah.

Sebelum merdeka hingga tahun 1970, kaedah rukyah telah diguna pakai dalam penentuan awal puasa dan Syawal di Malaysia, iaitu sama ada hilal kelihatan atau tidak pada petang rukyah. Tiga lokasi yang dipilih sebagai tempat rasmi rukyah ialah di Teluk Kemang, Negeri Sembilan; di Johor Bahru, Johor; dan di Kampung Pulau Sayak, Kedah.

Selepas itu, pada tahun 1970 hingga 1977, Malaysia beralih kepada kaedah hisab, yang merujuk hilal Ramadan dan Syawal sekiranya tidak kelihatan pada halnya mengikut kiraan ahli falak, hilal itu tetap ada dan jelas kelihatan, maka kiraan ahli falak diguna pakai. Walaupun kaedah hisab diterima, amalan rukyah masih diteruskan bagi memenuhi tuntutan syarak.

Pada tahun 1977 hingga 1982 pula, Malaysia memlilih kaedah rukyah. Sekiranya hilal Ramadan dan Syawal tidak kelihatan kerana dilindungi awan tetapi kiraan falak mengesahkan kehadirannya, maka kiraan falak boleh digunakan. Seandainya cuaca baik dan hilal tidak kelihatan, maka disempurnakan bulan itu selama 30 hari.

Tahun 1983 hingga 1992 menyaksikan bermulanya Malaysia memilih kaedah rukyah dan hisab. Malaysia turut menggunakan syarat dan kriteria dalam Resolusi Istanbul 1978, iaitu kedudukan matahari dan bulan waktu matahari terbenam tidak kurang daripada lapan darjah. Ketinggian hilal pada ketika matahari terbenam tidak kurang daripada lima darjah.

Seterusnya, Malaysia meneruskan kaedah rukyah dan hisab pada tahun 1992 hingga 2021 dengan mengambil syarat hilal boleh kelihatan ketika matahari terbenam, ketinggian bulan tidak kurang daripada dua darjah dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang daripada tiga darjah atau ketika bulan terbenam, umur hilal tidak kurang daripada lapan jam selepas ijtimak (kedudukan bulan, bumi dan matahari yang berada dalam satu garisan meridian yang sama) berlaku.

Seterusnya, pada tahun 2021 hingga kini, kriteria baharu yang diguna pakai ialah altitud (ketinggian) hilal dari ufuk sekurang-kurangnya tiga darjah ketika ghurub matahari dan jarak lengkung matahari dan bulan sekurang-kurangnya 6.4 darjah.

Dr. Kassim Bahali menjelaskan bahawa Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri adalah berdasarkan kaedah rukyah dan hisab. Jawatankuasa Rukyah bagi setiap negeri yang diperkenankan oleh raja-raja atau Yang Dipertuan Agong (untuk negeri yang tidak mempunyai sultan) terdiri daripada mufti kerajaan negeri selaku ketua, hakim mahkamah tinggi syariah negeri, pengarah jabatan agama islam negeri, pengarah ukur negeri, kadi besar, pegawai agama daerah dan pegawai falak jabatan mufti negeri.

“Terdapat 29 lokasi melihat hilal di seluruh Malaysia yang diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja. Seterusnya, jawatankuasa melihat hilal dan laporan kenampakan diserahkan kepada ketua jawatankuasa dan kemudiannya akan diserahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja sebelum dipersembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong. Setelah mendapat perkenan, maka Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengumumkan tarikh bermulanya puasa atau hari raya,” ujarnya.

Dalam webinar ini juga, Dr. Kassim Bahali turut menjawab persoalan isu “raya terkejut” pada tahun ini melalui ulasan secara teknikal kedudukan hilal dan matahari serta perbandingan Kriteria Imankanur Rukyah.

“Hilal tidak kelihatan di semua tempat cerapan kecuali di Labuan. Maka itu sudah cukup digunakan dalam penentuan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada hari Isnin, berbanding dengan paparan dalam kalendar, iaitu pada hari Selasa.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.