6 Jun 2022, 09:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kenderaan elektrik (EV) bukanlah suatu modul perniagaan yang baharu. Di Eropah dan Amerika Syarikat, industri EV sudah bertapak lebih daripada 10 tahun. Namun demikian, penjualan EV dikatakan masih lagi rendah. Norway kini dilihat sebagai negara yang mempunyai penjualan EV yang paling tinggi, iaitu dengan nisbah satu EV bagi setiap 100 kenderaan penumpang yang terjual. Hal ini diikuti dengan negara Estonia yang mempunyai stesen pengecas bateri di merata-rata pelosok negaranya dengan jarak minimum antara stesen pengecas antara 40 kilometer hingga 60 kilometer.

Amerika Syarikat pula berjaya menjual sebanyak 290 ribu unit EV sejak dari tahun 2008. Hal ini menjadikan negara ini sebagai negara terbesar pengguna EV, iatu kira-kira 41 peratus daripada penjualan dunia untuk EV. Di peringkat serantau pula, China mendominasi industri EV di peringkat global. Pasaran China merupakan pasaran terbesar dunia sejak tahun 2015 dan terus kukuh sejak itu. Menurut Kementerian Keselamatan Awam China, terdapat hampir lima juta unit EV berada di atas jalan raya setakat bulan Disember 2020. Lebih daripada 90 peratus bas elektrik dan trak elektrik dunia digunakan di China. Daripada 3.24 juta kenderaan elektrik yang dijual di seluruh dunia, 1.33 juta unit adalah dijual di pasaran China.

Sementara itu, Kerajaan Malaysia telah melaksanakan persediaan ke arah peralihan penggunaan EV sejak beberapa tahun lalu. Sebagai antara negara pertama membangunkan ekosistem EV di rantau ASEAN, pelbagai dasar dan inisiatif dilaksanakan kerajaan untuk memacu dan merancakkan pelaburan dalam industri kenderaan alaf baharu ini bagi memastikan negara kekal di landasan ke arah peneraju serantau industri ini. Kerajaan komited untuk menarik dan menggalakkan pelaburan industri EV demi merealisasikan aspirasi Malaysia dalam mencapai 15 peratus jumlah volum industri untuk EV dan hibrid menjelang tahun 2030. Hal ini adalah suatu aspirasi yang besar dan memerlukan sokongan yang kuat dari pelbagai segi untuk menjayakannya.

Pada penghujung tahun lepas, Roland Berger dalam laporan Radar Distruktif Automotif mendedahkan bahawa Thailand dan Indonesia berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi hab ekosistem EV di ASEAN. Menurut laporan itu, Thailand sedang mempertingkatkan pertumbuhan EV dengan melaksanakan pembangunan infrastruktur dan dasar bersesuaian.

Kerajaan Thailand menerusi Jawatankuasa Dasar Kenderaan Elektrik Kebangsaan telah menetapkan dasar EV baharu yang memberikan penekanan jelas mengenai kenderaan sifar emisi (ZEV). Dasar itu direka bagi membolehkan 50 peratus kenderaan yang dihasilkan di Thailand adalah ZEV menjelang akhir dekad ini dan mencapai hingga 100 peratus pada tahun 2035. Sementara itu, kerajaan Indonesia mengumumkan strategi nasional dengan sasaran untuk mencapai 2.2 juta EV dan 13 juta motosikal elektrik di atas jalan raya menjelang tahun 2030.

Di Malaysia, pengumuman dalam Bajet 2022 yang merangkumi pelepasan duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi EV diharapkan dapat melonjakkan sentimen pengguna ke arah penggunaan EV di masa terdekat. Sesungguhnya, anjakan ke arah industri EV ini bukan hanya tertakluk kepada penjualan dan pengilangan kereta atau bateri semata-mata, tapi memerlukan pembangunan menyeluruh dari segi pemasaran, stesen pengecasan, penjanaan kuasa, modal insan, perkhidmatan selepas jualan dan banyak lagi.

Di samping itu, dasar dan pelan hala tuju yang digubal pihak berwajib perlu berfungsi serentak dalam melengkapkan ekosistem yang diperlukan bagi penggunaan dan penghasilan EV yang berkesan dan mampan. Antara dasar dan inisiatif EV yang akan dilaksanakan adalah membangunkan kemudahan yang komprehensif seperti stesen dan sistem pengecasan, penyambung dan salur masuk, piawaian ujian bagi bateri litium ion, pertukaran bateri, pengecasan tanpa wayar, pengitaran dan pembuangan bateri selain melihat kepada keperluan dasar tenaga.

Keperluan dasar tenaga adalah penting bagi memastikan aspek berkaitan bekalan elektrik negara kelak mampu untuk menampung keperluan pengguna EV. Selain itu, terdapat beberapa inisiatif lain seperti membangunkan Sistem Pengurusan Bateri dan Electric Vehicle Interoperability Centre (EVIC), iaitu sebuah pusat pengujian yang membolehkan pembangunan bersama bagi EV dan teknologi berkaitan komponen dan sistem EV di masa hadapan.

Pada bulan Februari lalu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman untuk membenarkan TNB mengambil bahagian bersama-sama Malaysia Automotive, Robotics and IOT Institute, iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam menubuhkan EVIC di Cyberjaya termasuk dalam pembahagian tenaga dan rangkaian grid, bagi mewujudkan garis panduan pengembangan penggunaan EV di seluruh negara.

Melalui Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030, Kerajaan Malaysia menyasarkan untuk mewujudkan sekurang-kurang 10 ribu infrastruktur pengecasan EV menjelang tahun 2025. Bagi mencapai sasaran itu, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) memainkan peranan dalam usaha mewujudkan kerjasama awam dan swasta bagi memacu pembangunan infrastruktur stesen pengecasan EV yang sedia ada serta yang baharu. Buat masa ini, terdapat kira-kira 300 stesen pengecasan EV hasil kerjasama yang diwujudkan oleh MGTC. Ketika ini, dianggarkan jumlah keseluruhan stesen pengecasan sedia ada untuk pengguna EV di Malaysia adalah sekurang-kurangnya 600 stesen pengecasan EV.

Selain itu, Kerajaan Malaysia turut menyediakan insentif cukai dan bantuan kewangan kepada syarikat yang ingin membina infrastruktur berkenaan. Antaranya ialah pengecualian cukai pendapatan melalui galakan taraf perintis atau elaun cukai pelaburan bagi aktiviti perkhidmatan teknologi hijau, termasuklah stesen pengecasan EV. Kerajaan turut menawarkan kemudahan pembiayaan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau 3.0 bagi menyokong pelaburan lestari dan bertanggungjawab serta menggalakkan amalan standard lestari di Malaysia. Insentif pelepasan cukai pendapatan individu hingga RM2500 juga disediakan bagi kos pemasangan, sewaan dan pembelian, termasuk sewa beli peralatan serta yuran langganan kemudahan pengecasan EV.

Kejayaan dasar dan usaha kerajaan dalam membangunkan industri EV diterjemahkan melalui pelaburan syarikat ke dalam industri ini. Sebagai contohnya, dua syarikat besar yang berpangkalan di Korea Selatan, iaitu SK Nexilis dan IMM Technology telah melabur di Malaysia bagi menghasilkan electro-deposited copper foil yang digunakan sebagai komponen bagi bateri EV.

Langkah kerajaan melaksanakan insentif dalam memacu industri EV menerusi Bajet 2022 disifatkan sebagai pemangkin bagi menjana permintaan serta pasaran kenderaan sedemikian. Insentif berkaitan EV itu juga akan menyokong pembangunan teknologi hijau dan rendah karbon serta pekerjaan hijau berkemahiran tinggi di Malaysia. Insentif kenderaan EV dilihat mampu menyokong pelaksanaan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon serta membantu meningkatkan indeks kualiti udara negara.

Penerimaan EV dalam kalangan pengguna bukanlah semudah yang disangka. Pelbagai faktor perlu diambil kira pengguna sebelum beralih kepada EV. Faktor harga adalah halangan utama. Kereta jenis elektrik masih berharga agak mahal dan premium jika dibandingkan dengan kereta dengan enjin pembakaran dalam. Walaupun terdapat promosi rebat dan diskaun diberikan kerajaan kepada pembeli, harga asas kereta jenis elektrik kekal tinggi dan mungkin tidak mampu dibayar pembeli biasa yang masih mementingkan aspek praktikaliti, tujuan penggunaan dan bajet pembelian sebuah kereta. Kepada pelanggan mewah, harga EV mungkin tidak menjadi masalah.

EV juga memerlukan perubahan daripada segi cara penggunaan kenderaan kerana kenderaan ini mempunyai bateri yang perlu dicas. Setiap cas akan mengambil masa antara dua jam hingga lapan jam. Perjalanan jauh pastinya menjadi cabaran yang perlu ditempuhi pemandu EV. Mereka perlu merancang perjalanan dengan baik kerana kawasan tertentu atau terpencil berkemungkinan tidak mempunyai stesen pengecas bateri. Limitasi infrastruktur stesen pengecas bateri sedikit sebanyak merisaukan bakal pemilik EV dan boleh menyebabkan stres.

Dengan pelbagai persediaan yang dilakukan kerajaan dan beberapa faktor halangan untuk pemilikan EV, persoalannya ialah adakah pasaran Malaysia sudah bersedia untuk menerima “zaman” EV?

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!